Mati tertimbus ketika tidur

Mati tertimbus ketika tidur

Pasukan penyelamat menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor, semalam. – IHSAN Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kejadian ta­nah runtuh mengorbankan 22 nyawa di atas tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands dekat sini semalam berlaku di tapak diusahakan sebuah syarikat disahkan beroperasi tanpa lesen.

Kegagalan struktur kaki cerun dipercayai menjadi punca kejadian membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu membabitkan anggaran tanah runtuh sebanyak 500,000 tan dengan ketinggian 30 meter (m), manakala jarak sejauh 150m dan lebar 100m.

Difahamkan daripada 94 mangsa kejadian itu, antara yang terkorban adalah penghuni perkhemahan dari Melaka dan Kuala Lumpur manakala yang terselamat pula terdiri daripada pekerja ladang tersebut termasuk 13 warga Myanmar.

Menurut seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Chong, 28, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi ketika sebahagian besar mereka sedang tidur di khemah masing-masing.

Terdapat mangsa terselamat manakala 11 belum ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam maklumat terkini yang dimaklumkan setakat pukul 6 petang semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh manakala yang cedera juga dibawa ke HKL dan Hospital Selayang.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis, mangsa ke-17 dan 18 ditemukan berpelukan pada pukul 4.40 petang.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai seorang ibu bersama anak dalam keadaan berpelukan di kawasan tertimbus dengan tanah.

“Terkini pada setengah jam lalu, (anggota penyelamat) me­nemukan seorang lagi (mang­sa), tetapi dalam proses bawa keluar.

“Peringkat awal 16 orang (yang maut) ditemukan di Hill Side, baki dua (berpelukan) di River Side dan (mayat) ke-19 jumpa di River Side juga.

“Kebanyakan mangsa ditemukan tertimbus lebih kurang tiga atau empat kaki (kedalaman),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, 16 mayat mangsa yang ditemukan sehingga pukul 1 petang pada mulanya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL.

“Bagaimanapun, semua mayat mangsa dipindahkan ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

“Mana-mana pihak yang mahu membuat pengecaman diminta datang ke HospitalSungai Buloh atau datang ke lokasi untuk berhubung dengan komander operasi,” katanya.

Ditanya sama ada operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga waktu malam, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak bomba berhubung perkara itu.

“Pada waktu malam, pasti­nya ada halangan dari segi cuaca, teknikal dan faktor keadaan gelap sekali gus menyebabkan ancaman yang tidak nampak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×