Terma MoU elak konflik jejas Kerajaan Perpaduan

Terma MoU elak konflik jejas Kerajaan Perpaduan

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara lima parti gabungan mempunyai banyak persefahaman lain iaitu tidak hanya aspek keanggotaan Dewan Rakyat yang boleh terjejas dalam mengekalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, justeru, bukan semua terma dalam MoU berkenaan perlu dipertikai mana-mana pihak termasuk dalam blok parti masing-masing.

Kata beliau, MoU itu menggariskan butiran persefahaman sebagai panduan untuk menguruskan hubungan antara parti.

“Terdapat juga kaedah untuk menguruskan sebarang perbezaan pendapat bagi mengelakkan konflik yang boleh menjejaskan kerajaan perpaduan yang dibina oleh parti terlibat.

“Dalam sebuah parti yang terikat dengan Perlembagaan parti bertulis pun masih wujud pelbagai isu dan kerenah. Jadi apa yang diusahakan melalui MoU itu adalah satu keputusan politik dalam kerjasama baharu pasca pilihan raya umum (PRU),” katanya di sini semalam.

SYARAT-SYARAT

Terdahulu, Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran mendakwa, syarat-syarat yang terkandung dalam MoU yang ditandatangani antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibincangkan mahupun dipersetujui Dewan Tertinggi BN.

Sehubungan itu, beliau mempersoal bagaimana Pengerusi BN melaksanakan MoU tanpa mendapat kelulusan Dewan Tertinggi, selain percaya parti komponen mahupun ahli Dewan Tertinggi BN tidak diberi salinannya untuk disemak dan memberi pendapat mereka tentang syarat perjanjian.

Dalam dokumen perjanjian Kerajaan Perpaduan yang dimeterai antara lima gabungan politik itu, antara syaratnya adalah mengikat mana-mana ahli Parlimen yang gagal, enggan dan cuai untuk mengekalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan dalam sebarang undian di Parlimen perlu mengosongkan kerusi mereka serta-merta.

Dokumen itu antara lain menjelaskan setiap parti gabungan hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan keabsahan Kerajaan Persekutuan.

Setiap parti juga hendaklah bertanggungjawab menguruskan secara dalaman bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan dalam sebarang undian.

KEABSAHAN

Sidang Khas Parlimen hari ini akan menentukan keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usul undi percaya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, MoU antara parti tertakluk kepada Perkara 49A dan akuan bersumpah (SD) atau aku janji antara ahli Parlimen dengan partinya.

Misalnya, kata beliau, jika terdapat SD yang jelas membawa maksud pemberhentian keahlian parti apabila seorang ahli Parlimen tidak bersetuju dengan arahan parti politiknya, SD boleh dibaca bersama-sama dengan MoU sedemikian.

“MoU itu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, namun masih ada syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikannya memenuhi kehendak Perkara 49A. Misalnya, perlu ada SD atau aku janji yang mengandungi terma berkaitan seperti dihasratkan dalam MoU.

“Kalau tidak ada SD, sekiranya ada MP tidak menyokong, maka syarat dalam MoU itu tidak boleh terpakai yang menunjukkan syarat bagi pelepasan jawatan atau dia tidak lagi menjadi ahli partinya,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, Perkara 49A memperuntukkan ahli Dewan Rakyat akan hilang keanggotaan Parlimen dengan syarat tertentu dan syarat tersebut perlu berlaku terlebih dahulu.

POLITIK

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan politik tidak semestinya kebal atau sempurna, ia menggambarkan apa yang dihasratkan oleh kepemimpinan parti yang memasukinya.

Katanya, bagaimana parti berkenaan menguruskan ahli partinya yang kini merupakan ahli Dewan Rakyat, itu adalah isu dalaman parti yang perlu diserahkan kepada kebijaksanaan kepemimpinan parti dan penerimaan ahli Dewan Rakyat yang terlibat.

“Ini kerana undang-undang antilompat parti masih perlu ditambah baik melalui pindaan agar berlaku adil kepada parti yang menamakan calon dan kewajipan ahli Dewan Rakyat kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan seperti diikrarkan melalui Jadual ke-6 Perlembagaan terpelihara.

“Jadi lebih baik isu dalaman parti dibawa berunding sesama sendiri. Kelihatan penjajaran ahli gabungan dan kerjasama baharu politik mungkin atau sudah bermula, keutuhan gabungan sedia ada akan teruji dan itu menuntut kebijaksanaan kepemimpinan ahli gabungan tertentu kerana tidak mustahil keutamaan dalam penjajaran dinilai dari aspek sokongan semasa rakyat kepada sebuah parti, bukan lagi hanya gabungannya sahaja,” katanya.

Kesannya, beliau berkata, ahli gabungan yang mungkin dilihat tidak begitu menyumbang kepada kekuatan gabungan perlu bersikap tidak terlalu menuntut dalam sesuatu perkara.

Ini termasuk, katanya, parti-parti komponen perlu mengelakkan melakukan sebarang tindakan yang mengakibatkan penjajaran baharu yang akhirnya boleh menggantikannya dengan parti lain. = UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×