Bukan sekadar lincah di gelanggang - Utusan Malaysia

Bukan sekadar lincah di gelanggang

KRISTINA LISCEVIC - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN bola sepak dan badminton, sepak takraw merupakan salah satu sukan terkenal di negara ini. Di mana sahaja kita pergi, pasti terdapat gelanggang untuk bermain sukan ini. Namun, berbeza dengan bola baling memandangkan ia kurang popular. Bagaimanapun, di kebanyakan negara Eropah, bola baling mendapat sambutan memberangsangkan.
Saya berkesempatan menemu bual seorang pemain bola baling profesional, Kristina Liscevic dari Serbia, baru-baru ini. Kristina, 31, yang berasal dari kota Sombor bukan calang-calang pemain. Dia pernah dianugerahkan Pemain Muda Terbaik Liga Juara-juara Bola Baling Eropah pada 2012.
Dia dan pasukannya juga berjaya mengangkat martabat negaranya dengan menduduki tempat kedua dalam kejohanan Piala Dunia Bola Baling Wanita 2013. Perlawanan akhir pertandingan tersebut begitu sengit. Meskipun bermain di gelanggang sendiri, Serbia tewas tipis 22-20 kepada pasukan gergasi, Brazil.
“Ketika itu, saya bermain bagi pasukan kebangsaan Serbia untuk ke-101 kali. Ia sesuatu yang begitu indah apabila saya dapat menyumbang khidmat untuk negara.
“Seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini, beraksi di final itu juga ada jaringan gol ‘ajaib’ dan ‘magik’. Bermain di tempat sendiri ternyata mempunyai banyak kelebihan,” katanya.

19,000 PENYOKONG
Beraksi di final itu merupakan antara kenangan paling sukar dilupakan Kristina dalam hidupnya. Dikurniakan pingat di hadapan ahli keluarganya dan lebih 19,000 penyokong sendiri di Belgrade, ibu negara Serbia. Jumlah itu memecah rekod kehadiran penonton tertinggi bagi sukan bola baling.
“Ia sangat bermakna buat saya kerana sukan bola baling tidak begitu terkenal di Serbia. Jantung kami berdegup kencang dan tubuh menggeletar sebelum perlawanan bermula.
“Kami sudah lakukan yang terbaik tapi adat pertandingan, ada kalah dan menang,” jelas Kristina.
Saya sendiri teruja mendengar cerita Kristina meskipun sekadar menemu bual menerusi telefon. Dia begitu bersemangat dan saya dapat rasakan, Kristina dan rakan-rakan sepasukannya bermain bersungguh-sungguh untuk negara.
“Walau apa pun, bagi saya, perkara paling penting ialah keluarga. Mereka adalah segala-galanya,” ujarnya.
Kristina mula bermain bola baling sewaktu berumur 11 tahun mengikut jejak langkah abangnya, Zlatko Liscevic, 29, yang aktif dalam sukan. Zlatko merupakan seorang pemain bola sepak pasukan Trayal Krusevac di Serbia. Kedua-dua beradik ini menghabiskan zaman kanak-kanak dengan bermain pelbagai jenis sukan.

BAKAT MENYANYI
Seperkara yang menarik tentang Krisitna, selain hebat bermain bola baling, dia juga mempunyai bakat menyanyi! Beberapa bulan lalu, dia berjaya menghasilkan lagu pertamanya, Kiki Lisevic – I’m gonna win.
Lebih membanggakan, rakan-rakan sepasukannya turut menyumbang dalam penghasilan lagu itu. Ternyata hubungan mereka bukan sekadar sebuah pasukan di atas padang tetapi seperti sebuah keluarga. Semangat setia kawan dan bantu membantu dalam kalangan mereka wajar dijadikan contoh.
Sejujurnya, saya baru mengenali sukan itu sewaktu berada di Bosnia-Herzegovina pada 2019. Saya kagum melihat kesungguhan anak-anak muda di sana berlatih setiap hari.
Sekembalinya ke tanah air, saya mencuba sukan ini dengan sekumpulan warga asing. Saya dapati bola baling sangat mencabar kerana memerlukan kekuatan fizikal. Tangan perlu kuat untuk menghayunkan bola ke gawang lawan serta stamina yang tinggi kerana perlu berlari sepanjang masa sama ada menyerang atau bertahan.
Menurut Kristina lagi, tidak mustahil jika suatu hari nanti dia dapat mencurahkan pengalamannya kepada pemain-pemain muda Malaysia yang serius dalam sukan bola baling. Bagi saya, mengapa tidak? Sekiranya kita menelusuri sejarah, pasukan bola baling wanita Malaysia pernah menyertai Sukan Asia 2018 di Jakarta. Namun, kita tidak cukup skil dan pengalaman, kalah kesemua perlawanan.
Saya yakin, suatu hari nanti kita pasti dapat melihat sinar dalam sukan bola baling negara.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×