Masih ragu lagikah dengan ekonomi kita?

Masih ragu lagikah dengan ekonomi kita?

SEKTOR makanan dan minuman adalah antara yang perlu diberi penekanan bagi memacu ekonomi negara. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANK Negara Malaysia (BNM) pada 11 November lalu mengumumkan ekonomi negara tumbuh pada kadar 14.2 peratus (%) di suku tahun ketiga. Pengumuman ini mungkin mengejutkan banyak pihak walaupun 22 penganalisa ekonomi antarabangsa meramalkan ekonomi negara akan tumbuh pada 11.7% di suku ketiga. Kadar pertumbuhan 14.2% mungkin dilihat terbaik sewaktu dunia sedang berhadapan kegawatan ekonomi yang sengit.

Sebenarnya Malaysia telah keluar daripada kegawatan setelah mengalami kadar pertumbuhan negatif sejak Mac 2020, serendah -28.7% (April 2020). Walaupun ekonomi cuba melonjak untuk pulih dengan kadar pertumbuhan melebihi 33% pada April 2021, namun menjunam semula ke paras -8% pada Julai 2021. Akhirnya pada Oktober 2021, ekonomi negara mula meningkat lebih 1.3%. Ekonomi terus meningkat bulan demi bulan dan memuncak pada Jun 2022 pada kadar 16.5%. Ini adalah kadar pertumbuhan tertinggi dicatatkan secara bulanan.

Kadar pertumbuhan mula menurun mencapai 11.6% pada September 2022.

Jika dilihat mengikut suku tahun, grafnya lebih nyata menunjukkan bagaimana ekonomi negara telah pulih sebenarnya dan keluar daripada kegawatan di suku tahun keempat 2021 dan terus meningkat daripada 3.6% ke 5% di suku tahun pertama 2022, 8.9% di suku tahun kedua 2022 dan kini 14.2% di suku tahun ketiga 2022.

Dilihat suku tahun ke suku tahun, kadar pertumbuhan mutlaknya ialah 4.8%, satu kadar yang masih kukuh. Dari perspektif bulanan, kadar pertumbuhan pada Ogos ialah 3.2% dan September 0.7%, masih lagi positif.

Apakah prospeknya di suku tahun keempat? Berasaskan pada arah graf, kadar pertumbuhan akan menurun sedikit, mungkin 6 hingga 8%.

Bagaimanapun, penganalisa ekonomi dunia sudah menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk keseluruhan 2022 dijangka meningkat daripada 5.5 hingga 6.5% menjadi 7.5 hingga 8.5%, satu perkembangan sangat positif.

Bagi 2023, penganalisa ekonomi meramalkan kadar pertumbuhan yang rendah sedikit antara 4 hingga 5% dan bagi 2024, antara 3 hingga 4%.

Apakah yang memacu kadar pertumbuhan mantap ini? Ini boleh dilihat dari dua perspektif, iaitu pengeluaran dan perbelanjaan.

Dari perspektif pengeluaran, ekonomi negara dipacu pertumbuhan mantap dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan yang menyumbang lebih 82% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sektor perkhidmatan kini melepasi tahap prapandemik (2019) pada 6.6%. Sektor perkilangan melepasi 15.9% berbanding tahap prapandemik.

DOLAR

Malaysia masih perlu memacu sektor makanan dan minuman, penginapan, hartanah serta perkhidmatan perniagaan untuk melewati paras prapandemik. Sektor-sektor lain seperti perlombongan, pembinaan dan pertanian juga masih beroperasi di bawah paras pandemik.

Sektor pembuatan berkembang pada kadar 13.2% di suku tahun ketiga berbanding 9.2% di suku pandemik kedua khususnya dalam subsektor elektronik, elektrikal dan optikal. Sektor perlombongan juga pulih kepada 9.2% di suku tahun ketiga khususnya gas asli terutama bagi pembinaan bangunan bukan kediaman.

Sektor pertanian pulih 1.2% di suku tahun ketiga berbanding penurunan 2.4% di suku tahun kedua khususnya subsektor kelapa sawit 5.1%, perikanan 3.8% dan ternakan, 2.5%. Sektor pembinaan berkembang pada 15.3% berbanding 2.4% di suku tahun kedua.

Secara umum, semua sektor ekonomi mengembang di suku tahun ketiga menunjukkan pemulihan yang sihat dalam keseluruhan ekonomi negara.

Dari perspektif perbelanjaan pula, swasta dan isi rumah mengakaunkan 61.5% daripada KDNK dan di suku tahun ketiga ia berkembang pada kadar 15.1% berbanding 18.3% (suku tahun kedua), khususnya pengangkutan, restoran, hotel, rekreasi dan kebudayaan. Perbelanjaan penggunaan akhir swasta menguncup sedikit 1.2%, membayangkan sikap berhati-hati pengguna dalam berbelanja.

Perbelanjaan akhir kerajaan tumbuh 4.5% berbanding 2.6% di suku tahun kedua 2022. Pembentukan modal tetap kasar meningkat 13.1% berbanding 5.8% di suku tahun kedua.

Eksport meningkat 23.9% berbanding 10.4% di suku tahun kedua. Import juga meningkat 24.4% berbanding 14% di suku tahun kedua. Eksport bersih sebenarnya meningkat 18.7% berbanding penurunan 28.7% di suku tahun kedua.

Ada juga penganalisa tempatan yang mempersoalkan bagaimana rizab BNM merosot jika kadar pertumbuhan meningkat dengan banyak. Sebenarnya jumlah rizab negara bertambah daripada RM480 bilion menjadi RM491 bilion di suku tahun ketiga berbanding suku tahun kedua. Bagaimanapun kerana kadar pertukaran ringgit dengan dolar Amerika Syarikat (AS) merosot, kita melihat jumlah dalam baki rizab dalam dolar AS telah merosot.

Di sebalik persepsi negatif yang cuba dilemparkan, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbukti telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam memulihkan ekonomi daripada kesan kegawatan dialami selama lebih sembilan bulan.

Walaupun begitu, kadar pemulihan cemerlang ini mungkin akan dijejaskan oleh kesan kegawatan dunia yang diramalkan berlaku pada tahun depan. Namun, negara dijangka berupaya menepis kesan besar kegawatan jika kerajaan baharu lebih stabil yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat terus mengawal kesan inflasi dan berusaha meningkatkan tahap pendapatan isi rumah. Apatah lagi jika ada kesinambungan dalam penjawat jawatan Perdana Menterinya. – UTUSAN

DR. Barjoyai Bardai ialah Profesor Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×