Belajar e-sukan secara percuma - Utusan Malaysia

Belajar e-sukan secara percuma

(Dari kiri) Ahmad Fadli Dahlan, Khairul Azlan dan Mohamad Taufik Rizal pada pelancaran Todak Belajar baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lazimnya, bermain permainan video bertujuan menghilangkan stres.

Ia membolehkan pemain ‘lari’ dari alam realiti sebentar.

Kini, permainan video bukan sahaja dimainkan secara kasual tetapi juga secara kompetetif, yang dipanggil e-sukan.

Di negara ini, banyak pertandingan dan acara yang dianjurkan pelbagai pihak dalam misi mencari pemain berbakat.

Pada 2019, Sukan Asia Tenggara (juga dikenali sebagai Sukan SEA) turut mempertandingkan e-sukan.

Malaysia menghantar pemain terbaik bagi setiap judul permainan video selepas melaksanakan kelayakan pertandingan untuk memilih atlet negara sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Konsep menjadikan permainan video sebagai salah satu kerjaya sememangnya tidak masuk akal sewaktu dahulu. Akan tetapi dengan kewujudan e-sukan, ia telah menjadi realiti.

Menyedari permintaan yang tinggi untuk bidang tersebut, Todak Academy Sdn. Bhd., dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Dana Perkasa TVET 1.0, menawarkan latihan secara percuma kepada golongan belia yang berminat menerusi kempen Todak Belajar.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Todak Holdings Sdn. Bhd. Khairul Azlan Zainal Ariffin berkata, menerusi kempen tersebut, 300 pelajar akan dipilih untuk mengikuti kelas 3D Game Asset Production dan 2D Game Visual Art.

Katanya, Todak menerusi anak syarikatnya Todak Academy ditubuhkan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak industri semasa.

“Kami ingin membantu penggiat industri, graduan dan mahasiswa yang bekerja dengan syarikat berasaskan industri seni dengan menyediakan biasiswa penuh kepada 300 pelajar yang ingin menyambung pendidikan di Todak Academy.

“Mereka akan dilatih tenaga pengajar dari Todak Studio sendiri yang mengumpulkan pembangun animasi dan pereka permainan digital terbaik,” katanya pada perasmian kempen berkenaan baru-baru ini. Turut hadir CEO Todak Studios, Ahmad Fadli Ahmad Dahlan dan CEO Todak Academy, Mohamad Taufik Rizal Aminuddin.

Selepas menjalani latihan selama tiga bulan, pelajar akan dianugerah Sijil Profesional UTMSPACE, Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dan Sijil Todak.

Tambahnya, industri gaming dan animasi ketika ini mempunyai pasaran besar dan memudahkan sesiapa saja untuk menjana pendapatan jika berilmu.

Pelajar akan dilatih pelatih profesional yang berpengalaman dan akan diberikan penerapan dalam konsep latihan secara terus dari industry player.

“Ini adalah untuk memastikan, pelajar didedahkan dengan industri lebih awal supaya tahap kebolehpasaran mereka itu lebih tinggi. Malah kami turut akan menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan cemerlang,” katanya.Pendaftaran boleh dilakukan di www.todakacademy.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×