Kami sedia sambung legasi Dr. Mahathir

Kami sedia sambung legasi Dr. Mahathir

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) melibatkan diri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai salah satu parti dalam Gerakan Tanah Air (GTA) di mana di dalamnya terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipanggil Gagasan Bangsa. Oleh kerana GTA masih tidak diluluskan pendaftarannya, semua calonnya yang bertanding dalam PRU15 menggunakan logo Pejuang.

Keputusannya umum tahu, Pejuang tidak memenangi satu pun kerusi yang dipertandingkan malah hilang semua deposit. Jika hendak mencari alasan kepada punca kekalahan ini, sudah pasti senarainya agak panjang.

Boleh sahaja dipersalahkan masa tidak mencukupi kerana GTA baru diumumkan tidak sampai tiga bulan, Parlimen sudah dibubarkan dan terus terlibat dengan PRU15, tidak sempat menerangkan kepada rakyat yang melebihi 30 juta orang, apa dan kenapa GTA ditubuhkan. Boleh juga menyalahkan dana yang tidak sehebat parti-parti lawan yang tidak terfikir banyaknya. Banyak lagi alasan boleh diberikan, namun ia tidak akan membantu keadaan yang sedang kita hadapi sekarang.

Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri sebagai Pengerusi Pejuang, akur dan menerima kekalahan ini. Dalam ucapannya di satu program tertutup parti, beliau menyatakan tiada guna mencari alasan kenapa kekalahan ini berlaku. Yang perlu sekarang ialah memperbaiki dan fokus kepada nasib orang Melayu pada masa akan datang.

MODERAT

Pejuang dan GTA masih perlu wujud untuk memperjuangkan orang Melayu khususnya dan demi kesejahteraan negara umumnya. Pejuang adalah sebuah parti Melayu yang moderat dan bertoleransi terhadap kaum-kaum lain. Pejuang dan GTA perlu diperkenalkan dengan lebih menyeluruh kepada rakyat.

Belum sempat mengadakan perhimpunan agungnya yang pertama, Pejuang menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan bertanding 42 kerusi, kemudian PRU15 sebanyak 125 Kerusi. Bukannya Pejuang tidak tahu risiko yang diambil tetapi Pejuang ingin menunjukkan kepada rakyat bahawa kami adalah parti yang serius hendak mentadbir negara sebagai sebuah kerajaan Melayu wibawa, moderat dan toleransi.

Penubuhan Pejuang bukanlah untuk sementara ini sahaja. Pejuang diwujudkan untuk melangkaui masa melepasi kepimpinan Dr. Mahathir.

Melihat kepada situasi sekarang, Malaysia masih memerlukan pengalaman dan kebijaksanaan Dr. Mahathir untuk menentukan hala tuju negara demi rakyat, khususnya masa depan orang Melayu. Apabila tiba masanya, barisan kepimpinan yang wibawa dan kompeten sentiasa bersedia untuk menyambung legasi Dr. Mahahtir demi bangsa Melayu, agama Islam dan negara Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×