Kepayahan 11 minggu Jac berbaloi - Utusan Malaysia

Kepayahan 11 minggu Jac berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) melabuhkan tirainya dengan menobatkan penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor sebagai juara.

Kemenangan itu menepati ramalan ramai, malah sepanjang 11 minggu persaingan, Jaclyn atau mesra disapa Jac sentiasa mempamerkan mutu persembahan yang membanggakan.

Kesungguhan, konsistensi dan persembahan yang memukau melayakkan penyanyi yang popular dengan lagu Gemilang itu meraih markah tertinggi iaitu 85.86 peratus, sekali gus menghampakan lima pesaing lain.

Mengulas kemenangan Jac, Ketua Juri, Datuk Ramli MS berkata, pemilihan juara bukan berdasarkan x-factor yang dimiliki penyanyi itu semata-mata, sebaliknya persembahan yang ditonjolkan pada pusingan akhir.

“GV9 tidak melihat bakat semula jadi peserta, tetapi kita menilai bunyi dan bagaimana bakat mereka dikembangkan mengikut tugasan lagu yang diterima.

“Kita menjuri setiap peserta dalam tempoh sembilan minit berdasarkan persembahan solo dan battle,” katanya pada sidang akhbar selepas kemuncak GV9 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kelmarin.

Ramli menjelaskan, peserta dinilai berdasarkan persembahan solo mewakili 70 peratus, manakala 30 peratus lagi untuk pusingan battle.

Jelasnya, Jac meraih markah tertinggi bagi kedua-dua tugasan, sekali gus mengetepikan pencabar lain.

“Bagi tugasan rap, Sheila dan Jac adalah peserta yang bagus. Semasa pusingan battle, Jac dilihat bekerja keras dan persembahan rapnya berbeza daripada sesi raptai,” jelasnya.

Juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat turut berpandangan sama. Baginya, pemilihan pemenang adalah berdasarkan persembahan yang dihidangkan pada malam akhir.

Jelasnya, penentuan juara sama sekali tidak mengambil kira markah yang diperoleh peserta sepanjang persaingan GV9 berlangsung.

“Semua peserta boleh menyanyi dan pernah berada pada kedudukan pertama hingga keenam. Jac sendiri pernah berada pada kedudukan keenam.

“Kita bukan hanya menjurikan vokal peserta semata-mata, tetapi turut menilai elemen lain. Malam ini, sudah terbukti Jac adalah juara,” katanya.

Mengulas persembahan semasa konsert akhir, Syafinaz berkata, GV9 adalah musim yang paling mencabar kerana keenam-enam peserta memberikan tentangan hebat antara satu sama lain.

“Contohnya, Hazrul Nizam yang berada pada kedudukan keenam memberikan persembahan sangat baik. Meskipun berada di bawah, itu bukan bermaksud dia kalah.

“Saya sangat gembira melihat kemajuan setiap peserta seperti VE. Sebelum ini, saya pernah komen ada bahagian nyanyian yang tidak seimbang. Namun, persembahan mereka sangat baik dan sudah ada keseimbangan pada malam akhir,” katanya.

KECEKALAN JAC

Membawa pulang hadiah utama RM100,000 merupakan bonus buat Jac yang tidak pernah mengimpikan gelaran juara akan menjadi miliknya.

Apatah lagi, penyanyi yang menembusi pasaran komersial selepas menjuarai Malaysian Idol pada 2004 ini mengalami masalah kronik pada bahagian hidung sehingga persembahannya pada minggu pertama dikritik sengau oleh warga maya.

Walaupun berdepan alahan, ibu dua anak ini sentiasa meletakkan sasaran untuk melakukan yang terbaik pada setiap persembahan.

“Saya tidak pernah anggap hendak menang kerana apa yang penting, saya buat sehabis baik. Apabila orang memberikan harapan untuk saya muncul juara pada setiap minggu, sudah tentu ada sedikit tekanan.

“Saya hanya berpegang buat sehabis baik dan kalau ada rezeki menang, itu bonus,” katanya.

Ditanya cabaran semasa segmen battle menerusi lagu The Real Slim Shady yang dipopularkan Eminem dan Sang Saka Biru nyanyian Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Alyph, Jac pada mulanya sangat terkejut dengan lagu tugasan yang diberikan untuk pusingan tersebut.

“Ia sangat mencabar sebab pada mulanya, saya ingat kami akan diberikan hanya satu lagu rap. GV9 penuh dengan kejutan. Bagi saya, lagu The Real Slim Shady sangat susah dari segi tempo, kelajuan dan rap itu sendiri,” katanya.

Menerusi persembahan solo, Jac yang mendendangkan dua lagu Inggeris iaitu It’s All Coming Back To Me Now (Celine Dion) dan This Is Me (Keala Settle) memukau hadirin dengan kematangan vokal yang ditampilkan.

Jelasnya, dia bersyukur pengalaman sepanjang 18 tahun menceburi bidang seni, selain menyertai pelbagai program realiti memberinya kelebihan untuk menyerlahkan kekuatan bakat.

“Dalam bidang nyanyian, kita perlu sentiasa belajar dan tidak boleh cakap sudah cukup ilmu. Tok Ram adalah guru yang sangat bagus dan banyak ilmu serta pengalaman yang dikongsikan.

“GV9 bagi saya adalah pertandingan paling mencabar pernah disertai. Syukur kerana segala kepayahan selama 11 minggu ini berbaloi. Apa yang penonton nampak di TV tidak semudah yang dibayangkan,” kongsinya.

Bagi Jac, hadiah kemenangan itu adalah untuk simpanan masa depan anak-anaknya dan kini dia ingin memberikan fokus dengan meluangkan masa berharga bersama mereka.

Selain wang tunai, Jac turut menerima pakej percutian ke Paris, tajaan penginapan di Royale Chulan Cherating dan trofi.

Jac meraih kemenangan berganda apabila turut membawa pulang RM5,000 sebagai penerima Anugerah Next Level Digi, selain Anugerah Bintang Memukau Abadi dengan menerima wang tunai RM2,000 dan barangan Adabi bernilai RM500.

Sementara itu, Bob Yusof pula diumumkan sebagai naib juara dengan meraih hadiah wang tunai RM50,000. Dia juga menerima Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak.

Shila Amzah pula berpuas hati pada kedudukan ketiga dengan menerima RM30,000, manakala tempat keempat menjadi milik Tomok yang membawa pulang RM20,000. Kumpulan VE mengakhiri perjuangan mereka pada kedudukan kelima dan menerima RM15,000.

Meskipun memberikan persaingan sengit, penyanyi dari Singapura, Hazrul Nizam akur pada kedudukan keenam dengan menerima RM10,000.

Pertandingan akhir GV9 turut menampilkan Hetty Koes Endang, selain Edry Abdul Halim sebagai juri jemputan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×