Kajian menunjukkan, bayi pramatang dan kurang berat badan berkait rapat dengan ibu yang mempunyai masalah berkaitan gusi dan periodontal.
Ini berikutan bakteria yang menyebabkan masalah gusi bengkak dan periodontal ini akan melepaskan mekanisma inflamasi yang boleh menyebabkan kelahiran bayi pramatang.
Bayi pramatang, cenderung mengalami masalah kesihatan seperti jangkitan, asma dan masalah penyusuan sewaktu mereka membesar.
Justeru, Pensyarah Kanan, Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA, (UiTM) Sungai Buloh, Dr. Mohd. Shawal Firdaus Mohamad berkata, kajian di luar negara mengatakan 40 peratus daripada ibu hamil mempunyai masalah gigi.
Justeru katanya, amat penting bagi ibu hamil menjaga kesihatan gusi dan gigi sepanjang kehamilan mereka.
“Punca masalah gigi ketika hamil biasanya akibat daripada perubahan peningkatan hormon ketika mengandung seperti estrogen.
“Kebersihan mulut yang tidak dijaga dengan rapi menyebabkan gusi bertambah sensitif seterusnya masalah berkaitan pergigian akan berlaku seperti gingivitis dan periodontitis,” katanya kepada Seri.
Pening dan kerap muntah akibat daripada kehamilan juga boleh menyebabkan kerosakkan pada enamel gigi, seterusnya menyebabkan karies gigi. Manakala air liur berkurangan semasa mengandung juga akan mengakibatkan karies gigi.
Semasa mengandung, perubahan hormon boleh meningkatkan keasidan dalam mulut, menyebabkan rongga gigi menjadi lebih besar.
Ia juga boleh disebabkan peningkatan pengambilan gula.
Ligamen dan tulang dalam mulut mungkin longgar buat sementara waktu semasa kehamilan, mengakibatkan gigi bergoyang sedikit.
Ini tidak menyebabkan kehilangan gigi tetapi ia boleh membimbangkan.
Keadaan lain juga boleh menyebabkan gigi longgar. Jadi, sebaiknya bakal ibu jalani pemeriksaan gigi sebelum dan ketika hamil.
Masalah pergigian ibu hamil
Antara masalah pergigian biasa berlaku kepada ibu hamil adalah karies gigi, gusi berdarah dan bengkak (gingivitis).
Dr. Mohd Shawal berkata, masalah lain berkaitan gigi ialah periodontal gigi yang akan menyebabkan gigi longgar (periodontitis), epulis kehamilan (ketumbuhan pada gusi ketika mengandung), gusi menebal (gingival Hyperplasia) dan perubahan pada air liur.
“Biasanya, pemeriksaan pergigian adalah sekali sebulan tetapi ia akan bertambah jika ibu hamil mempunyai masalah pergigian atau sistemik.
“Hampir semua Rawatan Komprehensif pergigian seperti cabutan, tampalan, rawatan akar dan penskaleran adalah selamat, tetapi bakal ibu perlu memberitahu doktor pergigian mengenai keadaan kandungan mereka.
“Pemeriksaan pergigian amat penting pada tiga bulan pertama dan tiga bulan terakhir kerana kesihatan mulut boleh mempengaruhi kesihatan ibu dan kandungan beliau.
“Jika prosedur itu kompleks dan bersifat elektif dan bukan bersifat kecemasan ia perlu ditangguh selepas kelahiran bayi,” katanya yang menegaskan, rawatan cabutan dan tampalan ketika hamil adalah selamat.
Masa terbaik untuk rawatan pergigian adalah pada waktu trimester kedua, tetapi rawatan yang bersifat elektif dan kompleks perlu ditangguh selepas kelahiran anak.
Langkah cegah masalah gigi
Menjaga gigi sejak awal supaya tiada masalah ketika mengandung.
Elakkan makanan bergula tinggi dan diganti dengan makanan seimbang dan berkhasiat.
Dr. Mohd Shawal berkata, langkah mengelakkan masalah pergigian adalah dengan menjalani pemeriksaan kesihatan yang kerap oleh doktor pergigian.
“Penjagaan kebersihan mulut secara komprehensif dan menyeluruh hendaklah dilakukan untuk mengawal masalah plak pada gigi.
“Ibu mengandung juga haruslah mengamalkan diet sihat dan seimbang untuk kesihatan mulut dan gigi. Diet mengandungi kalsium yang tinggi dan Vitamin A, C dan D seperti produk tenusu, sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan amat penting untuk dimakan secara seimbang semasa hamil,” katanya.
Ubat gigi yang mengandungi flourida dipasaran dan diiktiraf oleh FDA adalah selamat untuk digunakan semasa mengandung.
Bakal ibu juga tidak perlu bimbang untuk menggunakan ubat kumur yang diiktiraf oleh FDA kerana ia selamat digunakan oleh ibu mengandung.










