Kabinet baharu kerajaan Persekutuan yang bakal dibentuk selepas hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini tentunya antara yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat.
Pembentukan Kabinet kali ini dijangka menyaksikan pelantikan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri, selepas kali terakhir jawatan itu diisi oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dua tahun lalu.
Malah, dijangkakan dua atau tiga ahli Parlimen bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi mewakili Sabah dan Sarawak.
Kabinet baharu juga bertanggungjawab membentangkan semula Bajet 2023 serta menggubal beberapa rang undang-undang di Parlimen.
Selain itu, Kabinet ini dijangka dianggotai beberapa menteri kanan, meliputi lebih 30 menteri dan 30 timbalan menteri berdasarkan kepada purata bilangan jemaah menteri yang dilantik sejak 1995.
Kabinet baharu juga dijangka memperkenalkan kementerian baharu, sama ada memansuhkan kementerian atau menjenamakan semula kementerian bergantung kepada keperluan kerajaan dan aspirasi gabungan politik masing-masing.
Kabinet Ismail Sabri (Barisan Nasional)
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) akan menerajui Kabinet baharu buat kali kedua.
Menurut apa yang dijanjikan oleh BN, beliau dijangka melantik tiga Timbalan Perdana Menteri, seorang dari Semenanjung, seorang dari Sabah dan seorang lagi dari Sarawak.
Khairy Jamaluddin menjadi individu terawal yang dicadangkan oleh Pemuda UMNO sebagai calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya BN memperoleh kemenangan dalam PRU15.
Sebelum ini, beliau pernahmemegang beberapa jawatan menteri sebelum ini iaitu Menteri Kesihatan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Belia dan Sukan, malah dijanjikan dikekalkan jawatan menteri jika BN terus membentuk kerajaan selepas 19 November ini.
Namun, Mohamad Hasan dan Hishammuddin Tun Hussein juga dilihat sebagai calon yang sesuai sebagai Timbalan Perdana Menteri, jika masing-masing memenangi kerusi ditandingi mereka berdasarkan keupayaan dan senioriti masing-masing.
Calon Timbalan Perdana Menteri Sabah pula menyaksikan tokoh politik seperti Bung Moktar Radin dan Abdul Rahman Dahlan sebagai calon terbaik manakala Alexander Nanta Linggi, Nancy Shukri dan Fadillah Yusof berpeluang sebagai Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak.
Selain itu, Ismail Sabri dijangka mengetengahkan semula beberapa menteri dari Kabinet terdahulu seperti Noraini Ahmad, Mahdzir Khalid, Reezal Merican Naina Merican, Shamsul Anuar Nasarah, M. Saravanan dan Wee Ka Siong.
Namun, akan ada juga yang mungkin dilantik semula sebagai menteri seperti Johari Abdul Ghani, Ahmad Maslan, Liow Tiong Lai, Tengku Adnan Tengku Mansor, Azalina Othman Said dan Mohamed Khaled Nordin.
Muka-muka baharu yang berpotensi dilantik ke dalam Kabinet adalah Hizatul Isham Abd. Jalil, Hasni Mohammad, Shahril Sufian Hamdan, Mohd. Khairuddin Aman Razali, Asyraf Wajdi Dusuki dan Khairul Azwan Harun.
Kabinet Anwar (Pakatan Harapan)
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentuk barisan Kabinetnya mewakili Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri.
Beliau dijangka melantik dua Timbalan Perdana Menteri, seorang mewakili Semenanjung dan seorang lagi mewakili Sabah dan Sarawak.
Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu dilihat sebagai calon Timbalan Perdana Menteri manakala Wilfred Madius Tangau dan Chong Chieng Jen adalah calon dari Sabah dan Sarawak.
Namun, jika PH mengadakan kerjasama dengan Warisan selepas PRU15, Mohd. Shafie Apdal dilihat sebagai calon sesuai sebagai Timbalan Perdana Menteri Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Kabinet Anwar meliputi beberapa calon yang pernah dilantik sebagai menteri antaranya Anthony Loke Siew Fook, Maszlee Malik, Dr. Dzulkefly Ahmad, Mujahid Yusof, Fuziah Salleh, Yeo Bee Yin, Hannah Yeoh, Gobind Singh Deo, Khalid Samad, Salahuddin Ayub dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mesra PH.
Malah, Anwar dijangka mengetengahkan muka-muka baharu dalam Kabinetnya seperti Rafizi Ramli, Fahmi Fadzil, Nurul Izzah Anwar, Wong Kah Woh, Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Adly Zahari.
Namun, jika PH mengadakan kerjasama dengan parti Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA), pemimpinnya seperti Mukhriz Mahathir turut berpeluang diangkat sebagai menteri Kabinet.
Kabinet Muhyiddin (Perikatan Nasional)
Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerajui Kabinet baharu sebagai Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) buat kali kedua, selepas memegang jawatan itu selama 16 bulan sebelum ini.
Berbeza dengan BN dan PH, beliau dijangka mengetengahkan seorang sahaja Timbalan Perdana Menteri dan tidak menawarkan jawatan itu kepada Sabah dan Sarawak.
Jawatan itu kemungkinan besar diisi oleh pemimpin Bersatu, sama ada Mohamed Azmin Ali atau Hamzah Zainuddin yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan jawatan kedua tertinggi negara itu.
Bagaimanapun, pemimpin Pas seperti Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man juga dilihat sebagai calon sesuai untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Di samping itu, jawatan menteri bakal dianggotai Dr. Radzi Jidin, Shahidan Kassim, Takiyuddin Hassan, Saifuddin Abdullah dan Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Ahmad Faizal Azumu, Rina Mohd. Harun, Mas Ermieyati Shamsudin dan Mohd. Redzuan Md. Yusof juga dijangka mengisi jawatan menteri.
Ronald Kiandee dijangka mewakili menteri dari Sabah manakala Ali Biju mewakili menteri dari Sarawak.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga dijangka memegang jawatan menteri andai PN menang, malah Muhyiddin bakal mengetengahkan muka-muka baharu seperti Wan Saiful Wan Jan, Khairil Nizam Khirudin dan Afif Bahardin. -UTUSAN










