'Abang Burung’ ada zoo kakaktua bergerak - Utusan Malaysia

‘Abang Burung’ ada zoo kakaktua bergerak

Mohd. Fairuz Mohd. Azman menunjukkan Blue Yellow Macaw (kiri) dan Red Crowned Amazon (kanan) di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK seperti orang lain, minat terhadap burung kakaktua atau parrot bukan sekadar hobi biasa tetapi ‘Abang Burung’ lebih ke arah untuk mendidik masyarakat mencintai haiwan.

‘Abang Burung’ atau Mohd. Fairuz Mohd. Azman, 36, menjadikan zoo atau taman haiwan bergerak dimilikinya untuk memberi manfaat dan pendedahan tentang haiwan kepada masyarakat.

“Daripada hobi, saya jadikan ia sebagai satu langkah atau usaha dalam mendidik masyarakat tentang cintakan haiwan.

“Saya mendapat ilham untuk membuat taman haiwan bergerak atau mobile petting zoo ini selepas melawat ibu saudara di Australia dan tertarik dengan zoo di sana pada 2012.

“Balik sahaja ke Malaysia, saya mula bertekad untuk adakan zoo bergerak ini dengan menyertai pameran-pameran haiwan yang dianjurkan kerajaan, pusat beli-belah, sekolah dan pusat-pusat rekreasi,” katanya kepada Seri.

ERAT HUBUNGAN

Ujar Mohd. Fairuz, dengan zoo bergerak, ia dapat mengeratkan hubungan sesama pelajar di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan haiwan dan alam sekitar.

“Mereka bukan sahaja dapat mengenal pasti haiwan-haiwan malah akan lebih menghargai dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk makhluk lain dan diri mereka sendiri.

“Sebagai orang dewasa kita perlu tunjukkan nilai baik terhadap haiwan barulah anak-anak kecil ini secara tidak langsung sayang dengan haiwan di sekelilingnya juga,” katanya.

Pemilik Ultimate Petting Zoo and Animal Show itu turut teruja sekiranya dapat membawa haiwan peliharaan terutama burung kakaktua berjumpa orang ramai.

“Syukur saya mempunyai permit pameran haiwan daripada Jabatan Perhilitan untuk melakukan pameran ke seluruh Malaysia.

“Jadi, dengan peluang itu, saya gunakan sebaiknya dengan menarik masyarakat untuk melihat secara dekat haiwan-haiwan peliharaan tanpa perlu takut.

“Melalui pameran ini jugalah saya mendapat gelaran ‘Abang Burung’. Saya selalu membawa 22 ekor burung kakaktua yang saya pelihara bersama-sama ke pameran. Jadi, apabila mereka nampak burung-burung kakaktua ini, mereka pasti kenal saya,” katanya.

 

Antara 22 koleksi burung kakaktua Mohd Fairuz di Shah Alam, Selangor. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI

Ditanya mengenai di mana minat itu berputik, katanya, ia adalah turun-temurun di mana ia diwarisi sejak kecil bermula daripada arwah datuknya yang memang minat burung.

“Saya memelihara burung kakaktua secara serius ketika tingkatan empat kerana tertarik dengan sifatnya suka bercakap dan mesra,” katanya.

BELANJA LEBIH RM40,000

Kalau dihitung, lebih RM40,000 sudah diperuntukkan semata-mata untuk membeli burung-burung kakaktua diminatinya, dengan yang paling mahal dibeli pada harga RM10,000.

“Burung termahal saya beli ialah Pesquet Parrot bernilai RM10,000. Burung berasal dari Papua Indonesia ini turut dikenali sebagai Dracula Parrot,” katanya teruja berkongsi cerita.

Mohd. Fairuz kini memiliki 22 ekor burung kakaktua. Burung berkenaan dibeli menerusi penternak atau peniaga haiwan tempatan berlesen pada harga serendah RM1,000 hingga ke puluhan ribu ringgit.

Biasanya, beliau akan membeli burung berkenaan pada usia anak iaitu sekitar dua bulan.

“Jika dipelihara dari kecil, ia lebih mudah mesra dan tidak mudah tertekan apabila berhadapan dengan manusia. Bila kita beli dari kecil, kita perlu suapkan burung kakaktua makan sehingga ia belajar makan sendiri. Tujuannya untuk membolehkan burung ini lebih mesra dan jinak dengan saya dan manusia,” katanya.

Antara burung kesayangan Mohd. Fairuz ialah jenis Blue and Gold Macau dari Brazil yang diberi nama Goldy dan jenis Eclectus Parrot dari Indonesia iaitu Adi.

“Coldy dan Adi memanggil saya ‘papa’. Kedua-duanya memang tidak akan berhenti bercakap kalau dengan saya. Ia suka berinteraksi dan agak agresif,” katanya.

Selain Coldy dan Adi, beliau menyanyangi Ivy, namun Ivy sudah mati tiga tahun lalu.

Menitip nasihat kepada individu ingin memelihara kakaktua, nasihat Abang Burung: “Memelihara burung kakaktua tidak susah. Ia mudah dijaga dengan syarat ada minat yang mendalam.

“Malah kita perlu sanggup memperuntukkan masa bermanja dan bermain dengannya,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×