SEREMBAN: Sebarang pandangan dan cadangan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini termasuk mengambil kira perayaan dan musim haji tahun hadapan.
“Jika boleh hendak lepaskan (musim haji) nanti kita tengok, macam mana dan waktu sesuai kita bincang, rasanya kita ada enam negeri yang boleh disekalikan dan yang pasti bagi negeri PH kita akan mengadakan sekali serta mengelakkan sewaktu musim menunaikan haji.
“Kemungkinan habis penggal pada Julai, berkemungkinan juga pada Jun atau Julai boleh la kita buat PRN. Saya terima cadangan itu sebagai perhatian.
“Kita ada dua kemungkinan iaitu mengadakan PRN sebelum Hari Raya Aidiladha atau selepas perayaan ini iaitu selepas mereka balik menunaikan haji. Kita akan bincang bersama Majlis Presiden dan kami akan mengambil kira mengenainya,” katanya.
Aminuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan enam PRN perlu diadakan awal bagi mengelak bertembung dengan perayaan dan musim haji jika ia dilakukan selepas Mac tahun depan.
Tarikh perayaan Aidilfitri dijangka pada 22 April 2023 bergantung kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja manakala Hari Raya Aildiladha pula pada 29 Jun 2023.
Di KOTA BHARU, jentera Pilihan Raya Pas Kelantan percaya kerajaan negeri akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk urusan ibadat haji sebelum membuat keputusan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Pengarah Pilihan Raya Pas negeri Zulkifli Mamat berkata, setakat ini segala urusan berkait dengan perkara tersebut masih belum dibincangkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Saya yakin pimpinan akan mengambil kira semua faktor dalam membuat ketetapan berkait dengan PRN.
“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Dari segi kekuatan jentera, kita sudah bersedia untuk menghadapi PRN. Lagipun kami sudah bekerja pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Zulkifli memberitahu, PRU15 lalu merupakan sesi latihan sebagai persiapan untuk mengharungi PRN negeri nanti.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) Terengganu memberitahu pihaknya tidak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini pada musim haji tahun depan.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu Ariffin Deraman berkata, PN Terengganu masih belum memuktamadkan tarikh PRN di negeri ini.
Menurutnya, perbincangan mengenai perkara tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Pada dasarnya, ada beberapa pilihan tarikh yang dilihat sesuai untuk mengadakan PRN, namun perlu melihat banyak aspek antaranya tarikh beberapa perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
“Idealnya adalah selepas Mac (2023) atau jika masih ada masa, kita akan buat selepas Hari Raya Aidiladha,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali pula berkata, PRN di negeri ini kemungkinan diadakan pada Jun tahun hadapan sebelum genap lima tahun.
Katanya, persidangan DUN yang bermula semalam hingga 1 Disember ini berkemungkinan yang terakhir sebelum PRN.
“Kita masih mempunyai masa dan peranan sama ada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang untuk terus membangunkan negeri kita sebelum tiba waktu tersebut,” ujarnya.- UTUSAN










