DALAM kehidupan seharian, sudah menjadi kebiasaan untuk kita menerima maklumat dan berita daripada pelbagai sumber. Lazimnya, kita menerima sahaja kisah atau berita yang disampaikan tanpa memikirkan kesahihan dan ketepatan fakta.
Situasi ini sentiasa berlaku dalam perkongsian, penyebaran dan penularan maklumat menerusi media sosial dan telefon pintar. Sering kali kita turut berkongsi kisah dan berita yang diterima dengan pihak lain tanpa berfikir.
Budaya, amalan dan keghairahan ini sebenarnya menunjukkan kejahilan. Kita mungkin sudah terbiasa untuk menerima sahaja apa-apa arahan atau berita yang datang daripada individu atau pihak tertentu.
Misalnya, apa-apa maklumat yang diterima daripada rakan-rakan, guru, majikan, atau pemimpin masyarakat. Kita sudah terbiasa menerima sahaja perkongsian maklumat daripada pihak ‘atasan’ tanpa memikirkan kesahihan dan ketepatan fakta.
Malah, dalam kebanyakan situasi, kita terlupa untuk berfikir tentang jurang komunikasi dan perubahan fakta yang mungkin telah berlaku apabila berita dan cerita disampaikan daripada orang pertama kepada orang kedua, dan seterusnya kepada orang ketiga dan orang keempat.
Ada satu permainan yang selalu digunakan dalam kem motivasi dan kepimpinan. Individu pertama diminta membisikkan beberapa ayat kepada orang kedua. Orang kedua menyampaikan ayat itu kepada orang ketiga.
Akhirnya, apabila ayat berkenaan diucapkan oleh orang ke-10, makna dan kandungan ayat sudah jauh berubah. Berlaku masalah komunikasi yang menyebabkan maklumat mengalami perubahan ketara.
Walaupun ia suatu permainan yang menyeronokkan, sebenarnya terdapat pelbagai pengajaran dan sindiran yang wajar difikirkan. Dalam kehidupan seharian, kita juga menerima pelbagai mesej, berita, dan maklumat yang mengalami perubahan sehingga layak dilabel ‘berita palsu.’
EKSTREM
Saya mahu bersikap agak ekstrem dengan menyentuh kisah dalam Bhagavad Gita yang terkenal dalam kalangan penganut agama Hindu. Bhagavad Gita merupakan sebahagian daripada epik Mahabharata yang turut terkenal di Nusantara sebagai Hikayat Pandava Lima atau Hikayat Pandawa Jaya.
Rujukan Bhagavad Gita di sini bukan sebagai sebuah teks agama atau kitab suci. Sebaliknya, sekadar untuk melihat aspek komunikasi yang menjadi tunjang cerita.
Bhagavad Gita terdiri daripada 18 bab yang mengandungi 700 sloka iaitu puisi tradisional dalam bahasa Sanskrit. Umum mengetahui, Mahabharata (termasuk Bhagavad Gita) dikarang oleh Vyasa, seorang pendeta dan penyair agung dalam tradisi Hindu. Selain Vyasa, ada empat watak lain yang berperanan menggerakkan cerita.
PEMANDU PEDATI
Pertama, Arjuna iaitu salah seorang daripada lima adik-beradik yang dikenali sebagai Pandava. Dia sedang berada di medan perang Kurukshetra melibatkan tentera Pandava dan Kaurava.
Kedua, Krishna iaitu inkarnasi Dewa Vishnu yang menjadi pemandu pedati yang digunakan oleh Arjuna. Krishna turut menjadi guru, pembimbing, dan kaunselor kepada Arjuna.
Ketiga, Dhritarashtra iaitu raja kerajaan Kuru dan bapa kepada seratus individu yang dikenali sebagai Kaurava. Dhritarashtra dilahirkan buta tetapi diangkat menjadi raja susulan pelbagai insiden yang boleh dibaca dalam Mahabharata.
Keempat, Sanjaya iaitu penasihat kepada Dhritarashtra. Vyasa selaku pengarang atau penggubah Bhagavad Gita memberi kuasa istimewa kepada Sanjaya yang merupakan anak muridnya. Maka, Sanjaya ada kuasa telepati yang memungkinkannya “melihat” apa-apa yang berlaku di Kurukshetra dan “mendengar” apa-apa yang diucapkan di medan perang itu.
Dhritarashtra hanya ada satu dialog atau sloka dalam Bhagavad Gita. Dia bertanya kepada Sanjaya tentang situasi di medan perang melibatkan anak-anaknya (Kaurava) dan anak-anak Pandu (Pandava).
Lalu, Sanjaya menggunakan sekitar 60 sloka untuk menceritakan apa yang dilihat dan didengar menggunakan kuasa telepati. Watak Arjuna yang mengalami dilema kerana terpaksa berperang menentang saudara-mara pula memiliki dialog yang terkandung dalam hampir 50 sloka.
Krishna selaku guru dan pembimbing kepada Arjuna diberikan ruang menerusi lebih daripada 600 sloka dalam Bhagavad Gita. Arjuna bertanya atau meluahkan kemusykilan, lalu Krishna memberi jawapan dan huraian panjang lebar.
Pada setiap kali membaca Bhagavad Gita atau mendengar versi audio dalam pelbagai bahasa, saya sering berfikir tentang jurang komunikasi yang boleh sahaja wujud dalam interaksi melibatkan Krishna, Arjuna, Sanjaya, dan Dhritarashtra.
Misalnya, Arjuna yang benar-benar berada di depan Krishna untuk berdialog. Hanya mereka berdua memahami konteks serta pelbagai aspek komunikasi bukan lisan (non-verbal communication) dalam situasi itu.
Sanjaya hanya melihat dari satu sudut; seperti kamera dalam penggambaran filem. Dia hanya mendengar dialog Arjuna dan Krishna secara telepati. Sanjaya tidak tahu apa yang bermain dalam minda, jiwa, dan fikiran mereka berdua.
Dhritarashtra pula hanya mendengar dan menerima bulat-bulat apa-apa yang disampaikan oleh Sanjaya. Dan apa-apa yang diceritakan semula oleh Sanjaya, itulah yang dikarang oleh Vyasa menjadi teks Bhagavad Gita.
Dalam konteks komunikasi harian dengan ledakan pelbagai berita yang tular dalam media sosial, apakah kita sebenarnya hanya seperti Dhritarashtra yang buta? Atau Vyasa yang hanya merakam kata-kata Sanjaya?
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










