PETALING JAYA: Pengasingan fungsi dan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya memerlukan iltizam politik dalam kalangan 222 ahli Parlimen kerana perubahan itu memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan itu membabitkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu pendakwaan di mahkamah.
Tanpa sokongan menyeluruh ahli-ahli Parlimen adalah mustahil untuk meminda klausa undang-undang itu bagi memisahkan bidang kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya walaupun secara prinsipnya langkah itu mempunyai matlamat mengelak konflik pendakwaan terpilih.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pindaan Perkara 145 wajib dilakukan sekiranya kerajaan mahu melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kerana undang-undang itu merupakan punca kuasa utama kepada kuasa pendakwaan.
Katanya, menerusi pindaan itu, kuasa pendakwaan tidak lagi diletakkan di bawah bidang kuasa Peguam Negara sebaliknya diserahkan kepada satu lagi pihak iaitu Pendakwa Raya.
“Untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, ia memerlukan sokongan dua pertiga ahli-ahli Parlimen seperti mana pernah dilakukan kepada undang-undang anti lompat parti dan penurunan had undi pengundi kepada 18 tahun.
“Perkara ini menuntut iltizam semua 222 ahli Parlimen bukan sahaja melibatkan blok kerajaan tetapi juga blok pembangkang agar mereka sebulat suara meluluskan pindaan Perkara 145 khususnya Perkara 145 (3) tiga iaitu kuasa Peguam Negara terhadap pendakwaan,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat senada dalam usaha melaksanakan agenda transformasi undang-undang apabila manifesto kedua-dua parti mempunyai satu persamaan iaitu pengasingan fungsi dan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Jika mengambil jumlah keseluruhan ahli Parlimen PH dan BN iaitu sebanyak 113 orang, namun angka itu masih belum cukup mencapai dua pertiga Parlimen yang sekurang-kurangnya 148 wakil rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Namun usaha itu bukan satu yang baharu apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merancang melaksanakannya, namun terhenti kerana pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Nik Ahmad Kamal, kebanyakkan negara termasuk United Kingdom meletakkan tanggungjawab pendakwaan di bawah Pendakwa Raya dan tidak lagi di bawah Peguam Negara bagi mengelakkan konflik dan campur tangan politik.
Ujarnya, selama ini Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri di dalam kalangan seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.
“Malah Peguam Negara mempunyai kewajipan menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang.
“Untuk mengelakkan konflik politik badan eksekutif, maka kuasa pendakwaan perlu diserahkan kepada Pendakwa Raya yang berkuasa penuh dalam soal ini, manakala Peguam Negara hanya berperanan dalam menasihati Kabinet dan menderaf undang-undang,” katanya. – UTUSAN










