Penduduk tak tahu ada tapak khemah di lokasi tragedi

Penduduk tak tahu ada tapak khemah di lokasi tragedi

Keadaan tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Hulu Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Penduduk tempatan di sini mendakwa tidak mengetahui kewujudan tapak perkhemahan di Fathers’ Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands dekat sini, iaitu lokasi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan lebih 20 nyawa setakat ini.

Seorang pekerja syarikat penghantaran yang mahu dikenali sebagai Anas, 21, berkata, kebanyakan penduduk hanya mengetahui kawasan berkenaan sebagai ladang organik dan bukannya tapak perkhemahan.

Dia yang menetap di Batang Kali sejak lahir berkata, tapak perkhemahan itu hanya diketahui selepas berlakunya kejadian tanah runtuh berkenaan.

Katanya, ini kerana kawasan tersebut lebih tersorok dan agak jauh berbanding lokasi pilihan penduduk tempatan iaitu di Air Terjun Sungai Kedondong yang terletak sebelum ladang berkenaan.

“Kalau datang dari Genting, kita boleh nampak papan tanda dan bumbung ladang organik, tetapi memang tidak nampak tapak perkhemahan itu.

“Kami pun tak tahu kat situ ada pusat perkhemahan, memang tak perasan. Selepas berlaku kejadian itu, baru tahu dalam situ ada sampai tiga tapak perkhemahan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.

Awal pagi kelmarin, negara dikejutkan dengan insiden runtuhan tanah di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands dekat sini.

Sebanyak 24 orang daripada 94 mangsa disahkan maut dalam kejadian tanah runtuh berkenaan setakat pukul 6 petang semalam.

Senada dengan beliau, seorang pekerja swasta, Nafisah, 37, berkata, dia pada mulanya menjangkakan kejadian runtuhan tanah itu berlaku di kawasan Sungai Kedondong.

Katanya, dia tidak mengetahui ladang organik itu turut menyediakan tapak perkhemahan untuk orang ramai.

“Mula-mula ingat dekat Sungai Kedondong. Tahu ada ladang organik cuma tak tahu ada sekali tapak khemah.

‘Tetapi tak pastilah kalau ada orang lain yang tahu ada tapak boleh berkhemah di situ,” katanya.

Fathers’ Organic Farm terletak kira-kira setengah jam daripada persimpangan laluan Batang Kali menghala ke Genting Highlands. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×