RAMAI teruja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan istilah ‘cerakin’ dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada 27 November lalu. Agak menghairankan kerana istilah itu sebenarnya sudah lama wujud dan lazim digunakan termasuk dalam mata pelajaran Matematik sekolah rendah.
Kekalutan yang muncul secara tiba-tiba mengingatkan saya kepada insiden pada Oktober 2019 di mana Siti Kasim mempersoalkan penggunaan istilah ‘takwim’ oleh Kementerian Pendidikan. Memang aneh kerana sejak saya di sekolah rendah pada 1970-an, istilah itu sudah digunakan secara meluas.
Drama bersiri Kudeta di televisyen mulai 20 November lalu turut menarik perhatian ramai. Selain jalan cerita tentang seorang perdana menteri (pradhana mantri dalam Sanskrit) yang cuba mengekalkan kuasa, judul Kudeta juga menjadi daya penarik. Istilah itu merujuk kepada ‘rampasan kuasa’ berasal daripada coup d’etat dalam bahasa Perancis.
Ada pelbagai istilah baharu muncul dalam bahasa kebangsaan mengikut peredaran zaman. Dalam kes tertentu, istilah kita sangka baharu sebenarnya istilah lama jarang digunakan. Contoh terkini ialah cerakin, takwim, kudeta dan tular.
Memang ada istilah benar-benar baharu. Misalnya, swafoto (selfie) dan tunafoto (photobomb). Mungkin tidak ramai orang sedar, dua perkataan baharu tadi juga ada pengaruh Sanskrit. Istilah ‘swa’ adalah pinjaman bahasa Sanskrit yang membawa makna ‘sendiri.’
Sementara itu, ‘tuna’ yang digunakan pada ‘tunafoto’ tidak merujuk kepada sejenis ikan seperti mungkin anda sangka. Sebaliknya, ‘tuna’ diambil daripada istilah Sanskrit yang membawa makna ‘tidak memiliki, tidak sempurna, cacat, tiada.’
Bahasa sebagai salah satu unsur budaya adalah bersifat dinamik dan sentiasa berubah serta menerima pengaruh luar. Para pengkaji bahasa Melayu klasik mengakui hakikat bahasa itu menerima banyak pengaruh Sanskrit dan Hindu sebelum mula diresapi pengaruh Arab dan Islam.
KAPALA
Malah, kini amat banyak kata pinjaman Inggeris dalam bahasa kebangsaan yang kita gunakan sehari-hari.
Sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar kerap menggunakan tanda pagar #DemiPertiwi dalam paparan di media sosial seperti Twitter dan Facebook. Kata ‘pertiwi’ berasal daripada istilan Sanskrit, prthivi yang merujuk kepada ‘dewi tanah.’
Buku A Manual of the Malay Language (1882) oleh William Edward Maxwell sewaktu menjadi Pembantu Residen British di Perak mendokumentasi beberapa perkataan bahasa Melayu yang kini hampir tidak digunakan. Misalnya ‘sarira’ daripada kata Sanskrit carira bagi tubuh badan dan ‘pada’ untuk tapak kaki. Begitu juga kencana (kanchana) bagi emas dan genta (ghanta) bagi loceng.
Turut diserap masuk ke dalam bahasa Melayu klasik akibat pengaruh Hinduisme dan bahasa Sanskrit ialah cakerawala (chakra vala), angkasa (akaca) dan bimasakti (bhima cakti).
Tanpa kita sedari, pelbagai bunga juga mendapat nama daripada istilah Sanskrit. Contohnya cempaka (champaka), nagasari (nagakesara), melati (malati), kenanga (kanaga), kemboja (kamboja) dan angsana (asana).
Kita mungkin terasa lucu mendengar migran dari India dan Bangladesh menyebut ‘kapala’ bagi kepala. Sebenarnya, istilah kepala yang kita gunakan hari ini berasal daripada kapala yang merujuk kepada tengkorak dalam Sanskrit.
Sistem masa juga ada pengaruh yang menarik dan menakjubkan jika diperhatikan. Dalam Sanskrit, kala merujuk kepada masa sementara tad bermakna ini atau itu. Maka, terhasillah istilah tatkala yang lazim kita gunakan dalam pertuturan dan penulisan.
INDONESIA
Kita juga biasa menggunakan frasa ‘dewasa ini’ dalam penulisan. Ia berasal daripada divasa (tempoh satu hari). Malah, kata ‘hari’ (siang) itu sendiri berasal daripada istilah hari merujuk kepada matahari dalam Sanskrit.
Rasa dalam Sanskrit merujuk kepada perasaan dan emosi manusia. Contoh perasaan ialah suka (sukha), duka (duhkha), murka (murkha), cinta (chinta), berahi (virahin) dan bahagia (bhagya).
Generasi muda mungkin terkejut melihat contoh-contoh yang dipaparkan.
Situasi ini timbul kerana sistem pendidikan kita lebih menekankan aspek linguistik secara umum tanpa meminta pelajar mengkaji asal usul dan sejarah (etimologi) sesuatu perkataan.
Tidak hairanlah Laporan Cadangan Penambahbaikan Buku Teks Sejarah Tingkatan 1-5 (2022) menyarankan pengaruh tamadun India ke atas perkembangan budaya, bahasa, sastera, struktur masyarakat dan sistem pemerintahan kerajaan Melayu dimasukkan dalam silibus.
Selain gelaran raja dan permaisuri, istilah seperti menteri, baginda, paduka, duli, putera, puteri, penggawa, sida-sida, pendeta, laksamana, bendahara, singgahsana, mahkota dan upacara juga pengaruh nyata Hindusime dan Sanskrit.
Pengaruh serupa dapat dikesan dalam bahasa Indonesia. Sebagaimana kita sedia maklum, bahasa bersifat dinamik dan sentiasa berkembang. Kata seperti sarana, sengsara (samsara), teruna (taruna) dan wacana (vacana) daripada Sanskrit sudah sebati dalam bahasa di Malaysia dan Indonesia.
Sebagaimana kita kini banyak meminjam istilah Inggeris, begitulah juga bahasa Melayu sudah berzaman menerima pengaruh Sanskrit, Arab, Belanda, Cina dan pelbagai bahasa lain. Perkara ini bukanlah sesuatu yang memalukan atau merendahkan kedudukan bahasa kebangsaan kita. Sebaliknya, bukti masyarakat majmuk di rantau ini pada masa dahulu saling mempengaruhi serta memperkaya bahasa yang kemudian diangkat menjadi lingua franca.
Hari ini, kita menggunakan segala istilah itu tanpa menyedari ia merupakan pinjaman yang membantu memperkaya khazanah perbendaharaan kata dalam penulisan dan pertuturan. Apabila bercakap tentang perpaduan, usah lupa unsur itu sudah lama wujud dan sebati dalam bahasa kebangsaan kita. Dalam pada kita berbangga dan berusaha memartabatkan bahasa pertiwi, jangan sesekali cuba menafikan hakikat etimologi, iaitu sejarah dan kisah di sebalik kelahirannya. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










