Zaman kerajaan serba tahu sudah berlalu

Zaman kerajaan serba tahu sudah berlalu

KERAJAAN sedang berdepan cabaran untuk mengurus persepsi rakyat yang didorong dan dipengaruhi oleh maklumat tidak tepat menerusi media sosial. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUA pihak perlu akui, zaman kerajaan tahu semua perkara sudah lama berakhir. Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi yang memungkinkan segala maklumat berada di hujung jari khususnya melalui pelbagai platform media sosial menyebabkan rakyat kini memiliki lebih banyak peluang untuk mendapatkan segala maklumat diperlukan dengan pantas dan segera.

Perkembangan pesat kemudahan teknologi juga menyebabkan ramai mengambil kesempatan menyebarkan pelbagai maklumat atau kandungan berbentuk palsu, fitnah, provokatif dan tohmahan yang akhirnya mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan. Ringkasnya, kerajaan sedang berhadapan cabaran untuk mengurus persepsi rakyat yang didorong dan dipengaruhi oleh maklumat tidak tepat.

Sebanyak 2,113 kandungan dilaporkan disekat pentadbir platform perkongsian video sosial popular, TikTok sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, tujuh hari sebelum PRU15 iaitu dari 12 sehingga 18 November lalu, sebanyak 857 kandungan dihalang oleh TikTok Pte. Ltd. Sementara pada hari pengundian dalam tempoh 24 jam sahaja, 130 kandungan dikekang manakala tujuh hari pasca PRU15, angkanya melonjak kepada 1,126. Sekatan secara automatik ini dilaksanakan oleh syarikat tersebut yang berpusat di China kerana didapati melanggar garis panduan komuniti termasuk berbaur provokatif.

Malah ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan akaun Twitter palsu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyebarkan maklumat tidak benar bagi mencetuskan provokasi dalam kalangan masyarakat.

Ironinya, jika kita rajin melayari Twitter, Facebook dan TikTok, terdapat banyak penyebaran maklumat dalam bentuk tulisan, video dan gambar diwujudkan atas prinsip persepsi semata-mata di samping bertujuan memecah-belahkan kehidupan rakyat.

Pelbagai persepsi negatif yang sengaja direka ini disebarluaskan melalui platform media sosial dengan matlamat untuk memburuk-burukkan nama baik dan imej kerajaan baharu serta beberapa agensi kerajaan yang sentiasa menjadi sasaran nakal para netizen. Apa yang membimbangkan, masih ramai warganet mudah percaya dan terpedaya dengan penyebaran maklumat tidak tepat dan berbentuk persepsi semata-mata.

Netizen yang menyebarkan persepsi pula licik mengambil kesempatan dengan bertindak umpama pakar dan penganalisis yang tahu serba-serbi sehingga berani melontarkan pelbagai ulasan dan pandangan tidak tepat yang boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat.

Hakikatnya, penyebaran pelbagai maklumat palsu berbentuk persepsi negatif terhadap kerajaan boleh mencalar imej serta meragut keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam sekelip mata. Justeru, kerajaan tidak boleh memandang rendah kuasa dimiliki maklumat berbentuk persepsi negatif.

Oleh itu, setiap agensi kerajaan perlu memandang serius isu seperti ini dan mengambil langkah sewajarnya untuk membendung maklumat yang tidak betul tentang agensi masing-masing.

KOMUNIKASI KORPORAT

Di samping membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang sengaja menyebarkan pelbagai persepsi negatif, agensi kerajaan juga perlu bertindak lebih proaktif untuk menangkis segala tohmahan dilemparkan.

Dalam konteks ini, peranan bahagian komunikasi korporat di setiap agensi kerajaan dilihat sangat signifikan kerana perlu sentiasa meneliti dan mengenal pasti sebarang kandungan tidak benar yang disebarkan tentang agensi masing-masing. Setelah mengenal pasti, perlu segera bertindak dengan memberi maklum balas sewajarnya atau dalam erti kata lain, lawan berita palsu tersebut dengan berita benar dan tepat menggunakan maklumat dan data yang betul.

Sewajarnya setiap agensi membangunkan pelan pengurusan krisis atau pelan komunikasi krisis mengandungi rangka kerja terperinci sebagai garis panduan yang membolehkan kita sentiasa membuat persiapan rapi dalam menjaga imej dan reputasi organisasi. Jika didapati berlaku penyebaran sesuatu berita palsu berbentuk persepsi, maka pelan ini akan menjadi panduan lengkap untuk kita berhadapan dengan masyarakat bagi memperbetulkan keadaan dan persepsi negatif.

Mengambil kira penyebar maklumat palsu ini bijak memanipulasi media sosial untuk mempengaruhi persepsi masyarakat, maka setiap agensi kerajaan juga wajar menggunakan media sosial bagi memperbetulkan pandangan negatif tersebut. Misalnya, jika ada pihak menggunakan video di platform TikTok untuk menyebarkan tohmahan, maka kita juga wajar tampil dengan video lebih kreatif dan berinformatif menggunakan TikTok bagi memperbetulkan persepsi semua pihak.

Kita tidak boleh leka dan lalai apatah lagi lambat bertindak atau berdiam diri apabila mengetahui adanya cubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencalar imej dan reputasi jabatan.

Hal ini penting kerana dalam kebanyakan isu yang ditularkan, kita dapati masih terdapat agensi yang terlalu lambat memberi maklum balas atau memperbetulkan keadaan serta tohmahan disebarkan. Ini menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh dan mula membuat pelbagai spekulasi termasuk beranggapan bila kita berdiam diri, itu bermakna berita tersebut mungkin benar.

Jadi, akhirnya berita palsu dan spekulasi bertukar menjadi persepsi negatif yang semakin sukar untuk diperbetulkan. Dalam keadaan senario politik dan krisis ekonomi seperti sekarang, kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya mencetuskan pelbagai persepsi tidak betul terhadap kerajaan kerana boleh mencalar imej di mata pelabur dan pihak luar yang berkepentingan. Ini sekali gus akan menyebabkan kita semakin sukar untuk menstabilkan keadaan dan pulih daripada segala jenis ketidaktentuan domestik dan global.

Justeru, kita berharap semua agensi kerajaan menyedari betapa sukarnya berhadapan cabaran dalam mengurus persepsi rakyat lantas bertindak lebih bijak, proaktif dan agresif untuk menangkis segala persepsi negatif disebarkan pihak tidak bertanggungjawab. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×