Awasi musuh dalam selimut

Awasi musuh dalam selimut

SISTEM pendidikan di negara ini dikatakan gagal untuk menjamin kehidupan yang sejahtera berasaskan tamadun dan budaya tinggi pada masa depan terutama aspek perpaduan. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kemelut mencari jalan untuk membentuk kerajaan perpaduan baru-baru ini, kedengaran cadangan agar soal pengiktirafan sijil tertentu disegerakan. Ini dikatakan sebahagian daripada manifesto yang ditawarkan kepada para pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Kemudian tuntutan anggaran RM6 juta pula untuk membantu tiga institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berkaitan.

Oleh yang demikian, pihak terlibat didesak sedangkan masalah lebih besar melibatkan soal kesejahteraan masyarakat, hatta soal hidup mati kelompok terkebawah belum lagi mendapat pengiktirafan secukupnya. Apatah lagi penyelesaian jangka panjang dalam melangsungkan isu yang kian berlarutan sejak berdekad lalu.

Dirumitkan pula oleh pelbagai bahaya Covid-19 termasuk hal-hal mirip pendidikan sehingga hari ini. Malah menjadi bertambah buruk apabila serba-serbi diselongkar oleh pandemik yang menampakkan pendidikan tidak lagi secocok dengan tujuan serta matlamat akhir sesebuah negara bangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan lain perkataan, beberapa anjakan wajar disesuaikan dengan tuntutan semasa dalam memupuk perpaduan jitu. Misalnya, mengikut satu perbincangan di peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menetapkan bahawa ukuran ‘merit’ tidak lagi disyorkan berbanding ‘potensi’ setiap individu itu sendiri. Maknanya, huruf atau angka seiring cerminan tahap merit selama ini dalam format penarafan mula dipersoalkan.

Yang menarik adalah satu naratif lain diperlukan dalam mendalami potensi diri bagi memaknakan semula pendidikan masa hadapan. Ada beberapa lagi anjakan sebegitu rupa yang akan diambil kira agar terus relevan dalam mengemudi era pascapandemik. Jika tidak, bukan sahaja pendidikan dipersia-siakan, bahkan masa hadapan akan terus tersungkur apabila dicabar pelbagai pancaroba mendatang.

Paling mendesak dewasa ini adalah soal krisis iklim, pembangunan lestari sekali gus ancaman terhadap survival kelompok manusia, haiwan serta segala ekosistem yang menyokong kehidupan khususnya air, udara dan tanah-tanih tempat berpijak untuk menyempurnakan kehidupan bermaruah lagi bertamadun. Seimbas sudah pun dapat terasa kelompangan begitu ketara dalam dunia pendidikan sediakala.

Pendek kata, ia gagal dalam menjamin kehidupan yang sejahtera berasaskan tamadun dan budaya tinggi untuk hari muka. Terutama sekali menjawab soalan perpaduan sejagat yang cukup rapuh tatkala pandemik bermaharajalela tanpa henti. Jutaan mata sekelip mata. Pendidikan tidak mampu bertahan!

Jelas perpaduan menjadi isu pokok di mana sahaja. Di Malaysia tambah-tambah selepas PRU15, perkara ini mendapat perhatian ramai, dari istana sehingga ke jalanan. Masing-masing melaungkan perpaduan yang utuh dan kekal. Bukan yang hidup segan mati tidak mahu. Bermusim dan berkala mengikut percaturan politik atau ekonomi dikeranakan agenda yang sering memabukkan demi mengejar harta, nama dan selera.

Dasarnya dusta dan haloba. Tindakannya durjana, dan kesannya celaka. Rakannya mungkin gunting dalam lipatan. Berwaspadalah.

RESIPI

Ini hanya berkesan bermula daripada pendidikan sepertimana dihujahkan minggu lalu. Merentasi politik, ekonomi serta agenda pemusatan kendiri. Bermatlamatkan pemahaman sepenuhnya apa itu perpaduan, bak resipi unggul cara hidup yang rukun lagi seimbang sebagai sasaran penamat.

Maka kerukunan wajar dipupuk dan diasuh semenjak di bangku sekolah, kalau tidak pun pada prasekolah sekali pun. Rukun Negara misalnya, perlu menjadi teras untuk mara ke hadapan, mengelak pelbagai rintangan dalam membudayakannya merentasi kaum, keturunan, kedudukan serta darjat.

Bagi tujuan ini, pendidikan perlu menzahirkan falsafah yang mendatari semua lapisan selaku paksi kukuh menatang semua yang ada. Semua mengimpikan Wawasan Kemakmuran Bersama, sebelum itu Wawasan 2020. Sayugia diingatkan bahawa Wawasan 2020 kecundang kerana cabaran utamanya tidak dapat dipenuhi. Yakni mengujudkan bangsa Malaysia dalam satu rangkaian perpaduan rakyat yang jati dan searah tanpa mengetepikan yang lain. Bahasa, budaya, lenggok, niat serta iltizamnya tidak berbelah bahagi, tetap kepada tempat tumpah darah mereka. Tiada pendatang, tiada yang bertandang. Semua ini terjelma dalam kerangka Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996.

Natijahnya, untuk menghayati Rukun Negara, FPK perlu ditunjangi dahulu bukan seperti sekarang di mana kedua-dua aspek tersebut ghaib sama sekali dari ingatan dan amalan pendidikan. Akibatnya, perpaduan teraba-raba jauh daripada sasaran nilai bertatakan kesejahteraan – kata kunci utama FPK.

Oleh itu sebelum setiap sijil diiktiraf, setiap ringgit diberikan, dipastikan segenap langkahnya memperkasakan perpaduan negara bangsa dengan penuh keyakinan.Sekiranya tidak, awasi musuh dalam selimut yang sudah pun ditolak mentah-mentah. Jangan terburu nafsu! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×