PETALING JAYA: Lebih 10,000 pengundi berdaftar terlepas peluang menunaikan tanggungjawab mengundi jika pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri diadakan pada musim haji, tahun depan.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah itu melebihi separuh daripada kuota jemaah haji kira-kira 30,000 orang yang ditetapkan di negara ini, setiap tahun.
Sehubungan itu, katanya, tempoh masa terbaik bagi pelaksanaan PRN adalah selepas ibadah haji dan jemaah pulang ke tanah air.
Katanya, pemilihan tarikh dan masa bagi PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) perlu mengambil kira faktor utama iaitu mengelak pertembungan dengan hari-hari penting yang melibatkan aktiviti keagamaan, perayaan, kebesaran dan keputeraan raja-raja.
“Sebaik-baiknya PRN di Kedah, Kelantan Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak dibuat bertembung dengan umat Islam yang membuat persiapan atau yang mahu mengerjakan ibadah haji di Mekah.
“Jika bertembung dengan 10 Zulhijah, sudah pasti lebih 10,000 rakyat Malaysia terlepas hak untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan PRN di enam negeri perlu diadakan awal untuk mengelakkan pertembungan dengan perayaan dan pelaksanaan musim haji jika dilakukan selepas Mac tahun depan.
Tarikh perayaan Aidilfitri dijangka pada 22 April 2023 bergantung kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja manakala Hari Raya Aildiladha pula pada 29 Jun 2023.
Lazimnya, kumpulan petugas Lembaga Tabung Haji dan pasukan Kementerian Kesihatan akan berlepas mulai 2 Syawal bagi membuat persiapan awal di tanah suci.
Sementara itu, Wan Ahmad percaya kerajaan negeri terlibat menyedari perkara tersebut terutama soal sensitiviti rakyat, kaum dan masyarakat yang perlu diberi perhatian serius.
Katanya, pertembungan tarikh PRN dengan musim haji, bukan sahaja mampu mengundang kemarahan rakyat malah turut memberi implikasi kepada peratusan keluar mengundi.
“Di samping itu, tidak adil untuk SPR yang mungkin berdepan kesukaran untuk mendapatkan petugas pilihan raya jika PRN dibuat pada musim haji,” katanya. – UTUSAN










