Rakyat di ambang krisis kewangan

Rakyat di ambang krisis kewangan

RAMAI responden mengatakan akan memohon pengeluaran KWSP jika dibenarkan kerajaan. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap kewa­ngan rakyat Malaysia berada pada paras berbahaya kerana berdepan dengan masalah simpanan semakin berkurangan, isu aliran tunai dan trend lain yang membimbangkan, me­nurut Kajian Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2022.

Pengasas Bersama dan Pe­ngarah RinggitPlus, Hann Liew berkata, mengikut data kajian, rakyat negara ini masih bergelut dengan kesan kewangan pasca-pandemik dan kini menghadapi cabaran kewangan yang membarah sehingga mendedahkan mereka dengan kejutan kewa­ngan.

“Ini kerana, pelbagai bantuan kewangan yang diterima telah mengurangkan kesan ke atas mereka pada 2020 dan 2021. Sebanyak 70 peratus daripada responden menyatakan mereka menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau tidak menyimpan langsung dan ini me­rupakan hasil kajian RMFLS yang paling teruk dalam tempoh lima tahun.

“Sementara itu, bilangan rakyat Malaysia yang mampu menyimpan lebih daripada RM1,500 sebulan juga telah menurun dengan ketara kepada hanya 5.0 peratus pada tahun ini daripada 20 peratus pada 2020,” katanya dalam kenyataan.

Hasil kajian RMFLS 2022 menunjukkan lebih ramai rak­yat Malaysia sedang bergelut dengan jumlah simpanan yang berkurangan apabila 63 peratus responden menyatakan mereka hanya mampu bertahan selama tiga bulan atau kurang jika bergantung pada simpanan mereka berbanding 52 peratus tahun lalu.

Trend yang sama juga dilihat apabila 55 peratus rakyat Malaysia membelanjakan keseluruhan atau lebih daripada apa yang mereka perolehi setiap bulan, pada asasnya bergantung gaji ke gaji untuk sara hidup.

Dengan kekurangan berjimat dan kos barangan yang kian meningkat, kajian menyerlahkan trend yang membimbangkan di mana hanya 55 peratus pemegang kad kredit dapat melangsaikan bayaran mereka sepenuhnya tahun ini, berban­ding 70 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, dengan cabaran aliran tunai dan simpanan, kajian menunjukkan rakyat Malaysia cenderung memilih penyelesaian kewangan jangka pendek daripada kestabilan kewangan jangka panjang.

“Sejumlah 66 peratus responden di atas umur 21 tahun mengatakan mereka akan memohon untuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika dibenarkan kerajaan.

“Selain itu, tinjauan juga menunjukkan sebanyak 52 peratus daripada rakyat Malaysia berusia lebih 18 tahun juga belum membuat sebarang pelaburan. Majoriti mereka yang mempunyai pelaburan pula mempunyai selera risiko rendah, tetapi memilih untuk membuat pelaburan jangka masa sederhana yang tidak optimum.

“Pilihan ini mungkin dipe­ngaruhi cabaran kewangan semasa dan prospek ekonomi dunia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×