UTUSAN: Pertembungan Ku Nan dengan Radzi ibarat persaingan orang lama dengan orang baharu. Setujukah YB?
TENGKU ADNAN: Saya pun kira baharu, saya jiwa muda sebab saya sering sertai macam-macam program anak muda. Saya tahu apa kehendak anak muda kerana saya sudah lama, jadi kita boleh menyelami hati anak muda di Putrajaya.
Ini kerana Putrajaya seperti sebuah kampung dan kita hidup seperti keluarga. Kita tak pernah tidak bertanya khabar atau menidakkan sesiapa dalam kawasan ini. Kita hidup seperti ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Saya tidak ada masalah dengan anak muda.
Tak ada istilah ada muda dan tua. Tiap-tiap kita yang tua ini dulu pun muda juga. Yang muda akan jadi tua.
Apa YB janjikan kepada pengundi Putrajaya jika terpilih penggal kelima?
Saya ada tekad sendiri tetapi saya nak ketawa bila lihat manifesto Radzi (kerana) itu semua saya sudah buat.
Contohnya nak beri kereta jenazah. Saya ada empat kereta jenazah. Saya sudah beri dan kereta jenazah ini bukan hanya untuk kegunaan warga Putrajaya tetapi kalau ada kawan-kawan saya ketika ibu bapa yang datang dan meninggal di sini tetapi duduk di Kelantan misalnya, kereta jenazah inilah akan hantar sampai Kelantan. Itu yang kita lakukan sejak dulu.
Ia ibarat pertembungan orang luar dengan orang tempatan di Putrajaya?
Saya calon yang tahu kawasan ini luar dalam dan tahu apa yang diinginkan oleh warga saya, itu yang paling penting.
Saya anggap warga saya ini sebagai adik beradik. Orang luar nak kacau saya punya ‘kampung’. Saya paling marah bila gambar poster saya diconteng. Tak pernah berlaku selama empat kali saya bertanding, mana-mana poster calon diconteng. Saya tak faham. Jangan bawa perangai macam ini.
Pertambahan pengundi baharu gusarkan YB? 2018 YB menang majoriti 3,372 tapi kali ini YB yakin majoriti akan lebih lagi?
Saya tidak ada masalah dengan pengundi muda. Saya di sini sudah 20 tahun dan anak-anak yang nak mengundi kali pertama sekarang ini saya kenal sejak dari mereka kecil. Tidak ada masalah.
Putrajaya tiada isu pembangunan, bukan politik pembangunan.
Dengan kelebihan sebagai Pusat Pentadbiran Persekutuan, jadi, apa isu-isu semasa di Putrajaya yang belum selesai?
Kita di Putrajaya ini sentiasa lakukan penambahbaikan dan apa yang diperlukan akan kita sediakan. Putrajaya ini sebuah bandar lestari dan sekarang ini Putrajaya ke arah untuk menjadikan sebuah bandar hijau. Pada ketika ini kita didik bangsa Putrajaya paling asas mengenai cara buang sampah dengan betul.- UTUSAN










