Anwar lepasi undi percaya sebagai Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Anwar lepasi undi percaya sebagai Perdana Menteri

Sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan memberi keyakinan pelabur terhadap negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri ­Anwar Ibrahim melepasi usul undi percaya di Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri yang dipersetujui sebulat suara oleh ahli dewan.

Persetujuan itu dicapai selepas dibahaskan 12 ahli parlimen termasuk wakil kerajaan dan pembangkang.
Usul tersebut adalah permin­ta­an Perdana Menteri bagi ­me­nguji keabsahan beliau, sekali gus menutup spekulasi yang menyatakan beliau tiada soko­ngan majoriti ahli parlimen untuk memegang jawatan ­ber­kenaan.

Permintaan itu dibuat pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, langkah tersebut juga bagi membuktikan keabsahan beliau dari segi persepsi politik, selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.

Usul undi percaya itu dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bertujuan menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri Ke-10.

“Perdana Menteri menjunjung kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas cetusan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan. Ini berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah menatijahkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah.

IDEA

“Situasi terbabit tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negara ini. Idea penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah cerminan pandangan jauh serta keprihatinan baginda demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Usul berkenaan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, selain kerajaan mempergiat segala gerak kerja dalam mendepani cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya, kerajaan perpaduan kini turut komited menggalas amanah rakyat.

“Menyedari prospek ekonomi dunia tahun hadapan dijang­ka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

“Ini sekali gus akan memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur, komuniti perniagaan serta rakyat. Hasil sokongan ini akan menyuntik azam bagi Kerajaan Perpaduan terus komited memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan serta kesaksamaan sosial termasuk usaha reformasi bidang tertentu,” katanya.

Mesyuarat Penggal Pertama, Parlimen ke-15 yang berlangsung dua hari bermula semalam adalah persidangan pertama di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang me­ngangkat sumpah jawatan itu, 24 November lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×