Bukan senang nak buat semua rasa senang

Bukan senang nak buat semua rasa senang

BERILAH peluang kepada barisan Kabinet kerajaan perpaduan mengatur tadbir urus kerajaan dengan sebaiknya. – IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUTAAN penonton di seluruh pelosok dunia yang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia menerusi kaca televisyen galak memberi sokongan kepada pasukan-pasukan pilihan agar memperoleh kemenangan.

Masing-masing turut beraksi dengan cara tersendiri sambil ulasan di mulut tidak pernah terhenti dalam mengatur gerak supaya kesebelasan pemain bertindak berkesan untuk menghasilkan jaringan gol.

Cara ulasan dan komen menyusun pergerakan permainan di padang walau hanya sambil menonton di televisyen, mengalahkan jurulatih profesional. Ada kala semacam serba tidak kena. Dikatakan bola sepatutnya ditendang terus ke gol secara jarak jauh, ada dikatakan sepatutnya boleh ditolak ke sebelah kiri kanan atau ke belakang, patut dihantar lintang ke pemain sayap kanan, digelecek dan bermacam sepatutnya lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian besarnya harapan dan impian mahu melihat pasukan idaman meraih kejayaan. Tiada siapa patut menyalahkan mereka. Masing-masing individu mempunyai hak dan keinginan tersendiri dalam membuat pilihan dan mengharapkan kepuasan. Malah, para pemain juga tidak perlu kesal dengan sebarang kritikan penonton. Sebaliknya wajar menghormati perasaan sayang penonton terhadap pasukan mereka. Itu satu ‘advantage’ atau keistimewaan sebenarnya.

Senario dalam temasya bola sepak Piala Dunia di Qatar yang bergema ke seluruh dunia boleh diadaptasikan dengan perkembangan terkini politik tanah air. Setiap rakyat bebas bersuara. Dari sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehinggalah terbentuknya sebuah kerajaan baharu bagi Malaysia, pelbagai komen, ulasan, kritikan tidak pernah surut menghiasi segenap sumber terutama media sosial. Peratusan besarnya terarah kepada kecederungan negatif.

Persoalannya, sampai bila episod pertelagahan politik akan menemui titik keredaan, kalau pun tidak akan hadirnya sebuah penyelesaian? Tolonglah! Membiarkan suhu panas berpanjangan akan membuat seluruh anggota menjadi kejang dan letih tidak bermaya. Terlalu banyak masa dan tenaga tercurah hanya melayani karenah politiking sehingga fokus utama terabai, tersasar.

Mengurus khalayak yang besar jumlahnya memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Ada-ada sahaja ruang kritikan, cemuhan, sinis sindiran yang boleh dilemparkan jika diikutkan hati. Misalnya, kalau semua yang dianggap sepatutnya dilantik menganggotai barisan Kabinet, nanti dikatakan saiznya besar. Kalau tidak dilantik, dianggapnya ada yang dipinggirkan. Jangan sampai ada pihak seolah-olah cuba memperlekeh struktur dan institusi tadbir urus negara yang masih utuh dan berkredibiliti.

HATI TERBUKA

Hakikatnya, bukan itu sahaja kalangan terbaik untuk mengurus tadbir negara. Tentu ramai lagi yang layak dan yang wajar dilantik mewakili kelompok tertentu. Namun, dengan bilangan yang diperuntukkan untuk membarisi Kabinet baharu agak terhad, maka itu sahaja yang dapat disenaraikan. Itu pun sudah tentu melalui proses perkiraan yang cukup teliti terpaksa dibuat oleh pihak terbabit, khususnya Perdana Menteri sendiri. Bukan senang untuk membuat semua pihak berasa senang.

Justeru, elok jika ditarik nafas seketika untuk memberi peluang kepada pihak-pihak yang sudah pun dibuat pilihan pada PRU15 lalu mengatur tadbir urus kerajaan dengan sebaiknya. Apa pun yang ada di hadapan mata, itu sebenarnya hasil pilihan rakyat sendiri. Segalanya perlu diterima sebagai suatu kenyataan dengan berlapang dada dan hati terbuka. Jika tidak, apa sangat pilihan yang ada setelah undi selesai ditunaikan?

Untuk dilihat pada sudut positif, ada kalangan jemaah menteri yang baru dilantik menuturkan kenyataan-kenyataan yang boleh melegakan rakyat. Misalnya, “Terpilih menjadi menteri bukan satu keistimewaan sebaliknya suatu amanah melunas cabaran bsar menunggu di hadapan.” Ada juga berkata, “Kami menggalas amanah rakyat untuk menepati aspirasi rakyat.” Dan ada yang menyebut, “Kami adalah menteri untuk semua, tanpa hanya memberi perhatian kepada negeri atau kawasan yang ditandingi.”

Tertanya-tanya juga, pengkritik yang keterlaluan itu apa sebenar motifnya? Bersifat membina? Menegur? Meruntuh? Atau sengaja mahu menyekat daripada terbinanya suatu suasana yang stabil dan indah dalam dunia politik negara? Terserah kepada rakyat menterjemahnya. Betul, hak bersuara milik setiap warga. Namun, yang baik boleh membawa manfaat, yang buruk dikhuatiri akan menambah mudarat.

Malaysia perlu kembali stabil, progresif. Terlalu lama bergelumang dengan kancah politik bercakaran ternyata merugikan. Perlu ada usaha tiba ke garisan penamat. Elok diberi sokongan atas sebarang usaha untuk memacu ekonomi negara dan menangani masalah kos sara hidup rakyat. Negara perlu suasana yang boleh menggamit pelabur luar. Peluang pekerjaan diharap lebih segar dan terbuka luas.

Kenyataannya, rakyat mahu menikmati suasana makmur dan sejahtera. Pendapatan diharap dapat ditingkatkan, sementara kualiti kehidupan menuju tahap lebih memuaskan. Pertanyaan rakyat, “Kalau sebelum ini suasana begini mampu dikecapi, kenapa sekarang usaha ke arahnya semacam diketepi?”-UTUSAN

Jangan kesal pada kegelapan malam. Doakan esok masih ada mentari menyinari alam.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×