Mamutik Wreck tarikan baharu selam skuba di TTAR - Utusan Malaysia

Mamutik Wreck tarikan baharu selam skuba di TTAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tapak selaman sekitar Taman Tuanku Abdul Rahman (TTAR), Kota Kinabalu cukup dikenali dalam kalangan penyelam skuba.

Namun, tidak ramai yang mengetahui taman marin di bawah seliaan Taman-Taman Sabah (TTS) itu kini menempatkan ‘Mamutik Wreck’ iaitu satu-satunya bangkai kapal yang ditenggelamkan di perairan TTAR.

Kapal Maritim Kuraman sepanjang 31.4 meter itu ditenggelamkan ke dasar laut sedalam 20 meter pada 2016 oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sabah.

Mamutik Wreck yang dahulunya dikenali sebagai Kuraman Wreck yang terletak di Pulau Mamutik itu boleh diakses dengan menaiki bot selama 15 hingga 20 minit dari Pusat Bandaraya Kota Kinabalu.

Selain Pulau Mamutik, TTAR juga meliputi Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Sapi dan Pulau Sulug yang menempatkan lebih 13 tapak selaman menarik yang sering dikunjungi penyelam skuba.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, Mamutik Wreck berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan baharu di Sabah, terutama dalam kalangan penyelam skuba.

Jumlah penyelam di Mamutik Wreck dihadkan kepada 32 orang sehari bagi memastikan ekosistem marin di kawasan tersebut terus terpelihara.

Bagi mempelbagaikan hidupan marin di Mamutik Wreck, TTS telah mengadakan Program Penanaman Karang sempena ulang tahun ke-48 TTAR pada Julai lalu. Ia boleh disertai mana-mana individu melalui penyertaan secara online dalam laman web Sabah Parks.

Satu bingkai besi bagi penanaman karang telah ditempatkan di Mamutik Wreck sebagai rumah kepada hidupan marin di tapak selaman tersebut.

Menariknya, di perairan taman marin ini, penyelam skuba boleh melihat ikan paus yu dan juga penyu ketika suhu air berada pada paras yang rendah antara bulan Disember hingga Februari.

Penulis turut berpeluang menyelam di sekitar Mamutik Wreck sebelum ini dan pelbagai spesis ikan telah menjadikan tapak tersebut sebagai rumah untuk pembiakan habitatnya.

Pengalaman menyelam di sekitar Mamutik Wreck memberikan 1,001 pengalaman yang berbeza berbanding menyelam di tapak selaman lain di sekitar TTAR.

Selama dua kali berpeluang menyelam di Mamutik Wreck, penulis dapat menyaksikan sendiri pertumbuhan karang di keliling kapal berkenaan.

Jika berpeluang, penulis ingin menyelam sekali lagi di sekitar Mamutik Wreck bagi melihat hidupan marin yang menjadikan kapal itu sebagai rumah untuk pembiakan pelbagai spesis marin selepas enam tahun kapal berkenaan ditenggelamkan.

Namun, dalam keseronokan melakukan aktiviti selam skuba, ada kalanya penulis ternampak botol plastik, plastik makanan serta pukat tersangkut pada terumbu karang di dasar laut.

Sampah seperti plastik bukan hanya mencacatkan keindahan di dasar laut, malah turut mengancam keselamatan hidupan marin, terutama penyu. Sudah banyak laporan penyu mati akibat termakan plastik.

Justeru, apabila berkelapangan, penulis turut menyertai aktiviti pembersihan sampah di dasar laut. Pengalaman pertama menyertai aktiviti sebegitu membuatkan penulis terkejut melihat longgokan botol plastik terkumpul di bawah jeti pelancongan di pulau yang berada di TTAR.

Walaupun pada masa itu, banyak botol plastik yang telah dipungut, longgokan botol seperti tidak berkurang kerana jumlahnya terlalu banyak.

Dalam pada itu, pelbagai pihak juga tampil melaksanakan aktiviti pembersihan dasar laut bagi mengurangkan sampah dan ghost net (pukat) yang tersangkut di terumbu karang, termasuklah Reef Check Malaysia.

Pada Julai lalu, 74 sukarelawan Reef Check Malaysia dan kakitangan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah terlibat dalam aktiviti pembersihan sampah dasar laut.

Menurut Pengurus Program Reef Check Malaysia, Nadhirah Mohd. Rifai, aktiviti itu berjaya mengumpul 130 kilogram sampah yang kebanyakannya terdiri daripada plastik, botol plastik dan lampin pakai buang.

Sampah yang dikutip diasingkan mengikut kategori untuk merekodkan data sebelum dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Sementara itu, seorang sukarelawan, Julia Aveline Rabenjoro, 15, berkata, aktiviti menyelam memang menyeronokkan namun pemandangannya agak terganggu apabila melihat sampah berada di dasar laut.

Maka, Pengasas Seed of Hope yang berasal dari Perancis itu berharap usaha memelihara taman marin di Sabah bukan hanya tanggungjawab agensi kerajaan, tetapi ia harus menjadi tanggungjawab semua pihak agar tidak membuang sampah ke sungai, mahupun pesisir pantai.

Jelasnya, tapak selaman di taman-taman marin di Sabah telah dilindungi dengan baik namun, masih ada penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan keindahan dasar laut di taman marin dan tapak selaman kekal menarik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×