Stres adalah perasaan tertekan yang biasa dialami ketika seseorang wanita sedang hamil berikutan perubahan ketara pada bentuk tubuh badan dan hormon yang tidak seimbang sepanjang kehamilan.
Dianggarkan kira-kira 7 % wanita hamil mengalami tekanan atau stres dan jumlah ini mungkin lebih tinggi dalam kalangan bakal ibu dari negara berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh dunia.
Pakar Psikiatrik Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Dr. Chong Seng Choi berkata, ibu yang kerap mengalami stres lebih berisiko melahirkan bayi kurang sihat berbanding ibu ceria sepanjang tempoh kehamilan.
Katanya, stres boleh menjejaskan kesihatan bayi termasuk mengalami masalah kesihatan seperti ekzema.
“Beberapa kajian menunjukkan ibu yang tertekan semasa hamil, boleh menjejaskan kesihatan bayi seperti masalah emosi yang kurang stabil, masalah pembelajaran, gangguan tingkahlaku dan perkembangan kognitifnya,” katanya kepada Seri.
Kajian turut mendapati, ibu yang sentiasa resah semasa hamil berisiko dua kali ganda melahirkan bayi yang cenderung mengalami masalah emosi atau tingkahlaku apabila dewasa.
GEJALA & TANDA
Antara gejala stres ialah sukar tidur, mudah penat, kurang selera makan yang seakan sama dengan gejala mengandung.
“Ramai ibu stres enggan mendapatkan rawatan doktor psikiatrik kerana stigma ia tidak penting dan tidak memerlukan bantuan sewajarnya kerana merasakan akan hilang dengan sendirinya.
“Rasa sedih adalah normal, tetapi sekiranya tidak hilang dan berpanjangan, segeralah dapatkan rawatan daripada pakar psikiatrik,” katanya.
Kebanyakan wanita hanya menumpukan kesihatan secara fizikal dan bukannya secara mental sedangkan, ia penting untuk ditangani bagi mengelakkan terjadi perkara buruk.
Kesan stres boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius ke atas ibu, seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis akibat gaya hidup kurang sihat.
Sementara itu, Ketua Pediatrik dan Pusat Jantung Kongenital Institut Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Marhisham Che Mood berkata, ibu yang mengalami tekanan darah tinggi atau hipertensi ketika hamil lebih berisiko melahirkan bayi pra-matang dan bermasalah jantung.
Penyakit jantung kongenital dalam kalangan bayi boleh berlaku sekiranya ibu bapa mengalami penyakit darah tinggi dan kencing manis di mana penyakit ini mungkin berkaitan stres dan gaya hidup kurang sihat sebelum hamil.
“Faktor ubat-ubatan yang dimakan wanita juga boleh mendedahkan bayi dalam kandungan dengan masalah jantung ketika dalam kandungan. Antaranya ubat kemurungan dan ubat bagi merawat masalah epilepsi serta tabiat minum minuman alkohol,” katanya.
Setiap tahun kira-kira 4,000 sehingga 5,000 kes baru bayi dilahirkan dengan jantung kongenital iaitu membabitkan lapan hingga sepuluh dalam setiap 1,000 kelahiran.
Tekanan boleh berlaku pada tahap tertentu dan tidak semua tekanan meninggalkan kesan ke atas kesihatan bayi dalam kandungan.
Namun sebaiknya, bakal ibu mengamalkan gaya hidup sihat untuk menghindari rasa tertekan.
Peranan suami dan keluarga adalah penting untuk memberikan sokongan penjagaan emosi terbaik untuk ibu yang sedang hamil.
Pada masa ini, ramai ibu hamil yang mengalami tekanan tidak dapat dirawat kerana kurangnya kesedaran mengenai kepentingan mengatasi isu ini.










