PETALING JAYA: Seramai 320,000 pencarum menuntut kerajaan mempertimbang pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam fasa peralihan ke endemik ketika ini.
Dianggarkan 50 peratus daripada mereka yang menuntut itu berada dalam senarai hitam atau blacklist sekali gus menyukarkan mereka membuat sebarang pinjaman kecuali dengan ah long.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR), Azmi Mohd. Tahir berkata, gesaan tersebut diterima pihaknya melalui borang secara dalam talian yang diusahakan sejak 5 Julai lepas sehingga semalam.
FAKTOR
Beliau berkata, sebanyak 15 faktor utama dikenal pasti membelenggu mereka yang menuntut pengeluaran khas itu, yang merangkumi desakan hidup, pendapatan tidak seimbang dan tunggakan hutang pascapandemik Covid-19.
Malah, katanya, apa yang lebih membimbangkan adalah pengadu terdiri daripada anak muda miskin bandar yang berusia 32 sehingga 48 tahun yang mempunyai anak yang sedang membesar dan sedang belajar di peringkat tinggi.
“Daripada borang yang kami terima, Selangor merekodkan tuntutan tertinggi sebanyak 160,000 pencarum diikuti Johor dengan 110,000 pencarum, manakala Perak dan Sabah di tempat ketiga serta keempat. Berdasarkan aduan yang diterima itu kita boleh lihat negeri yang dikatakan maju paling ramai tuntutan, jadi mereka ini miskin bandar.
“Alasan yang kami terima pertamanya adalah disebabkan kos sara hidup dan keduanya disebabkan harga barangan yang tidak dapat dikawal dengan baik.
“Ketiga adalah kerana pendapatan pencarum tidak seimbang dengan tanggungan kerana kebanyakan gaji mereka dipotong semasa atau selepas pandemik,’’ katanya ketika dihubungi di sini semalam.
DIKEJAR
Azmi berkata, mereka juga menuntut pengeluaran wang caruman itu kerana sudah tidak sanggup ‘dikejar’ institusi perbankan atau ah long.
Selain itu, katanya, mereka yang menuntut itu didakwa tidak mendapat Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
“Apabila mohon BKM, mereka akan rujuk dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk lihat sama ada terdapat Potongan Cukai Bulanan (PCB), tetapi tidak lihat bila potongan terakhir. Bila ada potongan, sudah tidak layak sedangkan mereka ini sudah tidak kerja.
“Terdapat dalam kalangan penuntut sudah dibuang kerja semasa pandemik, tetapi sehingga sekarang tidak dapat mencari kerja disebabkan faktor usia dan kesihatan,” katanya.
Justeru Azmi berharap, kerajaan dapat mempertimbang kelulusan tuntutan itu demi keprihatinan kepada rakyat.
Katanya, ini kerana usaha yang diusulkan itu adalah relevan kerana menuntut pengeluaran caruman KWSP secara bersasar daripada mereka yang memerlukan sahaja.
“Sekarang ini kita minta secara bersasar sebab mahu situasi menang-menang pada mereka yang memerlukan dan kerajaan,’’ katanya. – UTUSAN










