Buang jauh-jauhpemikiran pembangkang

Buang jauh-jauh pemikiran pembangkang

RAKYAT berharap tiada mana-mana menteri dalam Kabinet kerajaan perpaduan mengambil kesempatan melaksanakan agenda kepartian yang bercanggah dengan dasar diputuskan. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABINET atau jemaah menteri kerajaan campuran yang dikenali sebagai kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibentuk. Anwar membentuk Kabinet selepas lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Menamakan senarai barisan jemaah menteri untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan salah satu tugas penting Perdana Menteri. Perdana Menteri juga bertanggungjawab menetapkan portfolio bagi setiap menteri dalam Kabinet yang dibentuknya.

Kabinet yang diumumkan pada 2 Disember lalu terdiri daripada 28 menteri dipilih dari pelbagai parti yang menganggotai kerajaan perpaduan, iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Barisan Kabinet kali ini turut menyaksikan Anwar melantik dua timbalan perdana menteri, iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS). Anwar turut memegang portfolio Menteri Kewangan, Ahmad Zahid portfolio Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah manakala Fadillah portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

Walaupun timbalan perdana menteri tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang, ia atas budi bicara Perdana Menteri dan telah menjadi amalan. Sebelum ini, Perdana Menteri melantik timbalannya bagi melaksana tugas Perdana Menteri ketika ketiadaan atau keuzurannya.

Menurut Anwar, pemilihan barisan Kabinet kerajaan perpaduan berasaskan beberapa prinsip utama merangkumi semua kekuatan induk parti (PH, BN dan GPS) dengan PH yang mendapat jumlah undi terbanyak dan ahli Parlimen terbesar sebagai terasnya. Kabinet bukannya badan pentadbiran tetapi ia merupakan sebuah badan eksekutif, iaitu badan tertinggi yang melaksanakan kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan atas nama Yang di-Pertuan Agong. Segala dasar dan arahan Kabinet dilaksana oleh jentera pentadbiran kerajaan. Perdana Menteri menjadi penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam perkara berkait pemerintahan negara dan bertanggungjawab memaklumkan kepada Seri Paduka tentang dasar-dasar kerajaan dari semasa ke semasa.

Perdana Menteri juga bertanggungjawab mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang diadakan pada setiap minggu, juga mempengerusikan beberapa jawatankuasa penting seperti Jawatankuasa Pelaburan dan sebagainya. Beliau turut bertanggungjawab menyembahkan atau memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong segala keputusan jemaah menteri yang telah disepakati secara kolektif.

Orang yang bertanggungjawab untuk mengurus, memanggil mesyuarat serta menyampaikan segala keputusan Kabinet kepada badan-badan atau agensi-agensi kerajaan untuk dilaksanakan ialah setiausaha tetap kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertindak sebagai Ketua Sekretariat Kabinet.

RAHSIA

Menteri-menteri yang telah dilantik dan mengetuai kementerian tertentu bertanggungjawab melaksana segala dasar atau perkara penting yang berada di bawah tanggungjawab masing-masing. Dalam konteks ini, rakyat mengharapkan tidak berlaku mana-mana menteri dalam Kabinet kerajaan perpaduan mengambil kesempatan untuk melaksana agenda kepartian yang bercanggah dengan dasar-dasar telah diputuskan.

Pada hemat saya, jika ada mana-mana yang berbuat demikian, maka ia boleh merosakkan kesepaduan jemaah menteri.

Kita juga mengharapkan tidak ada mana-mana menteri yang cuba membelakangkan semangat atau peruntukan-peruntukan perlembagaan.

Apa yang rakyat harapkan daripada barisan Kabinet kerajaan perpaduan ialah tindakan-tindakan yang berjiwa rakyat serta bersifat nasionalis, bukannya barisan Kabinet ‘berjiwa pembangkang’ yang asyik berpolitik sehingga terabai tugas sebenar yang mesti ditunaikan, iaitu memberikan khidmat terbaik kepada negara dan rakyat.

Perdana Menteri bertanggungjawab memantau tugas-tugas menteri dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dari semasa ke semasa serta memastikan segala keputusan jemaah menteri dilaksana oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan dengan baik mengikut apa yang telah dirangka dan diputuskan.

Menteri-menteri harus faham bahawa segala perbincangan atau segala keputusan mesyuarat dalam Kabinet mesti dibuat secara kolektif dan bersifat rahsia. Mana-mana menteri yang tidak bersetuju atau membangkang sesuatu keputusan tersebut wajar melepaskan jawatannya.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan mana-mana menteri atau timbalan menteri yang gagal berfungsi dengan baik atau menteri berkenaan enggan melepaskan jawatan sekiranya diminta oleh Perdana Menteri berbuat demikian.

Semua menteri terutama mereka yang pertama kali dilantik dalam Kabinet harus sedar bahawa dalam menjalankan tugas, mereka akan didukung oleh pegawai tinggi kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara )KSN), Ketua Setiausaha Kementerian, dan ketua-ketua jabatan yang bertanggungjawab memberi nasihat serta membantu Kabinet dalam menggubal dasar atau gerak kerja yang ingin dilaksanakan.

Justeru, menteri hendaklah mempunyai hubungan rapat dengan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Dengan adanya hubungan dan ikatan yang kuat antara jemaah menteri dengan anggota penjawat awam diketuai oleh KSN akan dapat memastikan segala dasar dan program yang mahu dilaksanakan untuk kepentingan negara dan rakyat akan berjalan dengan baik dan lancar. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×