Jangan import telur dari negara ada wabak unggas

Jangan import telur dari negara ada wabak unggas

KELIHATAN bekas telur yang kosong di sebuah kedai di Kangar, Perlis ekoran kekurangan bekalan bahan makanan itu sejak beberapa bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempertimbangkan kembali cadangan mengimport telur bagi mengatasi masalah bekalan yang tidak mencukupi, lebih-lebih lagi jika ia bersumberkan negara-negara yang diserang wabak penyakit unggas seperti selesema burung.

Kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, kerajaan mengenal pasti beberapa sumber dari luar sebagai menampung keperluan bekalan dalam negara dengan kadar segera bagi memastikan keterjaminan bekalan telur ayam di pasaran.

Reaksi diterima Utusan Malaysia daripada beberapa pemain industri ayam dan telur menya­takan kebimbangan bahawa langkah penyelesaian jangka pendek itu berpotensi mengancam keselamatan pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, terdapat cadangan supaya telur diimport dari sebuah negara berdekatan tetapi negara berkenaan sedang dilanda selsema burung.

Kata satu sumber industri, bekalan telur dari negara ber­kenaan murah kerana bekalan sumber protein itu sedang dilupuskan di sana akibat penularan wabak selesema burung.

“Harga telur yang ditawarkan untuk dijual dalam negara kita ini memang agak rendah berbanding harga sekarang. Itu kita tak nafikan. Tapi ada masalahnya telur itu berisiko bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga industri tempatan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, sumber itu berkata, selaku pemain industri yang turut terlibat dalam soal import eksport telur, pihaknya sedia maklum bahawa ayam-ayam telur yang diternak di beberapa wilayah di negara itu sedang sedang dihapuskan bagi mengurangkan penyebaran wabak penyakit itu.

“Kita tahu permainan ini, kebanyakan ladang-ladang telur yang kena, mereka jual terus telur-telur dengan harga yang sangat murah. Sebab, ayam mereka harus dilupuskan. Jadi, stok telur mereka perlu dijual,” kata sumber.

Dalam pada itu, sumber berkata, beliau difahamkan bahawa dalam minggu ini, satu kargo telur akan mula dieksport ke Malaysia.

“Sekarang sudah heboh dalam kalangan pemain industri telur tempatan. Kita desak kerajaan melihat perkara ini sebelum terlambat,” kata sumber.

Sementara itu, satu sumber industri lain yang dihubungi berkata, tindakan mengimport telur yang jauh lebih murah, mengancam perniagaan penternak dan pengusaha ladang telur tempatan.

“Kita risau sebab isu penyakit selsema burung. Kita mahu agar telur itu diuji dan disahkan benar-benar bebas dari penyakit wabak selesema burung, baru dibenarkan masuk,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN