PETALING JAYA: Penyertaan pengundi berusia 18 tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi kesan positif, sekali gus menafikan persepsi kononnya mereka tidak peka dengan politik tanah air.
Malah undi mereka menyebabkan keputusan pilihan raya tergantung apabila tiada parti politik mencapai kemenangan majoriti mudah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, trend pengundian golongan muda berdasarkan kiraan undi di beberapa pusat pengundian di kawasan bandar dan luar bandar menyaksikan pengundi berumur 18 hingga 25 tahun di saluran 4 adalah paling tinggi berbanding saluran lain.
Menurut beliau, kajian Ilham Centre bermula pada hari penamaan calon menepati ramalan menyaksikan peratusan keluar mengundi golongan muda mencecah 83 hingga 90 peratus.
“Secara keseluruhannya, berlaku gelombang ‘tsunami Melayu’ yang disumbang besar oleh pengundi-pengundi muda yang menguntungkan Perikatan Nasional (PN).
“Tetapi undian memang terbelah antara etnik Melayu mengundi PN dan bukan Melayu mengundi Pakatan Harapan (PH). PN dan Barisan Nasional (BN) bertembung di kawasan Melayu, yang akhirnya, undi anak muda terhayun kepada PN,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia mendakwa, undi 18 tahun antara punca negara menjadi tidak menentu serta tiada pemerintah untuk tempoh agak panjang.
Oleh itu, Hisomuddin berkata, pengundi muda tidak boleh dipandang rendah atau digelar tidak matang.
“Apabila kata tidak matang, jadi perlu buat proses untuk mematangkan mereka. Nilai mereka sama dengan orang dewasa, ada hak untuk mengundi,” katanya.- UTUSAN










