PETALING JAYA: Standard kriteria kenaikan pangkat ke jawatan profesor di semua universiti masa kini telah jauh berubah selain lebih ketat berbanding era Tun Dr. Arshad Ayub menjadi Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM).
Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Majlis Profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Omar Yaakob berkata, untuk rekod, kini hanya terdapat sekitar 2,000 profesor di 20 buah universiti awam, bukan ‘lebih 2,500 orang’ seperti dilaporkan.
Beliau berkata, selain terlibat mendidik ratusan ribu graduan, profesor juga menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan yang sebahagian hasilnya dimanfaatkan oleh industri dan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
“Ramai profesor terlibat sebagai penasihat dan anggota dalam pelbagai jawatankuasa peringkat kementerian dan agensi kerajaan. Agenda besar negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dibangunkan dengan penglibatan ramai profesor dari pelbagai universiti.
“Saya berpendapat umumnya pandangan Tun Dr. Arshad sebagai teguran baik, terutama mengenai perlunya mendedahkan pensyarah dan pelajar kepada pengalaman profesional dan kepentingan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dialam kalangan graduan.
“Bagaimanapun, tajuk rencana akhbar mensensasikan bilangan ‘2,500 profesor’, sekali gus menimbulkan polemik yang akhirnya menenggelamkan pandangan bernas beliau yang lain,” kata beliau yang juga Ahli Majlis Akademi Profesor Malaysia (APM) kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Tun Dr. Arshad mendedahkan kualiti lebih 2,500 profesor di negara ini tidak mencapai standard seperti diharapkan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan jumlah tenaga profesional dikerah untuk mengajar secara sambilan di universiti-universiti tempatan supaya dapat menyumbang kepakaran dan pengalaman yang diperoleh daripada industri.
Pengarah pertama ITM itu berkata, dengan kerjasama antara kumpulan profesional dan profesor, diharapkan ada lebih banyak artikel penyelidikan membabitkan idea di luar kotak dihasilkan seterusnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, penglibatan tenaga profesional di universiti awam telah lama diamalkan melalui pelantikan ke jawatan adjung fakulti dan profesor industri.
Ujarnya, kombinasi itu membolehkan pelajar dan graduan lebih terdedah dari segi perkongsian pengalaman dan ilmu teras oleh para profesor dan profesional.
“Mungkin beliau (Tun Dr. Arshad) merujuk kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) sahaja. Profesor telah banyak berjasa kepada pembangunan negara. Golongan profesional memang kita pelawa memberikan idea di universiti melalui CEO@fakulti.
“Pelantikan adjung fakulti dan profesor industri, kombinasi ini membolehkan pelajar dan graduan lebih terdedah kepada perkongsian pengalaman dan ilmu teras oleh para profesor dan profesional,” jelasnya. – UTUSAN











