YANG lebih penting mulai saat ini, adanya lebih baik kalau kita boleh jadikan seni bina tradisional Melayu sebagai pengaruh dalam pembinaan masjid di negara ini. Entah mengapa kita ini langsung tidak patriotik.
Bila bercakap tentang keunikan rumah ibadat umat Islam, iaitu masjid, rata-rata masyarakat kita terutama mereka yang suka melancong pasti akan memusatkan tumpuan pada masjid-masjid yang terdapat di Asia Barat, Russia dan Eropah. Walhal, tidak jauh dari negara kita, iaitu China pun terdapat banyak masjid yang unik dan indah. Bahkan, jumlah umat Islam di negara itu pun jauh lebih besar daripada umat Islam yang ada di Malaysia.
Tahukah anda bahawa di China sahaja terdapat lebih 30,000 buah masjid? Daripada keseluruhan jumlah masjid tersebut, sebanyak 23,000 terletak di Xinjiang, sebuah wilayah yang didominasi oleh umat Islam beretnik Uighur.
Selain Xinjiang, sebanyak 2,800 masjid terletak di wilayah Gansu, 2,580 di Ningxia Hui, 929 di Qinghai, 620 di Henan, 600 di Yunnan dan 506 di Shandong. Di China, masjid-masjid dipanggil qingzhen si yang membawa erti ‘kuil kebenaran suci.’ Malah ia turut dipanggil libaisi iaitu ‘kuil penyembahan’ dan ada juga panggilan-panggilan lain berdasarkan bahasa kegunaan etnik-etnik berlainan.
Kalau di Malaysia, hampir kesemua seni bina masjid lebih ke arah seni bina Arab. Namun menariknya di China, mereka tetap mengutamakan seni bina tradisi Cina itu sendiri meresap ke dalam seni bina masjid-masjidnya.
Akan tetapi, terdapat juga beberapa masjid yang menyerupai seni bina budaya Iran dan Asia Tengah berdasarkan kedudukan wilayah di kawasan tersebut yang berdekatan dengan Iran dan negara-negara Asia Tengah. Ada juga yang berbentuk seperti kuil Buddha dan sebagainya.
MAZHAB
Lebih menarik, masjid-masjid Hui mempunyai seni bina mengikut mazhab-mazhab dalam Islam. Kalau pengikut mazhab Hanafi Gedimu, masjid-masjid mereka banyak dipengaruhi budaya Cina dan reka bentuknya juga lebih menyerupai kuil-kuil orang Cina.
Kalau pengikut Salafi Yihewani pula, masjid-masjid mereka sudah tentu lebih ke arah gaya Arab.
Saya tertarik untuk mengongsikan tentang masjid terbesar di China iaitu Masjid Agung Xi’an. Saya yakin ramai dalam kalangan pelancong kita pernah melawat masjid tersebut kerana ia juga merupakan antara destinasi pelancongan di negara itu.
Masjid Xi’an dibina sewaktu era Hongwu dari dinasti Ming. Pada 1956, masjid ini diisytiharkan sebagai kawasan budaya dan bersejarah di bawah perlindungan wilayah Shaanxi. Kemudian masjid ini diangkat pula ke peringkat kebangsaan pada 1988. Masjid ini masih dijadikan sebagai rumah ibadat umat Islam sehingga ke hari ini terutamanya buat umat Islam beretnik Hui.
Daripada masjid terbesar, kita lawat pula masjid tertua di Beijing iaitu Masjid Niujie. Asalnya masjid ini dibina pada 996 Masihi era Dinasti Liao dan kemudiannya dibina semula dan dibesarkan di bawah pemerintahan Maharaja Kangxi (1661-1722) dari Dinasti Qing.
Keunikan masjid Niujie ini ialah dari luar, reka bentuknya dipengaruhi budaya tradisional Cina, tapi kalau masuk ke bahagian dalamnya, kita akan perhatikan adunan seni kaligrafi Islam dan rekaan Cina. Ruang solat utamanya seluas 600 meter persegi boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah. Namun, masjid ini telah mendapat banyak sentuhan dari era berbeza.
Dikatakan masjid ini pernah dibina atau dibentuk semula sejak era Republik Rakyat China pada 1949, 1955, 1979 dan 1996. Pada 2002, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan lokasi masjid tersebut,namun kawasan-kawasan luas dan kosong di sekitarnya dibangunkan.
Terlalu banyak sebenarnya keunikan dan kecantikan masjid-masjid di China yang boleh dikupas tapi apa yang pasti, kita sendiri yang perlu ke sana dan melihat dengan mata kepala sendiri.
Masyarakat sudah harus buang mentaliti yang melihat Islam dan masjid itu hanya semata-mata berkisarkan Arab dan budayanya sedangkan Islam itu mencakupi semua aspek terutama membabitkan kaum dan budaya berbeza.
Yang lebih penting, mulai saat ini, adanya lebih baik kalau kita boleh jadikan seni bina tradisional Melayu sebagai pengaruh dalam pembinaan masjid-masjid di negara kita. Entah mengapa kita ini langsung tidak patriotik. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan dan antarabangsa.










