Mendekati pantun berkait - Utusan Malaysia

Mendekati pantun berkait

NORDIN SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NORDIN SAAD

PANTUN merupakan salah satu bentuk puisi tradisional yang cukup popular berbanding puisi-puisi tradisional lain seperti syair, seloka, gurindam atau mantera. Hal ini terbukti apabila pantun kekal digunakan secara meluas dan dikatakan puisi tradisional yang paling digemari serta disenangi oleh semua lapisan masyarakat.

Keindahan bahasa yang digunakan dalam pantun menjadikannya sebagai tarikan utama untuk kita mendekati warisan bangsa yang masih mampu bertahan seiring dengan perkembangan sains dan teknologi ini, selain intonasi penuturannya yang mudah memukau khalayak.

Amalan menuturkan pantun pada suatu ketika dahulu yang sekadar digunakan untuk menegur atau menasihati seseorang, semakin melebar apabila pantun turut digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti meminang atau perkahwinan. Malah, kini amalan penuturan pantun tetap diraikan dalam majlis-majlis perasmian, terutamanya majlis-majlis berkaitan sastera dan budaya.

Namun begitu, pantun-pantun yang sering ditutur atau digunakan adalah merupakan pantun-pantun empat kerat, menyebabkan pantun empat kerat ini menjadi pantun yang cukup erat dengan masyarakat.

Sebenarnya pantun terdiri daripada beberapa jenis seperti pantun dua kerat, empat kerat, lapan kerat dan pantun dua belas kerat. Jenis-jenis pantun ini adalah berdasarkan kepada jumlah baris yang digunakan dalam setiap rangkapnya.

Bagaimanapun, salah satu jenis pantun lagi yang tidak kurang menariknya tetapi masih kurang popular dalam kalangan masyarakat adalah pantun berkait.

Ciri-ciri pantun berkait ini adalah sama dengan ciri-ciri asas pantun iaitu mempunyai pembayang dan maksudnya. Bagi pantun empat kerat misalnya, baris pertama dan keduanya adalah merupakan pembayang manakala baris ketiga dan keempatnya adalah maksud.

Rima akhir pantun pula ialah a,b,a,b dan pantun yang baik turut menggunakan rima tengah yang menyerupai rima akhirnya. Kedua-dua baris pembayangnya pula mempunyai kesinambungan makna. Ciri-ciri ini juga meliputi pantun berkait.

Perlu diingat, proses penciptaan pantun berkait seharusnya mematuhi ciri-cirinya yang tersendiri. Antara ciri penting dalam penciptaan pantun berkait adalah penggunaan semula baris kedua daripada rangkap pertama sebagai baris pertama pada rangkap berikutnya.

Sementara, baris keempat daripada rangkap pertama pula dijadikan baris ketiga bagi rangkap berikutnya, sebagaimana contoh penggunaannya dalam pantun di bawah:
Lebah terbebar terbang sekawan,
Hinggap di celah kayu berduri;
Alangkah cabar rupanya tuan,
Dagangan indah tidak terbeli.

Hinggap di celah kayu berduri,
Kepayang tumbuh di dalam dulang;
Dagangan indah tidak terbeli,
Sayang sungguh nyawanya hilang.

Kepayang tumbuh di dalam dulang,
Burung merpati terbang ke awan;
Sayang sungguh nyawanya hilang,
Tidak seperti Raja Pahlawan.
(DBP, Antologi Puisi Tanah Airku,2005)

Pembayang pada baris kedua rangkap pertama iaitu Hinggap di celah kayu berduri telah dijadikan baris pertama pembayang untuk pantun berikutnya. Manakala maksud pada baris keempat pula dijadikan maksud pada baris ketiga pantun berikutnya iaitu Dagangan indah tidak terbeli.

Pembayang baris kedua bagi rangkap kedua atau berikutnya merupakan baris ciptaan baharu. Begitu juga maksud pada baris keempatnya adalah baris ciptaan baharu.
Lebah terbebar terbang sekawan,Hinggap di celah kayu berduri; (pembayang baris kedua)
Alangkah cabar rupanya tuan,
Dagangan indah tidak terbeli. (maksud baris keempat)

Seterusnya, baris kedua pada rangkap kedua dijadikan pula baris pertama pada rangkap ketiganya iaitu Kepayang tumbuh di dalam dulang manakala baris keempat pula, dijadikan baris ketiga pada rangkap ketiganya, iaitu Sayang sungguh nyawanya hilang.
Hinggap di celah kayu berduri, (pembayang baris kedua)
Kepayang tumbuh di dalam dulang; (pembayang ciptaan baharu)
Dagangan indah tidak terbeli, (maksud baris keempat)
Sayang sungguh nyawanya hilang (maksud ciptaan baharu)

Besar kemungkinan, penggunaan semula baris kedua dan keempat dalam pantun berikutnya, menimbulkan sedikit kesukaran untuk mencipta pantun berkait ini. Seterusnya menjadikan pantun berkait agak jarang dicipta dan dituturkan.

Sebagaimana penciptaan pantun empat kerat yang biasa atau tidak berkait, pastinya proses penciptaan pantun berkait juga tidak akan menghadapi sebarang masalah jika kita memahami dan mahir dengan penggunaan baris kedua pembayang dan baris keempat maksudnya dalam pantun berikutnya. Malah, pengulangan baris-baris kedua dan keempat itu akan membantu kita untuk mencipta baris kedua (pembayang) dan baris ketiga (maksud) yang baharu dengan lebih mudah.

Sebagai panduan, di bawah ini merupakan tiga rangkap pantun berkait yang boleh dijadikan panduan untuk menciptanya.
Pantai redup Tanjung Jati,
Patah pinang menimpa suasa;
Nilai hidup teman sejati,
Susah senang sama dirasa.

Patah pinang menimpa suasa,
Pasir lumat karang berendam;
Susah senang sama dirasa,
Bersatu niat mem­buang dendam.
Pasir lumat karang beren­dam,
Daun cemara gugur meniti;
Bersatu niat membuang dendam,
Kalungkan setia digerak hati.

(DBP, Antologi Puisi Tanah Airku,2005) – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×