BUKU Kala Kesunyian Membingitkan meluahkan rasa hati penulis dan pelukis, Fai Zakaria menerusi seni lukisan. Buku itu merupakan kompilasi karya lukisan daripada siri ‘jantung’ penulis bermula dari 2012 hingga 2020.
Dalam buku berkenaan, Fai Zakaria atau Ayu Fairuza Zakaria banyak menceritakan mengenai dirinya dan orang sekeliling. Fai menulis siri anatomi jantung dengan unsur surealisme sebagai cara beliau menyampaikan apa-apa yang dirasa, tafsir, lihat, mendengar dan menyingkap ciri-ciri objek yang tersembunyi dalam badan kita.
“Jantung menjadi pilihan kerana ia tempat saya lepaskan apa yang tersirat dan saya pendamkan,” katanya pada Bicara Buku Kala Kesunyian Membingitkan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.
Katanya, kesunyian membingitkan adalah situasi dirinya ketika keseorangan dan sentiasa berfikir sehingga mengganggu diri.
“Ia membantu melenyapkan imaginasi yang mengganggu diri,” katanya yang memiliki latar dalam bidang hiasan dalaman.
Naskhah itu merupakan terjemahannya daripada buku asal, When the Silence Gets Too Loud.
Penulis mengajak pembaca ke dalam alam seni yang cukup indah kerana dalam buku ini membawa perihal di sebalik tabir yang menceritakan tajuk dipilih, kaitan lukisan dengan tajuk serta lakaran dan nota.
Keistimewaan buku ini, memberi kesedaran kepada pembaca mengenai bagaimana sesuatu karya lukisan itu dihasilkan dan proses pembuatan, disertakan dengan gambar lukisan serta cerita di sebalik penghasilan karya.
Menceburi bidang seni selama 13 tahun dengan menyertai pameran di Malaysia dan luar negara, Fai menghasilkan lebih 200 karya jantung namun memilih 45 karya lukisan untuk dibukukan.
“Saya membukukan karya lukisan dan koleksi ini kerana ingin menginfakkan karya kepada pembaca, biarpun setiap karya boleh mencecah harga RM36,000 sekiranya dijual dalam bentuk catan,” katanya.
Fai turut mencoretkan pengalaman ketika berada di Eropah selama dua bulan mewakili Malaysia untuk pameran lukisan di Vienna baru-baru ini.











