SEJAK operasi khas ketenteraan Russia di Ukraine tercetus Februari lalu, hanya Utusan Malaysia yang dijemput bertentang mata dengan Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov. Peluang itu digunakan sehabis baik bagi memahami sejarah sebenar konflik antara Kyiv dan Moscow.
Sebagai ‘lidah’ rasmi orang Melayu, Utusan Malaysia tidak boleh berkiblatkan media Barat semata-mata dalam mendapatkan maklumat sahih mengenai konflik berkenaan. Laporan perlu seimbang dan tidak berat sebelah.
Ayuh, kita beralih mengenai apa yang menarik sepanjang wawancara berkenaan. Sebelum tarikh perjumpaan, pegawai khas beliau kerap bertanyakan kami, Meja Luar Negara sama ada soalan-soalan akan ditanyakan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Penolong Pengarang Berita, Adlinahani Khalil berkata, “Kami mahu bertanya dalam bahasa Inggeris.” Titik noktah. Ini bertujuan melancarkan sesi wawancara. Tiada apa perlu dibimbangi kerana rakan saya, C. Sheila Rani sangat fasih berbahasa Inggeris.
Tiba hari wawancara, kami diiring masuk ke kediaman rasmi Duta Besar Russia ke Malaysia yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur oleh seorang pegawai kedutaan yang rupa-rupanya sangat terkenal di Malaysia. Dia merupakan pemidato dari Moscow yang mempelajari bahasa Melayu serta pernah menyertai Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM). Tidak sangka muka putih bersihnya, dia fasih bertutur dalam bahasa ibunda rakyat Malaysia rupanya.
Soalan sama ditanyanya lagi. Adakah mahu bertanya soalan-soalan dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu? Jawapan kami tetap sama, bahasa Inggeris supaya lebih menjimatkan masa.
Saya bingung, kenapa soalan sama ditanyakan hampir tiga kali. Sebagai akhbar berbahasa Melayu, bukan menjadi penghalang untuk golongan wartawan berbahasa Inggeris, malah kami lebih terbuka menerima mana-mana tetamu dari mana-mana negara.
Peluang bertentang mata dengan Latypov disambut dengan penuh debaran. Hati kami (saya dan Sheila) berkocak bagaikan mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin. Beliau hanya tahu bertutur dalam bahasa Russia dan bahasa Inggeris.
Pembuka bicara kami dimulakan dengan bahasa Inggeris sebelum memasuki sesi lebih serius bagi merungkai dan memahami sejarah di benua Eropah.
Tidak semena-mena, Latypov meminta kami berbahasa Melayu sepanjang wawancara. Saya tergamam seketika. Terus saya mencelah dan faham niat beliau yang mahu kami mengagungkan bahasa Melayu, iaitu bahasa pertuturan seharian kita yang sudah dikenali masyarakat dunia. Lantas kami bertanyakan soalan-soalan dalam bahasa kebangsaan manakala Latypov menjawab dalam bahasa Inggeris.
Meskipun berlaku pertembungan bahasa Melayu dan bahasa Russia, sesi wawancara tetap berjalan lancar dengan bantuan penerjemah. Saya menyanjung tinggi inisiatif pejabat Kedutaan Besar Russia di negara ini yang menyediakan pegawai terlatih berbahasa Melayu.Ini sepatutnya diamalkan oleh semua kedutaan dari negara luar.
BUNYI
Ternyata bahasa sebenarnya boleh menghubungkan kita walaupun dari benua berbeza. Walaupun ‘bunyi’ lain, tetapi seolah-olah kita mampu memahami setiap aksara bahasa asing.
Simbiosis yang wujud antara penduduk dunia boleh mengeratkan kita. Ini kerana dengan bahasa, penduduk dunia mampu bersatu-padu. Dengan bahasa, kita mampu duduk semeja. Dengan bahasa, keamanan mampu dicapai.
Latypov malah memuji bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berucap dalam bahasa Melayu semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali ke-77 lalu di New York, Amerika Syarikat. Dengan tegas, beliau menyeru kami mengikut saranan itu dan bangga dengan identiti sendiri.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengingatkan semua pemimpin kerajaan agar mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap program yang dianjurkan di peringkat kebangsaan seperti termaktub dalam Dasar Kebangsaan. Permintaan tersebut bukan bermakna menghalang penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya, namun katanya, ia boleh dituturkan jika Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara antarabangsa.
Anwar juga pernah menegur pegawai dan pemimpin dalam kerajaan yang mengambil ringan soal penggunaan bahasa melayu dalam setiap program termasuk sidang akhbar. Jelasnya, sikap itu bukan sahaja melambangkan pendirian tidak teguh segelintir pemimpin bahkan menjejaskan imej bahasa kebangsaan.
Sementara itu, sepanjang dua jam pertemuan dengan Latypov, dapatlah diringkaskan kefahaman kami mengenai operasi khas ketenteraan di Ukraine. Kyiv ibarat menyewa rumah milik Moscow, namun gagal mematuhi peraturan sewa seperti menebuk dinding dengan paku, pecahkan lantai serta kerosakan lain.
Sebagai tuan rumah, sudah pasti Russia berang dengan tindakan Ukraine yang seolah-olah mencabar ketuanan Moscow. Apatah lagi Ukraine mula ‘menjemput’ orang luar berkunjung ke rumah dan bermalam berbulan-bulan lamanya sehingga mengganggu privasi jiran sekeliling.
Itu analogi ringkas bagi memahami sedikit situasi di sana. Namun, bukan itu yang mahu diceritakan saya. Cukup dengan isu berat yang membelenggu dunia sejak 24 Februari lalu.
Tuntasnya, bila tarikh akhir Russia akan menghentikan operasi ketenteraan khas di Ukraine? Persoalan itu masih membelenggu penduduk dunia walaupun empat wilayah di negara itu sudah diduduki, iaitu Donetsk, Luhansk, Kherson dan Zaporizhzhia.
Bulan lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin memberi isyarat untuk meneruskan misi greater historical Russia. Kemarahan Putin terhadap Barat tidak dapat diselindung lebih-lebih lagi apabila saluran paip gas Nord Stream diletupkan.
Sejak Perang Dunia Kedua berakhir, penaklukan semula wilayah disifatkan sebagai yang terbesar di Eropah. Walaupun terus disekat Barat, Russia tidak mudah mengalah kerana matlamat kian sampai penghujung.
Pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky sebenarnya sudah terlambat untuk berbaik-baik dengan Putin kerana berkerat rotan berpatah arang sebelum operasi khas ketenteraan terjadi.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











