PERISTIWA pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang menyaksikan buat pertama kali kuasa ketenteraan negara dikerah selepas peletakan senjata gerila Parti Komunis Malaya (PKM) pada Disember 1989 sentiasa diingati.
Pencerobohan yang bermula pada 9 Februari 2013 melibatkan kira-kira 235 kumpulan bersenjata Sulu memasuki perairan negara disusuli pertempuran antara pasukan keselamatan dan pihak penceroboh itu yang berlaku pada 1 Mac. Ia berakhir dengan serangan pihak tentera yang dilancarkan empat hari kemudian bagi mengusir musuh semasa Op Daulat.
Op Daulat telah menguji kepimpinan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau turut berada di barisan hadapan bersama-sama para jeneral dan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai arkitek perang.
Pencerobohan ini juga memperlihatkan soal pertahanan di Malaysia Timur terutamanya Sabah diperkasakan apabila kerajaan telah meluluskan menubuhkan Task Force 450 pada 2014 yang kemudian menjadi nukleus bagi penubuhan Divisyen Kelima Infantri pada September tahun lalu.
Susulan pencerobohan ini juga, kerajaan telah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada 7 Mac 2013 bagi memperkuatkan lagi keselamatan maritim di sebelah sana selain mewujudkan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).
Justeru, sebagai Menteri Pertahanan ke-15 bermula 9 April 2009 hingga 16 Mei 2013, Ahmad Zahid telah menyempurnakan tanggungjawabnya dengan sungguh berkesan.
Selain itu, semasa menerajui Kementerian Pertahanan (Mindef), Ahmad Zahid membina kemesraan apabila menggunakan nama panggilan Menhan iaitu gabungan perkataan Menteri Pertahanan.
Ahmad Zahid juga berfikiran strategik apabila merevolusikan konsep Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) menerusi tindakan apabila melibatkan penyertaan rakyat ke dalam Askar Wataniah (AW) melalui rancangan ‘Satu Parlimen Satu Kompeni’ pada 2010.
Menerusi rancangan ini, Mindef mahu mewujudkan satu Kompeni AW yang berkekuatan kira-kira 150 orang di 222 kawasan Parlimen dengan jumlah keanggotaan keseluruhan AW mencecah kira-kira 57,000 anggota di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, tujuh peratus terdiri daripada kaum Cina. Ini merupakan satu anjakan besar apabila berjaya menarik penglibatan masyarakat bukan Melayu yang sebelumnya dilihat tidak meminati bidang ketenteraan.
Penubuhan kompeni AW di setiap Parlimen ini menjadi sasaran Mindef kerana pasukan keselamatan itu boleh memainkan peranan mempertahankan negara dan membantu ketika bencana berlaku.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menganjurkan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), pada LIMA 2011, Ahmad Zahid telah mempelawa Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng dan dua timbalannya iaitu Datuk Mansor Othman dan Dr. P. Ramasamy menaiki kapal selam negara, KD Tun Razak untuk operasi menyelam.
Pelawaan ini adalah bagi menangkis dakwaan pembangkang kononnya kapal selam tersebut tidak boleh menyelam. Ketiga-tiga mereka telah dibawa belayar selama 90 minit serta merasai sendiri pengalaman berada di bawah permukaan laut dengan kedalaman kira-kira 30 meter di sekitar perairan Langkawi.
MENERAJUI KDN
Setelah empat tahun mengetuai Mindef, Ahmad Zahid kemudian dilantik menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula 16 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018.
Beliau turut mencatatkan kejayaan peribadi apabila semasa menjawat tugas tersebut turut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri mulai 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.
Sepertimana ketika mengetuai Mindef, Ahmad Zahid turut membawa kejayaan serta perubahan serupa semasa di KDN. Antara perubahan yang dilakukan adalah bagi memperkasakan sesebuah jabatan atau agensi.
Misalnya pada Jun 2012, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) telah dijenamakan semula apabila ditukarkan kepada Pasukan Sukarelawan Malaysia berdasarkan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 yang berteraskan konsep 5K 1P iaitu Keamanan, Keselamatan, Kesejahteraan, Kehamornian, Kesatuan dan Perpaduan.
Bermula pada 28 Ogos 2013, Rela telah dinaik taraf menjadi sebuah Jabatan Persekutuan dan dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Peranan pasukan ini juga diperkasakan apabila seramai 6,148 anggota Rela di Sabah ditempatkan di 10 daerah di bawah ESSZONE. Anggota Rela berkenaan akan berperanan sebagai barisan pertahanan kedua bagi membantu pasukan keselamatan negara.
Pada Julai 2015, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pula dipindahkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM). JPAM menjadi agensi tunggal yang akan melaksanakan pelbagai perkara berkaitan soal bencana alam.
Entiti baharu di bawah naungan JPM itu memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam memberi tumpuan mengenai soal bencana alam yang tidak lagi di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pada 1 September 2016, JPAM diwartakan sebagai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia atau singkatannya APM. Penjenamaan semula JPAM ini sejajar dengan tugas dan peranan pasukan tersebut yang kini mempunyai keanggotaan melebih satu juta sukarelawan di seluruh negara.
Dalam usaha memerangi jenayah, KDN juga bersetuju dengan penubuhan tiga pasukan khas taktikal iaitu Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING), Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) pada 2014.
Fokus pasukan tersebut adalah untuk menangani jenayah serius melibatkan kumpulan kongsi gelap, judi, pelacuran, senjata api, penyeludupan manusia dan dadah oleh sindiket-sindiket yang bergerak licik.
Antara kejayaan terbesar pasukan khas itu adalah merungkai kes kematian abang tiri pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang mendapat perhatian luas media tempatan dan luar negara pada 2017. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis pertahanan dan bekas wartawan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 25 tahun lalu.











