PETALING JAYA: Parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan wakil mereka untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri serta lebih ramai ahli Parlimen mereka terlibat dalam barisan Jemaah Menteri.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing menyifatkan langkah itu penting untuk kebaikan negeri mereka yang memerlukan banyak tumpuan, namun tetap menyerahkannya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, meskipun sebarang lantikan itu terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, perlu diingat yang wakil Sarawak selama ini tidak ramai dalam barisan Kabinet.
Malah katanya, wakil dari Sarawak juga usah dikurangkan sekiranya mahu mengecilkan saiz Kabinet demi kebaikan negerinya yang luas dengan rakyat yang berbilang kaum dan agama.
“Namun, kalau dibuat seperti Pakatan Harapan (PH) memerintah 22 bulan lepas dengan satu menteri dan satu timbalan menteri, itu tidak betul. Kita negeri besar tidak bolehlah begitu.
“Kalau mahu kecilkan saiz Kabinet, tetapi kita dikurangkan, ia mungkin tidak baik untuk Sarawak sebab kita perlukan banyak perhatian dan jika kita masuk sama, biar kementerian yang bermakna kepada kami seperti yang ada kaitan dengan pembangunan, luar bandar atau kerja raya,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, Sarawak sudah ada empat wakil dalam Kabinet sebelum ini, jadi kali ini diharapkan tidak kurang daripada itu.
Semalam, akhbar ini melaporkan saranan pakar-pakar politik agar barisan Kabinet baharu perlu dibentuk dalam kalangan pemimpin berwibawa tanpa perlu mengikut hierarki dalam parti, sebaliknya sebuah pasukan yang merangkumi pelbagai kepakaran.
Ia selaras dengan komitmen dan jaminan Perdana Menteri sendiri yang mahukan saiz Kabinet yang kecil dan bersedia dikurangkan gaji.
Mengulas lanjut berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, ia terpulang kepada pucuk pimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Anwar sendiri yang menawarkannya masa pilihan raya lalu.
Sementara itu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pihaknya tidak menolak saiz Kabinet yang kecil tetapi yang penting perwakilan dari Sabah dan Sarawak harus diambil kira kerana penyertaan wakil kedua-dua negeri itu dalam barisan Kabinet amat kurang sejak dahulu lagi.
“Soal Timbalan Perdana Menteri, kita di Sabah pun ingin juga ada Timbalan Perdana Menteri dari Sabah, tetapi akhirnya itu prerogatif Perdana Menteri,” katanya. – MINGGUAN










