Imbangi baik, buruk, elak anak muda taasub - Utusan Malaysia

Imbangi baik, buruk, elak anak muda taasub

RAFIDAH KASTAWI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIWA anak muda sering memberontak apabila dikaitkan dengan isu yang tidak selari dengan mereka.

Ulas Kaunselor Berdaftar, Dr. Rafidah Kastawi kepada Seri, semangat membara itu lahir dek sifat semula jadi mereka yang berdarah panas, mudah untuk melontarkan rasa hati tanpa mengira baik dan buruk akan berlaku di kemudian hari.

Katanya, pendedahan kepada media sosial membuatkan mereka bebas melontarkan maklum balas, menjadikan medium berkenaan seolah-olah lokasi meluahkan rasa tidak puas hati.

“Mereka juga banyak memendam perasaan hingga cepat sahaja memaki hamun, atau meluahkan rasa, biarpun tidak tahu perkara sebenarnya,” katanya.

Selain semangat membara, anak-anak muda ini melihat kepada siapa yang mempengaruhi mereka atau terpengaruh dengan idola mereka.

“Jadi, apabila mereka mempunyai idola tanpa mengambil tahu dan tidak tahu secara mendalam tentang itu, ia menyebabkan mereka terpengaruh dan mudah terpesong,” katanya.

PENDEDAHAN ARUS PERDANA TIDAK TERKAWAL
Tambah beliau, generasi muda mudah mendapat maklumat sumber yang tidak diketahui akan relevan atau betul atau tidak. Tetapi mereka menjadikannya peluang menjadi fanatik kepada parti politik atau pihak lawan.

“Pendedahan melalui internet, media sosial dan sebagainya, mempengaruhi jiwa anak muda untuk melantunkan rasa hati tidak suka dan menjadikan medium ini peluahan kepada diri mereka,” katanya.

ELAK TAaSUB, BELAJAR IMBANGI
Mengelakkan ketaasuban berlaku dalam diri anak muda paling penting adalah bantu dan bimbing mereka untuk memilih.

“Jiwa mereka juga perlu memilih dengan ilmu, tidak hanya terbatas dengan apa yang dilihat dalam internet atau media sosial. Mereka perlu bijak mengimbangi perkara baik dan buruk. Tidak hanya menggunakan kata hati, ikut rasa, pengaruh rakan dan persekitaran. Memilih idola, pemimpin dan minat yang boleh memberi manfaat serta kebaikan kepada diri sendiri,” katanya.

Pengisian ilmu yang bagus daripada media atau di internet dan individu yang signifikan seperti guru dan pemimpin dapat membantu anak-anak muda untuk tidak taaksub dengan apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

“Mereka hanya mendengar, melihat, membaca dan sebagainya sedangkan mereka tidak tahu perkara sebenar, jadi amat penting untuk memberi bimbingan kepada generasi ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×