BARISAN Nasional (BN) Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah melaksanakan sehabis baik dalam memajukan negeri dan mensejahterakan rakyatnya. Di bawah kepimpinan Wan Rosdy, kedudukan kewangan negeri kukuh mencapai rekod kutipan hasil lebih RM1 bilion pada tahun ini menjadikan Pahang sebagai negeri elit bersama Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Wan Rosdy dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, sebanyak RM600 juta diperuntukkan untuk bayaran gaji dan kos-kos lain manakala selebihnya dikembalikan kepada rakyat. Pendapatan hasil tinggi membolehkan pelbagai program dan pelaksanaan pelbagai bentuk pembangunan serta penyaluran pelbagai jenis bantuan bagi manfaat rakyat.
Bantuan Prihatin Pahang adalah satu bukti nyata akan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan negeri dalam membantu rakyat membabitkan pelbagai peringkat umur termasuk bayi yang baru lahir.
Ini tidak termasuk peranan Yayasan Pahang yang membelanjakan berbilion ringgit membantu rakyat dalam sektor pendidikan dari sekolah rendah, menengah sehingga ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara
Bagaimanapun, prestasi terbaik kepimpinan Wan Rosdy seolah-olah tidak bernilai bagi sebilangan rakyat ekoran terbuai dengan retorik pihak lain yang tiada jasa pun kepada mereka. Sikap ‘burung terbang dipipiskan lada’ iaitu mengharap sesuatu yang belum pasti wujud dalam kalangan orang tempatan apatah lagi orang muda dan pengundi luar yang terpesona dengan janji-janji tanpa mengkaji rekod terbaik perkhidmatan kerajaan negeri.
Implikasi sokongan pengundi muda dan pertama kali mengundi dan berfikiran terbuka serta sehala ini antara faktor berlakunya tsunami politik Melayu yang menjejaskan status quo orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.
LAPANGAN TERBANG
Dalam kondisi politik negara pasca PRU15 yang kompleks memerlukan kepimpinan negeri membuat keputusan drastik berasaskan landskap politik semasa. Justeru, kerajaan BN Pahang perlu selari dengan kerajaan Pusat supaya projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar demi kebajikan rakyat.
Ini ditegaskan Wan Rosdy bahawa kerajaan perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan Pusat adalah satu pakatan politik relevan.
Menurutnya, kerajaan negeri perlukan bantuan kerajaan Pusat bagi merealisasikan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang telah diluluskan pada dasarnya sebelum ini.
Kerajaan Pusat yang ‘satu parti’ dengan kerajaan negeri akan memberi impak positif terhadap pembangunan kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seluruh negeri. Pembangunan negeri yang semakin maju akan terjejas sekiranya kawasan atau DUN itu tidak selari dengan kerajaan negeri atau Pusat sekali gus menjejaskan kualiti hidup rakyat.
Realiti politik semasa, kemenangan BN di DUN Tioman baru-baru ini akan menambah kekuatan kerajaan negeri sekali gus menjaga nama baik dan prestasi BN.
Tanpa disangkal, kesanggupan PH yang ikhlas bersama BN menubuhkan kerajaan negeri Pahang akan membolehkan agenda pembangunan diteruskan demi rakyat dan negeri. – UTUSAN










