MARAN: Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim lebih rela dipecat daripada digantung tidak bertali bagi memudahkannya memilih perjuangan parti politik baharu yang diterima rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fatimah berkata, beliau tiada masalah dipecat berikutan berlakunya perubahan fitrah doktrin perjuangan politik peribadi dipengaruhi tsunami politik Melayu yang menolak UMNO sebagai parti dominan.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini beliau belum menerima sebarang surat pemecatan daripada UMNO dan hanya mengetahui perkara tersebut daripada laporan media.
“Saya tidak menyesali apa yang berlaku dalam penghijrahan perjuangan politik ini kerana terbukti ia adalah pilihan terbaik dalam mempertahan kedudukan agama, bangsa dan negara,” katanya di sini semalam.
Beliau merupakan antara tiga pemimpin UMNO yang dipecat oleh parti itu selain Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yassin.
Fatimah merupakan isteri kepada penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini manakala Shamsiah adalah isteri kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga bertanding atas tiket PN.
Fatimah berkata, beliau kini semakin jatuh cinta kepada Pas dan majlis penyertaannya dalam parti itu akan diadakan tidak lama lagi.
Sementara itu, Shamsiah menyifatkan tindakan UMNO memecat beliau daripada parti itu sebagai tidak wajar kerana percaya beliau tidak membuat sebarang kesalahan kepada parti.
“Saya hanya menemani suami pada hari penamaan calon, bukan buat apa-apa pun. Perkara itu juga sudah dimaklumkan ketika dipanggil Lembaga Disiplin parti sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsiah yang akan meneruskan kerja membantu rakyat seperti biasa mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak angkuh dengan memecat pemimpin sesuka hati. – UTUSAN










