KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong tekad mahu mengubah wajah bandar raya ini sebagai hab pendidikan, pelancongan dan mempunyai komuniti yang hidup dalam suasana kasih sayang.
Beliau atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Zubir, berkata, semua aspirasi itu adalah hasil luahan dan impian pengundi Parlimen Kuala Terengganu yang ditemuinya sejak berkempen minggu lepas.
Ketua Penaziran UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu mengakui sangat mengambil berat setiap permasalahan yang dikemukakan rakyat di bandar raya ini antaranya isu perumahan, banjir kilat, kesesakan lalu lintas, peluang pekerjaan dan kelembapan ekonomi yang menghantui mereka selama ini.
“Kami dengar, kami hadam dan catat semua yang diluahkan ini untuk diberi fokus sekiranya diberi amanah menjadi ahli Parlimen dalam hari penentuan, Sabtu ini.
“Kami santuni golongan tua dan dekati golongan muda untuk mendengar rintihan mereka dari hati ke hati agar dapat menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab selepas ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mohd. Zubir berkata, sektor ekonomi juga akan diberi fokus utama untuk merancakkan lagi industri Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PMKS) untuk semua kaum hidup lebih selesa dengan pendapatan yang sewajarnya.
SEIRING
“Pelancongan, pendidikan dan pelaburan dari luar ini perlu digerakkan seiring untuk mewujudkan masyarakat yang stabil, harmoni dan hidup aman damai agar kemakmuran itu dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Ditanya penerimaan pengundi Kuala Terengganu memandangkan ia antara kubu kuat Pas di negeri ini, Mohd. Zubir yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata, selera pengundi sentiasa berubah malah banyak yang mengaku kecewa dengan perkhidmatan penyandang sedia ada.
Beliau memberitahu, ramai pengundi yang ditemui mengaku agak kecewa kerana tidak banyak pembaharuan yang dibawa di Bandaraya Warisan Pesisir Air ini sebaliknya semua projek yang ada ialah hasil usaha BN seperti Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Jalan Pintas Kuala Terengganu (KT Bypass) dan beberapa pusat beli belah.
“Selepas BN tewas pada PRU14, rakyat di seluruh Malaysia berdepan dengan pemerintahan yang tidak stabil dan telah beberapa kali bertukar kerajaan menyebabkan tempiasnya turut dirasai di Kuala Terengganu.
“Oleh itu, pada PRU15 kali ini, mereka mahu berubah ke arah kerajaan yang boleh membawa mesej kemakmuran dan kestabilan demi masa depan yang lain baik kerana mereka sedar hanya BN sahaja yang boleh memacu negara untuk pembangunan dan kebajikan yang menyeluruh,” ujarnya.
Sebagai bekas Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Mohd. Zubir juga berazam mahu meneruskan impian Ahli Parlimen Kuala Terengganu terdahulu iaitu Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mahu melakar 1,001 kejayaan dalam bidang pendidikan di Kuala Terengganu.
Ketokohan Cikgu Zubir dalam memacu kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu semakin menyerlah apabila keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diiktiraf pencapaian terbaik di peringkat kebangsaan sejak tahun 1996 selama 15 tahun berturut-turut.- UTUSAN










