Awas propaganda LGBT alaf baharu

Awas propaganda LGBT alaf baharu

RUSSIA baru-baru ini meluluskan rang undang-undang melarang propaganda berkaitan LGBT dalam kalangan golongan dewasa. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING KALI masyarakat merasakan propaganda sesebuah idea itu berlaku secara terancang dan melalui pelan strategik yang direka bagi melanjutkan agenda politik. Adapun begitu, penularan idea secara tidak dirancang terlebih dahulu juga merupakan salah satu ciri propaganda yang tersebar secara sendirinya tanpa pelaku mempunyai kesedaran tentang ideologi didukungi. Apatah lagi kesannya buat warga umum daripada pelbagai latar belakang umur dan pendidikan sudah semestinya tidak mudah menghadam maksud dan akar sesebuah falsafah atau gaya hidup jika tidak diberi pencerahan lanjut.

Bagi menangani masalah penularan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), satu langkah drastik namun berobjektif diambil kerajaan Russia baru-baru ini dengan meluluskan rang undang-undang (RUU) melarang propaganda berkaitan LGBT dalam kalangan golongan dewasa. Pindaan terbaharu undang-undang antipropaganda homoseksual tersebut bertujuan mengukuhkan peruntukan sedia ada serta menaik taraf penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang asal pada 2013 yang menghalang sebarang fahaman tentang LGBT disebar kepada kanak-kanak bawah umur.

Generasi yang hidup dalam era digitalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat kini tidak dapat lari daripada penampakan produk-produk hasil propaganda LGBT seperti lelaki asli berpakaian seperti wanita atau pasangan sesama jantina bercumbuan dalam adegan filem di panggung wayang. Oleh itu, Parlimen rendah Russia kini menetapkan larangan ‘propaganda gay’ termasuk apa-apa yang disebarkan melalui media, internet, iklan, bahan sastera dan pawagam.

Budaya di luar kebiasaan dan antikeluarga tersebut jelas tidak diterima di tanah air kita apabila filem bertaraf antarabangsa seperti Thor: Love and Thunder dan Lightyear tidak ditayangkan secara umum selepas mendapat bantahan daripada orang ramai dan sekatan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Larangan terhadap propaganda pedofilia iaitu keinginan mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak turut dimuatkan dalam rang undang-undang terkini yang telah melalui bacaan ketiga dan terakhir di Parlimen Rusia. Hal ini terbukti relevan kerana kempen terbaharu untuk koleksi pakaian bagi 2023 yang dipromosikan oleh sebuah jenama mewah memaparkan dua kanak-kanak perempuan memperagakan koleksi baju sambil dikelilingi alat permainan seks. Perbuatan jijik tersebut berpotensi membuka ruang eksploitasi seksual secara mental dan fizikal terhadap kanak-kanak bawah umur dan seakan-akan membenarkan tingkah laku manusia tidak waras yang bernafsu terhadap anak kecil.

TIDAK SENONOH

Selain mengharamkan ‘penolakan terhadap nilai kekeluargaan’, RUU tersebut juga mempunyai klausa menyekat propaganda yang boleh ‘menyebabkan kanak-kanak bawah umur ingin menukar jantina mereka.’

Tindakan Russia sekali lagi tepat dan mengena sasaran apabila paparan babak tidak senonoh, lucah serta aneh tidak lagi dibenarkan untuk ditayangkan di negara mereka dek wujudnya peruntukan sedemikian. Hal ini berikutan trend membiasakan paparan LGBT dalam bentuk filem dan siri animasi semakin rancak diperlihatkan kepada kanak-kanak menerusi kartun seperti Peppa Pig, Doc McStuffins dan My Little Pony di rancangan televisyen awam. Bertepatan dengan nilai konservatif diamalkan di Russia, mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang negara berkenaan akan diusir.

Bahkan, Qatar menunjukkan sisi tegas mereka dengan menegah mana-mana individu daripada membawa masuk elemen LGBT sepanjang Piala Dunia FIFA 2022 berlangsung. Selaku negara hos yang berwibawa dan tekad dengan prinsip berasaskan hukum agama, pihak berkuasa Qatar telah melarang seorang wartawan stesen penyiaran CBS Sports, Grant Wahl daripada memasuki stadium kerana memakai baju T bercorak pelangi dan menarik keluar seorang penonton ketika perlawanan bola sedang berlangsung atas sebab mengenakan gelang tangan bertemakan unsur pelangi.

Saya berpendapat, mana-mana undang-undang antihubungan atau gaya hidup songsang perlu dinilai melangkaui sekadar persoalan pertikaian politik sesama dua kuasa besar dunia iaitu Russia dan Amerika Syarikat. Peperangan yang tercetus antara Ukraine dan Russia tidak boleh menutup mata masyarakat dunia tentang bahayanya kedatangan perang saraf iaitu penularan ideologi LGBT yang tidak kurang hebatnya dalam menentukan masa hadapan anak bangsa.

Bahkan saya menyokong penuh kenyataan ahli Parlimen kanan Russia, Alexander Khinshtein yang menegaskan operasi ketenteraan khas berlaku bukan sahaja di medan perang tetapi juga dalam fikiran orang ramai.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang dilantik untuk menjadi pemerintah kaum Muslimin, kemudian dia memerintah dalam keadaan sambil lewa, maka dia akan dilaknat oleh Allah.”

Justeru, sebagai warganegara yang prihatin akan kemaslahatan sistem kekeluargaan dan ketinggian agama di negara ini, saya menggesa agar kerajaan yang dibentuk nanti untuk segera menghayun langkah dengan beriltizam bagi menggubal undang-undang khusus berkaitan larangan penyebaran fahaman songsang LGBT di peringkat Persekutuan. Kita perlu lebih agresif dalam mengatasi permasalahan serius ini agar kebejatan sosial yang kian menular dalam kalangan rakyat dapat dikekang dan dirawat sedari peringkat awal. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Setiausaha Agung Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×