Sesekali dapat menghasilkan kek yang cantik di rumah untuk santapan ahli keluarga menarik juga kan? Apatah lagi ia hasil air tangan sendiri yang pasti menjadikannya lebih istimewa.
Seperti Kek Lemon yang dikongsikan oleh Rosmila Idros ini. Ia bukan sahaja enak berkrim tetapi juga cantik persis kek di kafe atau kedai kopi.
Lebih menarik, penghasilan kek itu juga tidak memerlukan bahan yang terlalu banyak dan kebanyakannya memang selalu ada di dapur.
Bahan A
180 gram (g) tepung gandum
1/2 sudu kecil garam
2 sudu kecil serbuk penaik
Bahan B
230 g mentega bukan masin
150 gram gula
1 sudu besar ekstrak vanila
Bahan C
4 biji kuning telur
60 mililiter (ml) perahan jus lemon
1 sudu besar parutan kulit lemon
Bahan D
4 putih telur
50 gram gula aising
Bahan E
120 g gula aising
2 sudu besar perahan jus lemon
Cara-cara:
1. Satukan bahan A di dalam mangkuk.
2. Pukul bahan B hingga kembang.
3. Kemudian masukkan bahan C diikuti telur satu per satu. Masukkan perahan jus lemon, parutan kulit lemon diselang selikan dengan bahan A (gunakan kelajuan paling rendah). Apabila sudah sebati, ketepikan adunan.
4. Pukul bahan D dimulakan dengan telur putih hingga gebu kemudian masukkan gula aising. Pukul hingga gebu. Kemudian satukan dengan adunan tadi. Gaul perlahan hingga adunan sebati.
5. Masukkan ke dalam loyang dan bakar dengan suhu 180 celcius selama 40 hingga 45 minit.
6. Sementara menunggu, sediakan lemon glaze (bahan E). Satukan kedua-dua bahan.
Pastikan tidak terlalu cair. Kemudian tuang ke atas kek dan hias ikut citarasa masing-masing. Selamat mencuba.










