BANJIR di negara ini bukan sekadar fenomena air melimpah daripada laluan seperti sungai, terusan, longkang besar mahupun parit.
Bencana alam tersebut boleh berlaku akibat aktiviti pembalakan tidak terkawal dan disebabkan kegiatan manusia yang menyebabkan sistem pengaliran air tersumbat akibat sampah dibuang sewenang-wenangnya, juga kerana mendapan.
Sewajarnya penduduk yang kawasan mereka tidak dilanda banjir menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana itu.
Apabila tiba musim Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac, dalam fikiran orang ramai ialah banjir melanda negeri-negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Malah apabila masuk musim monsun ini, ketiga-tiga negeri tersebut menerima taburan hujan yang tinggi iaitu antara 300 hingga 650 milimeter (mm) sebulan berbanding bulan-bulan biasa hanya 200 hingga 300 mm.
Di beberapa kawasan di Kelantan dan Pahang masih banjir.
Apa yang amat dirisaukan oleh rakyat masa kini bukan sangat pasal paras air yang tinggi tetapi suasana politik semasa yang ‘menenggelamkan’ kisah banjir.
BANTUAN
Sebagai rakyat, kita perlu bersatu tidak kira penyokong kerajaan, pembangkang mahupun pengundi atas pagar dalam mendepani isu banjir.
Hulurkan bantuan yang termampu seperti beras, telur dan pakaian kepada penduduk terjejas.
Contohilah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turun mencemar duli membantu orang-orang kampung yang terjejas.
Sampai bila pemimpin di atas hendak bergaduh kerana kuasa yang asalnya daripada rakyat juga? Rakyat tengah susah kerana banjir dan Covid-19, ditambah lagi isu dalaman parti politik.
Cukup-cukuplah agenda untuk mendapat kuasa. Bantulah rakyat dahulu sebelum membantu diri sendiri dan parti. Kelak kuasa alam menenggelamkan keegoan kita.









