PERDANA Menteri keempat (PM4), Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan legasi liberalisasi ekonomi terutama dasar penswastaan. PM5, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam hadhari dan koridor ekonominya untuk memajukan ekonomi negara dengan menginstitusikan agensi pembangunan koridor.
PM6, Datuk Seri Najib Tun Razak pula memperkenalkan 1Malaysia, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Ekonomi Baru (NEM) untuk menganjak Malaysia ke status negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi. Namun, matlamat ETP dan NEM tidak kesampaian kerana negara masih terperangkap dalam ekonomi berpendapatan pertengahan.
PM7, Dr. Mahathir; PM8, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PM9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan politiking hebat antara parti-parti politik berikutan ‘Langkah Sheraton’ untuk mengekalkan kepimpinan masing-masing. Khusus bagi Muhyiddin dan Ismail Sabri, mereka berdepan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menjejaskan kebajikan rakyat dan mengekangi pertumbuhan ekonomi negara.
Pada dekad 1990-an dan 2000-an wujud pelbagai istilah ekonomi politik seperti Mahathirnomics, Anwarism dan Najibnomics yang diperkenal oleh pemerhati ekonomi politik untuk menggambarkan keterampilan mereka memajukan negara.
Sehubungan itu, apakah paradigma ekonomi yang ingin digarap oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinetnya dalam tempoh lima tahun untuk keterjaminan kebajikan rakyat yang pelbagai agama dan etnik dengan lebih adil dan mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi? Pada masa sama, Kabinet Anwar dikritik dengan pelbagai jolokan untuk mencerminkan kelemahan 25 jemaah menterinya. Mengambil analogi permainan bola sepak, adakah PM10 (Anwar) boleh beraksi sepertimana Pele dan Maradona berjersi nombor 10 yang membawa pasukan masing-masing menjuarai Piala Dunia pada 1970 dan 1986?
Tindakan awal Anwar mengurus cabaran ekonomi politik negara adalah treler kepada hala tuju paradigma ekonominya. Falsafah pembangunan ekonomi baharu perlu diperkenalkan kepada rakyat untuk membolehkan mereka terlibat sama dalam pembangunan negara atau disebut sebagai partisipasi demokrasi. Mereka ini adalah juga pemegang taruh dalam pembangunan ekonomi negeri dan berhak menikmati keterjaminan kebajikan daripada laba pembangunan negara. Partisipasi demokrasi bermaksud rakyat diberi peluang untuk mengambil bahagian secara langsung dalam penggubalan dasar kerajaan yang mempengaruhi kehidupan mereka.
Anwar mendahului langkah tatakelola baik ke arah reformasi institusi yang dinanti-nantikan rakyat dengan menangani pembaziran, ketirisan dan penyalahuntukkan sumber kewangan negara. Ini menunjukkan teladan kebertanggungjawaban kepada rakyat.
Pengawalan inflasi dan pengurangan kos sara hidup rakyat diberi prioriti oleh Anwar. Masalah ini berpunca daripada kepincangan sistem pasaran yang dimonopoli oleh kartel perniagaan terutama dalam industri bekalan makanan. Monopoli perniagaan kartel yang mungkin berpunca daripada amalan naungan politik membawa kepada manipulasi rantaian bekalan sumber yang akan mempengaruhi harga barang di pasaran.
ZAKAT
Kepincangan sistem pasaran seperti ini perlu dibendung di bawah Akta Persaingan 2010 untuk mewujudkan persaingan pasaran yang sihat. Pasaran yang kompetitif dalam sektor pembekalan makanan akan menentukan harga barang menjadi lebih adil kepada rakyat.
Mekanisme subsidi bersasar mengikut golongan pendapatan perlu direncana dengan lebih komprehensif untuk keterjaminan kebajikan rakyat terutama golongan B40. Ini boleh dirangka dengan menubuhkan insititusi jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan bersepadu bagi mengelak pertindihan bantuan kewangan oleh pelbagai agensi pelaksana.
Bentuk institusi keselamatan sosial yang ada pada masih ini masih bersifat tersendiri mengikut fungsi masing-masing seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri.
Islam menyediakan kaedah subsidi bersasar iaitu zakat sebagai dasar keterjaminan sosial yang adil kepada golongan miskin dan fisabilillah. Ini bererti dasar percukaian negara perlu distruktur semula bagi melaksanakan subsidi silang dan bersasar tanpa meminggirkan kebajikan golongan M40 dan T20.
Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2020), pendapatan purata bulanan bagi isi rumah di peringkat nasional ialah hampir RM5,800 sebulan pada 2019. Pendapatan bulanan purata B40 ialah hampir RM3,200 sebulan. Bagi isi rumah B40 pendapatan purata bulanan kurang RM2,208 (iaitu Pendapatan Garis Kemisikinan), mereka dikategorikan sebagai miskin.
Bagi golongan termiskin pula, pendapatan bulanan purata mereka adalah kurang RM1,104. Jika isi rumah termiskin ini mempunyai lima ahli (ayah, ibu dan tiga anak), maka pendapatan per kapita bulanannya ialah RM221. Tingkat pendapatan ini menunjukkan fenomena kos sara hidup dalam kalangan golongan termiskin tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih dalam persekitaran harga barang yang semakin meningkat pada masa ini.
Di peringkat kerajaan, untuk mengelak pembaziran kewangan melibatkan projek jutaan atau bilion ringgit dan gejala rasuah, tiada lagi kelulusan perolehan tanpa tender. Ini berkaitan ketelusan dan keterbukaan kerajaan dan pada masa sama, rakyat boleh akses maklumat daripada kerajaan.
Sehubungan itu, Rangka Rancangan Jangka Sederhana (OPP2023-2027) perlu digubal dengan menyelaraskan semua manifesto parti yang mewakili kerajaan perpaduan diketuai Anwar. Ini kerana semua manifesto parti menawarkan kebajikan kepada rakyat dan janji perlu ditunai oleh kerajaan yang dipilih dan memerintah.
Sebelum ini telah ada Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (1971-1990), Kedua (1991-2000) dan terakhir, Ketiga (2001-2010). Selama dua dekad, tiada Rangka Rancangan Jangka Panjang atau Sederhana.
Tempoh tersebut diisi dengan NEM (2011-2022) di bawah Dasar Transformasi Nasional 2050 (2021-2050). Oleh itu, OPP2023-2027 yang lebih praktikal dan boleh dilaksanakan adalah sesuai dilancar oleh kerajaan baharu ini.
Misi utama OPP2023-2027 ialah untuk menganjak keluar ekonomi negara dari perangkap pendapatan pertengahan dengan visi untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dengan status negara maju yang berkebajikan. Untuk mencapai visi dan misi itu, OPP2023-2027 perlu berteraskan prinsip keterbukaan, ketelusan, kebertanggungjawaban, partisipasi, kepedulian dengan keperluan rakyat. Semua prinsip ini adalah nilai Islam. – UTUSAN
PROFESOR Madya Abdul Rahim Anuar ialah Felow Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand & Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM).










