Inisiatif governans yang baik

Inisiatif governans yang baik

BAGI melaksanakan langkah-langkah penjimatan, kerajaan tidak akan sesekali mengehadkan faedah kerja penjawat awam apatah lagi memotong gaji mereka dalam kalangan staf sokongan. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN perpaduan Malaysia sebagai kerajaan semasa telah memulakan sebilangan inisiatif yang sebenarnya adalah governans yang baik, yakni urus tadbir negara yang bagus. Dengan ini, beberapa institusi sudah pun digerakkan untuk berperanan secara optimum. Sehubungan ini, ia sangat diterima baik oleh rakyat yang ingin melihat unsur amanah, ketelusan, keadilan dan kebertanggungjawaban dalam pemerintahan negara.

Dalam hal ini, sekurang-kurangnya tiga amalan dalam urus tadbir negara yang bagus telah dimulakan. Ia adalah kesederhanaan, penjimatan dan kepimpinan melalui teladan. Dengan kesederhanaan, ia bermakna kerajaan memberi tumpuan bagi mengurangkan proses pentadbiran yang tidak diperlukan selain tidak berkesan. Ini sangat penting untuk menjadikan prosedur kerajaan kurang rumit dan lebih mangkus. Ia yang berlawanan dengan kerencaman sudah tentu dapat mengurangkan dan akhirnya mengelakkan pembaziran dari pelbagai segi. Justeru, ia bersifat lebih ekonomikal, yakni perkhidmatan baik lagi bernilai dapat disediakan dalam masa dan dengan perbelanjaan yang berkurangan.

Selain ini, ia adalah jalan pantas untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang sebelum ini banyak sekali dibelenggu oleh kerenah birokrasi, yakni peraturan berlebihan atau pematuhan ketat kepada formaliti yang bukan sahaja lewah tetapi boleh melambat dan menghalang tindakan atau keputusan yang diperlukan segera itu. Walaupun ia tidak mudah dicapai, namun kesederhanaan ini hendaklah terus dijadikan matlamat penting untuk kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Langkah penjimatan dalam bentuk pelbagai dasar ekonomi keras lagi tegas untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan hutang negara sebenarnya adalah penyelesain cepat yang sangat diperlukan kini bagi menangani krisis ekonomi runcing yang dihadapi negara. Sebagai program fiskal untuk masa genting ini khususnya, ia yang selalu melibatkan kenaikan cukai tertentu selain pelbagai langkah kewangan yang tidak disenangi rakyat sudah pasti akan menimbulkan pelbagai kontroversi. Namun, ia sangat perlu dilakukan untuk mengurus belanjawan negara agar lebih berkesan khususnya pada masa ini yang ikut tidak memperlihat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.

Sebetulnya kerajaan mana-mana pun tidak suka mengambil langkah ini kecuali terpaksa. Dengan ini, ia adalah satu langkah yang sangat perlu untuk antaranya menghalang berlakunya bencana kewangan di negara ini. Pun begitu, kerajaan tidak akan sesekali mengehadkan faedah kerja pada penjawat awam apatah lagi memotong gaji mereka dalam kalangan staf sokongan. Keadaannya juga begitu dengan tidak terus menghapuskan pelbagai program yang kini dinikmati oleh golongan bawahan tanpa membuat penyesuaian yang akan membawa kebaikan kepada kedua-dua kerajaan dan rakyat.

Selain menaikkan cukai khususnya dalam kalangan golongan mewah, kerajaan hendaklah juga menangani gelaja penipuan dan pengelakan cukai dalam kalangan golongan peniaga dan yang seumpamanya untuk tujuan meningkatkan pendapatan negara.

TURUN PADANG

Untuk amalan kepimpinan melalui teladan, ia sebenarnya berkenaan gaya kepimpinan yang memperlihat ketua kerajaan dan jemaah menteri membentuk tingkah laku dan sikap yang mereka inginkan daripada rakyat. Melalui amalan ini, rakyat sebenarnya dapat memahami arah moraliti yang hendak dituju dan mereka akan menentang segala apa yang berlawanan dengan tingkah laku dan sikap mahu dibentuk itu. Ini penting sekali untuk mewujudkan perwatakan nasional untuk rakyat pamerkan berdasarkan teladan yang diperlihat kepimpinan negara.

Untuk amalan ini berkesan, para pemimpin hendaklah memperlihat kemahiran memimpin yang tinggi. Antaranya ialah kebolehan merangsang rakyat bagi melakukan yang terbaik mengikut peranan masing-masing untuk negara tercinta ini. Untuk ini terjadi dengan jayanya, seorang pemimpin itu harus menunjukkan jalan yang boleh diambil dengan beliau sendiri terlibat sama dalam prosesnya, iaitu bimbing menerusi contoh.

Sebenarnya amalan ini didapati baik sekali kerana ia dapat menjamin keutuhan negara akan selalu terpelihara. Ini kerana rakyat tidak lagi berpegang kepada cara berfikir tentang kepentingan diri sendiri sahaja.

Sebaliknya mereka akan mula bertindak untuk kepentingan bersama setelah mendapati usaha sama ini bukan sahaja sangat baik tetapi banyak manfaatnya kepada negara.

Melalui amalan ini, pemimpin yang turun padang bagi bersama-sama rakyat untuk sesuatu proses pembinaan negara dan pembentukan negara bangsa akan dilihat sebagai tidak hanya duduk di pejabat tetapi ikut berada di lapangan untuk mengalami sendiri masalah dihadapi rakyat. Dengan ini, mereka akan lebih dihormati sebagai pemimpin yang bukan sahaja tahu memberi arahan tetapi betul-betul memahami kesusahan dialami rakyat.

Walaupun ia merupakan proses politik oleh gabungan parti memerintah untuk membuat keputusan yang mengikat sifatnya antara kerajaan dan rakyat, governans yang baik akan terus-terusan berikhtiar untuk mewujudkan persekitaran bagi mengurang dan akhirnya membasmikan kemiskinan serta suasana yang kondusif untuk pembangunan insaniah yang mampan.

Ini hendaklah dilakukan dengan antaranya melibatkan penyertaan rakyat, proses telus, sistem berkesan, pembahagian adil selain kedaulatan undang-undang yang sama sekali tidak boleh dikompromi. Harus diingati bahawa governans yang baik dari segenap segi adalah sangat mustahil dicapai. Bagaimanapun, usaha hendaklah diambil bersungguh-sungguh oleh kerajaan semasa untuk menuju ke arah keunggulannya setakat yang terdaya. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×