Rombak jawatan penting, sensitif

Rombak jawatan penting, sensitif

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menilai dan merombak semula jawatan-jawatan yang disifatkan penting dan sensitif terutama mereka yang dilantik atas kapasiti politik bagi menegakkan semula kedaulatan undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jawatan-jawatan yang disifatkan sensitif dan penting itu ialah Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tidak menjadi satu kesalahan individu lantikan politik memegang jawatan itu tetapi mereka perlu membuktikan mampu menjalankan tugas dengan penuh amanah, profesional serta tidak memihak.

“Kalau mereka yang memegang jawatan itu adalah orang mempunyai pegangan politik dan memihak, bagaimana rakyat boleh yakin. Kalau pelaksana undang-undang ini tempang atau lumpuh, maka nampak macam mahkamah tak buat apa-apa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas demikian berhubung kewajaran menukar atau melakukan rombakan terhadap perjawatan penting di agensi atau suruhanjaya kerajaan selari dengan perubahan kerajaan seperti mana amalan biasa sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata, proses rombakan itu bagaimanapun tetap memerlukan penelitian dan asas yang kukuh.

Katanya, ini kerana perubahan berulang kali memberikan persepsi bahawa kerajaan mahu meletakkan ‘orang’ mereka di jawatan tersebut.

“Contohnya Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus, saya tidak melihat keputusan AG tidak mematuhi kedaulatan undang-undang atau mengambil (tindakan) melampau seperti mana zaman AG sebelum ini.

“Maka, dalam keadaan itu, adakah wajar untuk kerajaan membuat pertukaran semata-mata kerana beliau (Idrus) dilantik bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melainkan mempunyai asas yang kukuh beliau tidak neutral.

“Contoh lain pula adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (yang) mempunyai beberapa isu integriti yang dibangkitkan berkaitan dengan pegangan saham. Jawapan diberi pada Januari 2022 tidak begitu memadai sebagai penjawat tertinggi SPRM, (maka) dalam keadaan itu, ada asas untuk tukar,” jelasnya.

Beliau menambah, sebarang pertukaran perjawatan penting dan sensitif itu tetap perlu dipilih dalam kalangan mereka yang neutral sekiranya berlaku pertukaran, dan bukannya mereka yang mempunyai pegangan politik tertentu termasuk prokerajaan.

“Sesiapa yang perlu ditukar boleh ditukar dengan asas yang kukuh demi integriti dan mendaulatkan undang-undang, tetapi yang penting yang ditukar jangan menimbulkan persepsi tiada amanah, tidak berintegriti dan berkepentingan,” jelasnya.

Senada, geostrategis Prof Dr. Azmi Hassan berkata, rombakan mana-mana perjawatan penting itu wajar berlaku bersandarkan kepada komitmen Anwar untuk melantik seseorang bersandarkan kepada keupayaan mereka.

“Kalau terbukti mereka yang berada dalam jawatan sensitif itu tidak berupaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik kerana lebih mirip kepada tanggungjawab memenuhi kehendak politik, maka sewajarnya individu itu ditukar.

“Namun, jika individu tersebut dalam jawatan sensitif telah melakukan tanggungjawab yang baik dan tidak berat sebelah, maka tidak ada salahnya dikekalkan mereka kerana ini bukan sembarangan jawatan.

“Penukaran jawatan sensitif akan menjadi isu yang sensitif, maka perlu ada satu dalil dan hujah yang kuat kenapa individu itu perlu ditukar, mesti ada dalil yang selari dengan komitmen Anwar bahawa Kabinet beliau adalah Kabinet boleh bekerja, bukan sebagai ganjaran politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, mana-mana rombakan perjawatan penting perlu mengambil kira keadaan dan suasana politik ketika ini dengan adanya kerajaan perpaduan dan sambutan baik daripada rakyat.

Namun, katanya, ia seharusnya diserahkan kepada budi bicara dan kebijaksanaan Perdana Menteri

“Kita tak boleh menentukan apakah yang sesuai atau tidak bersebab suasana berubah dan perubahan itu perlu diakui.

“Tetapi, terserah kepada Perdana Menteri untuk berbincang dan berunding kerana (beliau) lebih memahami keadaan yang banyak faktor penentu.

“Namun, matlamatnya mesti ada tatakelola baik, proses yang telus dan keyakinan kepada rakyat berkenaan pelantikan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN