Kurang cahaya matahari, sayur Cameron Highlands terjejas

Kurang cahaya matahari, sayur Cameron Highlands terjejas

PENGGUNA memilih pelbagai jenis sayur dan buah-buahan yang dijual di Cameron Highlands, Pahang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pembesaran dan kesuburan sayur yang ditanam di tanah tinggi Cameron Highlands di sini terbantut kerana tidak banyak menerima cahaya matahari berikutan musim hujan.

Difahamkan, ekoran tidak lagi menerima cahaya matahari seperti biasa, sayur tidak membesar seperti saiz yang sepatutnya.

Ini menyebabkan pengeluaran sayur merosot dan sukar memenuhi permintaan sekali gus mendorong kenaikan harga bahan mentah itu bukan sahaja di sini tetapi di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan perniagaan sayur di sekitar Kea Farm di sini mendapati, peniaga sayur mengeluh kerana sukar mendapat bekalan sayur seperti biasa.

Peniaga mengakui kekurangan bekalan disebabkan sayur yang ditanam di sini tidak dapat tumbuh seperti biasa kerana kurang cahaya matahari yang diperlukan untuk pokok tumbuh dengan subur.

Peniaga sayur di sini, E.Nalini, 23, berkata, akibat kekurangan cahaya matahari secara terus di kawasan ini menyebabkan saiz sayur menjadi kecil dan tidak subur, menyebabkan harganya mahal.

“Dulu, kami dapat kacang buncis dengan harga RM6 ke RM7 satu kilogram tetapi kini kami beli kacang tersebut daripada pemborong dengan harga RM10 sekilogram.

“Kami perlu kekalkan kuantiti yang sama kerana kita mempunyai pelanggan tetap, persaingan di sini sangat sengit, jadi jika kurangkan kuantiti atau menaikkan harga, dikhuatiri akan kehilangan pelanggan,” katanya di sini semalam.

Katanya, selain kacang buncis, sayuran jenis pakcoy juga dibeli dengan harga yang mahal daripada pemborong.

“Pakcoy sangat mahal, sebelum ini sekitar RM2 satu kg tetapi sekarang ia boleh mencecah sebanyak RM6 satu kg,” katanya.

Menurutnya, harga sayur-sayuran tidak menentu setiap minggu kecuali kobis bunga dan brokoli yang mempunyai harga tetap.

“Keadaan ini menyebabkan kami hanya mengambil keuntungan dengan margin yang rendah sehingga ada yang mengalami kerugian apabila sayur dijual dengan harga yang mahal daripada biasa berikutan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, bagi jualan strawberi pula, Nalini berkata, peniaga mengalami kekurangan bekalan buah tersebut sejak beberapa hari lalu akibat hujan dan kekurangan cahaya matahari.

“Biasanya kami terima bekalan strawberi setiap hari, tetapi akibat masalah itu, rata- rata pengusaha gerai terpaksa mengimport buah tersebut.

“Kami pun terpaksa menjual strawberi import dari Mesir kerana strawberi yang ditanam di ladang kami tidak cukup masak dan saiznya tidak seperti biasa,” katanya.

Mengenai pelancong, Nalini berkata, jumlah pengunjung tidak ramai walaupun dalam musim cuti persekolahan.

“Walaupun cuti sekolah, jumlah pelancong tidak ramai seperti sebelum ini. Jalan raya nampak sahaja sesak tetapi tidak seteruk sebelum ini.

“Jika pelancong kurang, maka hasil jualan kami pun kurang. November lalu, hasil jualan kami memang teruk, tiada pelancong di sini,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan seorang peniaga sayur, Ah Foong, 64, yang berkata, keadaan itu mungkin berterusan sehingga Tahun Baru Cina.

“Keadaan ini mungkin berterusan sehingga awal tahun hadapan iaitu apabila cuaca kembali pulih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN