Pilih pemimpin ada ciri al-qawi, al-amin - Utusan Malaysia

Pilih pemimpin ada ciri al-qawi, al-amin

SEORANG penunggang motosikal melepasi deretan bendera parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jalan Tanah Lapang, Sentul, Kuala Lumpur. Tanggungjawab kini terletak di tangan kira-kira 21 juta pengundi untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang akan menerajui Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) minggu lalu, inti pati utamanya adalah meminta para pengundi yang akan mengundi di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini membuat pilihan yang tepat.
Dua ciri utama yang digariskan dalam teks khutbah tersebut adalah menjadi tanggungjawab pengundi terutama yang beragama Islam memilih pemimpin yang memiliki dua ciri iaitu al-qawi dan al-amin.
Al-qawi bermaksud berkemampuan, berkebolehan, berkepakaran dan mahir dalam melaksanakan tugas yang bakal digalas terutama amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi untuk menerajui negeri atau negara.
Al-amin pula ialah sifat amanah, bertanggungjawab dan berintegriti dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab. Pemimpin yang tidak menyeleweng dan tidak mudah gelap mata dengan wang ringgit.
Berdasarkan kepada dua ciri yang digariskan, para pengundi perlu mengundi menggunakan akal. Bukan mengundi dengan bersandarkan kepada emosi dan sentimen semata-mata.
Tanggungjawab kita adalah memilih pemimpin yang memiliki kemahiran membina dan membangunkan rakyat dan negara.
Mereka mesti memiliki keupayaan untuk memberikan panduan dan dorongan kepada rakyat yang dipimpin. Dan amanah itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab tanpa mempunyai agenda tersembunyi atau kepentingan peribadi.
Sebab itu teks khutbah tersebut menyebut dalam usaha memilih pemimpin, rakyat bertanggungjawab menilai setiap prestasi, disiplin, akhlak, perwatakan dan pemikiran calon-calon yang ada. Ini supaya kita dapat membuat pilihan tepat dalam menentukan sama ada calon itu memiliki sifat al-qawi dan al-amin atau tidak.
Ini amanah yang tidak boleh disia-siakan. Jika kita tersalah pilih kesannya cukup besar. Kesilapan memilih pemimpin bukan sekadar memberi kesan untuk tempoh lima tahun akan datang, tetapi juga boleh memberi kesan kepada negara untuk beberapa generasi akan datang.
Lagi tujuh hari untuk menunaikan tanggungjawab, para pengundi ketika ini disogokkan dengan pelbagai maklumat, doktrin malah propaganda daripada calon dan parti yang bertanding agar memilih mereka ke tampuk kuasa.
Calon-calon yang diketengahkan juga pelbagai. Ada yang sudah berpuluh tahun menjadi wakil rakyat dan ada pula yang baru pertama kali. Ada calon yang hampir mencecah satu abad dan ada pula yang baru setengah abad malah baru melepasi suku abad.
Ini bukan soal tepuk dada tanya selera. Tetapi perlu memilih dengan penuh rasa tanggungjawab. Kena pastikan pilihan yang dibuat tidak mendatangkan masalah kepada kita dan negara pada masa hadapan.
Sudah tentu kita tidak mahu pemimpin yang dikaitkan dengan pelbagai isu sama ada rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Tentunya negara tidak wajar memiliki pemimpin yang akhlaknya boleh dipertikaikan atau dijadikan bahan jenaka.
Rasuah dan persepsi berkaitan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin politik, kerajaan dan jabatan kerajaan perlu dibersihkan. Sebagai sebuah negara yang dianggap sebagai negara Islam contoh di dunia, kedudukan Malaysia pada tangga 62 dalam Indeks Persepsi Rasuah dunia tidak mencerminkan kita sebagai negara Islam contoh.
Jika negara bukan Islam seperti Singapura (tangga keempat) jauh lebih baik daripada kita kenapa sebagai negara Islam dan dipimpin oleh orang Islam kedudukan kita makin jatuh?
Agak menyedihkan apabila Malaysia yang popular di serata dunia dengan kelantangannya memperjuangkan nasib dunia ketiga dan kejayaan ekonomi hingga digelar Harimau Asia, tiba-tiba popular disebabkan isu lain. Tiba-tiba nama Malaysia popular di serata dunia kerana skandal. Mahkamah di merata dunia membicarakan mereka yang terbabit dengan skandal yang tercetus di Malaysia. Ini perkara yang tidak boleh diulangi dalam sejarah Malaysia.
Yang paling penting ke­tika dunia diramal akan berha­dapan dengan pelbagai gelombang pada tahun depan, kita memerlukan pemimpin yang kuat, yang ada kredibiliti dan keupayaan untuk menakhodai negara mengharungi tempoh sukar ini.
Pelbagai isu yang dihadapi rakyat sekarang seperti kenaikan kos sara hidup, inflasi, pengangguran siswa­zah, isu pendidikan, sekuriti makanan, banjir, kemudahan asas, pengangkutan awam dan macam-macam lagi juga menuntut penyelesaian yang tuntas.
Tanpa pemimpin berwi­bawa dan kerajaan yang man­tap kita akan terus dibelenggu dengan isu ini untuk tempoh beberapa dekad lagi.
Yang paling membimbangkan negara kita akan ketinggalan daripada segi daya saing dengan negara-negara ASEAN lain, yang kini mencatatkan pertumbuhan menggalakkan.
Sekarang kuasa di tangan rakyat untuk memilih pemimpin dan kerajaan. Sama ada untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, kedua-duanya sama penting. Wakil yang dipilih akan bertindak bukan sekadar mewakili tetapi juga memperjuangkan kepentingan rakyat jelata yang diwakili.
PRU15 adalah pentas untuk rakyat membuat pemilihan. Pentas untuk rakyat menentukan hala tuju masa depan negara dan kita semua. Di tangan kira-kira 21 juta pengundi terletaknya mandat yang akan diberikan kepada mana-mana parti yang bertanding untuk membentuk kerajaan.
Kuasa di tangan rakyat sekarang untuk menentukan siapa yang akan memerintah dan membentuk pembangunan demi masa depan negara.
Sebab itu para pengundi yang mengundi pada 19 November ini bertanggungjawab memilih pemimpin yang ada ciri al-qawi dan al-amin supaya rakyat dan negara dapat diamanahkan kepada mereka. Hanya pemimpin dengan dua ciri ini yang dapat memastikan negara kita berada pada landasan sebenarnya.
Selamat mengundi.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×