REALITI dalam masyarakat kita, asal ada saudara atau kenalan rapat menjalankan perniagaan, terus dimintanya percuma. Sikap mengambil kesempatan seperti ini akan membuatkan anak bangsa kita tidak akan maju dalam alam perniagaan sampai bila-bila pun.
Sepatutnya kalau kita anggap dia seorang rakan, maka bantulah dengan membeli produk jualannya, barulah perniagaan dia boleh maju ke hadapan. Betullah kata sesetengah orang, kadang-kadang orang terdekatlah yang meranapkan perniagaan kita.
Nak minta potongan harga, tiada masalah kerana itu adalah hak setiap pembeli. Penjual pun mempunyai hak untuk memberi potongan harga ataupun tidak. Kalau penjual nak bagi percuma, ambil. Kalau dia tidak bagi, jangan merengek seperti anak kecil minta secara percuma.
Lebih teruk lagi, sekiranya tidak mampu memberi secara percuma atau potongan harga yang banyak, maka habis peniaga tersebut terus diperli dan dihina dengan pelbagai jenis tohmahan seperti dianggap berkira dengan kawan sendiri, kedekut dan sebagainya. Orang-orang yang pentingkan diri seperti ini harus sedar bahawa menjalankan sesebuah perniagaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ia bukan sahaja memerlukan wang ringgit yang banyak, bahkan tenaga, kudrat, kesabaran dan mental yang kuat.
Setiap barang jualan yang diambil itu terdapat kosnya. Juga ada untung dan ruginya. Takkanlah perkara asas seperti ini masih tidak faham? Kalau benar-benar ingin melihat ahli keluarga atau rakan kita berjaya dalam perniagaan, maka bantulah dengan cara membeli produknya. Kalau tidak mampu, boleh maklumkan kepada kenalan atau orang ramai dengan cara kongsikan maklumat tentang produknya. Sikap seperti ini harus dipupuk dalam masyarakat kita kerana ia secara tidak langsung akan membantu perkembangan perniagaan seseorang sekali gus meningkatkan ekonomi negara.
Sama juga sikap kita terhadap penjual-penjual di jalanan. Kalau pergi ke pusat beli-belah, tiada pula kita minta potongan harga. Harga mahal macam mana pun kita masih sanggup beli dan tidak merengek pun.
Tapi yang peliknya, kalau pergi ke kedai-kedai di tepi jalan atau di luar ruang pusat beli belah, kita pasti akan meminta potongan harga yang kadangkala tidak masuk akal.
Sepatutnya penjual di kaki jalan atau gerai-gerai kecillah yang kita perlu bantu kerana mereka ini tergolong dalam industri kecil dan sederhana (IKS) dan keuntungan pun cukup-cukup makan. Ada yang sampai tiada untung langsung. Buat apa kita terus mengkayakan orang yang sudah sedia kaya dan memiskinkan lagi orang yang sudah sedia miskin? Dunia sudah terbalik.
Begitu juga dengan sikap membayar harga barang belian tanpa mengambil baki. Kalau kadang-kadang tidak mengapa, tapi jangan kerap sehingga membiasakan peniaga-peniaga untuk mengambil kesempatan pada pelanggan lain. Kalau ada baki 10 sen pun wajib bagi. Kalau sama-sama faham konsep jual-beli, pasti semuanya akan berjalan dengan baik.
GURU
Mungkin ada pembaca tertanya-tanya kenapa saya menumpukan perkara seperti ini. Namun, ketahuilah bahawa perkara-perkara yang dilihat kecil seperti inilah sebenarnya penting dalam memastikan perjalanan ekonomi negara terus dalam keadaan baik selain membantu kemajuan perniagaan anak tempatan kita.
Sikap suka meminta-minta dan merengek seperti anak kecil ini harus dibuang dalam benak fikiran masyarakat kita kerana ia merupakan satu sikap negatif dan mementingkan diri sendiri.
Saya pernah berhadapan dengan seorang ‘guru’ di salah sebuah institusi pendidikan yang sanggup menaikkan suara dan memerli saya hanya semata-mata ingin memastikan beliau mendapat potongan harga buku jualan saya. Kalau sedikit tidak apalah, saya boleh bagi dengan gembiranya. Tapi permintaannya sehingga saya tidak dapat walau satu ringgit keuntungan malah alami kerugian. Apakah ini sikap seorang pendidik yang terpuji? Inilah sikap mengambil kesempatan yang merugikan.
Saya yakin, sebahagian pembaca pun pernah alami perkara sama sewaktu awal-awal menjalankan perniagaan dahulu. Kadang-kadang kita sendiri pun rasa segan dan kalau boleh ingin merahsiakan perniagaan daripada kenalan rapat. Saya tidak mahu sentuh tentang sikap penjual kerana saban hari kita mengkritik dan menempelak sikap peniaga yang bermacam ragam. Kita terlalu fokuskan dengan salah silap peniaga atau penjual sehingga kita terlupa yang sekalipun hak peniaga itu besar, namun ia tetap mempunyai hadnya.
Dalam berhadapan kemelesetan ekonomi yang dijangkakan tahun hadapan, adanya elok kalau kita terus menyokong perniagaan dan produk anak tempatan selain berjimat cermat dalam berbelanja.-UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan dan antarabangsa.











