BN Terengganu sukar bangkit selepas tumbang

BN Terengganu sukar bangkit selepas tumbang

ABDUL Hadi Awang (tengah) yang bertanding di Parlimen Marang mencatat kemenangan dengan majoriti lebih besar iaitu 41,729 undi berbanding majoriti 21,749 undi pada PRU14. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“WEH guane, bulang gambang penuh di Ganu ni?” (Macam mana ni, bulan mengambang penuh di Terengganu ni?) Itulah antara reaksi penduduk di negeri ini apabila Perikatan Nasional (PN) memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

Kemenangan luar biasa PN melibatkan gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menunjukkan pengundi menaruh keyakinan ‘bulan’ dapat menerangi kehidupan mereka pada masa hadapan.

Kejayaan PN menggunakan logo Pas menyapu bersih lapan kerusi Parlimen itu juga merupakan sejarah baharu yang mengagumkan di negeri ini. Sebelum ini, tidak pernah berlaku kesemua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding kecundang dalam pilihan raya.

Pada PRU15, Pas menawan tujuh kerusi Parlimen iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut dan Kuala Nerus manakala satu lagi dimenangi oleh Bersatu di Parlimen Hulu Terengganu.

Antara penyumbang kemenangan bergaya PN itu adalah hasil undi daripada pengundi muda berusia 18 tahun yang bertindak ‘sehati’ dan ‘sejiwa’ memberi sokongan kepada PN menggabungkan Pas dan Bersatu.
Walaupun tidak banyak pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan Pas di Terengganu setelah memenangi PRU14 lalu, namun rakyat di negeri ini selesa berada di bawah pemerintahan parti tersebut.

Pemimpin Pas dan Bersatu pasti berpuas hati dengan keputusan tersebut apabila sasaran mereka mahu memenangi kesemua lapan Parlimen dengan majoriti lebih besar berbanding PRU14, tercapai.
Sebagai contoh, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertanding di Parlimen Marang mencatat kemenangan dengan majoriti 41,729 undi berbanding PRU14 memenangi kerusi itu dengan majoriti 21,749 undi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pula berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 40,907 undi berbanding PRU14 memperoleh majoriti 14,773 undi.

Kejayaan PN Terengganu itu juga memberi sumbangan jumlah kerusi yang banyak kepada PN peringkat Pusat yang memenangi 73 kerusi Parlimen secara keseluruhan.

Selain itu, penyokong Pas juga bersatu hati memberi sokongan padu kepada calon tunggal Bersatu yang bertanding di Terengganu, Datuk Rosol Wahid atas semangat perjuangan PN.

Menerusi sokongan tersebut, Rosol yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memperoleh majoriti membanggakan sebanyak 15,734 undi walaupun keahlian Bersatu tidak tinggi di Hulu Terengganu.

Ketika bertanding atas tiket BN pada PRU14, Rosol sekadar memperoleh majoriti 2,868 undi sebelum bertindak keluar dari UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018.

PENGUNDI MUDA
Pada peringkat awal, banyak pihak melihat pemimpin Pas bercakap besar apabila parti itu mahu menawan kesemua lapan kerusi Parlimen dengan majoriti besar. Namun, mereka berjaya membuktikan kemampuan sebenar.

Berdasarkan kemenangan bergaya itu, PN dijangka dapat mengulangi kecemerlangan tersebut dalam pilihan raya negeri (PRN) pada tahun hadapan walaupun bakal ditentang Barisan Nasional (BN).

Jentera pilihan raya PN juga akan lebih bersemangat berkempen pada PRN kerana mahu mamastikan parti itu berjaya merampas semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Suntikan semangat itu yang diperoleh PN pasti menyukarkan BN untuk memberi saingan lagi.

Parti-parti lain yang bertanding di Terengganu dalam PRU15 seperti Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mewakili Gerakan Tanah Air serta calon Bebas juga didapati tidak mampu menyaingi kekuatan PN.

Bagi pihak BN pula, kekalahan memalukan di Terengganu ini memberi gambaran parti itu semakin diketepikan oleh pengundi di negeri ini termasuk pengundi muda. Keadaan tersebut memberi gambaran awal BN sukar untuk bangkit semula dalam tempoh terdekat terutamanya persediaan menghadapi cabaran PRN selepas ini.

Selain itu, pengundi di Terengganu didapati menyokong dan mengundi parti, bukan memilih calon yang bertanding. Situasi itu dapat dilihat apabila dua tokoh hebat seperti bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang bertanding di Parlimen Kemaman dan bekas Setiausaha Majlis Syura Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali di Parlimen Kuala Nerus turut tumbang.

Bukan itu sahaja, kawasan kubu kuat UMNO di Terengganu seperti di Besut juga kini bukan lagi satu jaminan boleh menang apabila turut kalah di tangan PN.

Pada masa sama, tindakan segelintir pemimpin dan ahli UMNO yang didakwa masih mempunyai hasad dengki dan mahu melihat calon BN tewas dengan melakukan undi protes dikatakan punca kekalahan BN.
Sifat buruk pemimpin dan ahli UMNO itu jika dibiarkan berlarutan akan menyukarkan lagi usaha BN untuk menawan semula negeri ini dalam PRN nanti.

Pada masa sama, kelemahan barisan kepimpinan UMNO di peringkat Pusat dan negeri juga menjadi kayu pengukur kepada pengundi sebelum mereka keluar mengundi. Pengundi sebenarnya tidak mahu mempersia-siakan undi mereka kepada BN yang dilihat mempunyai masalah kepemimpinan.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×