SUASANA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di lapan kerusi Parlimen di Terengganu masih tenang apabila jentera parti-parti yang bertanding tidak ghairah berkempen pada minggu pertama selepas hari penamaan calon, 5 November lalu.
Pada PRU sebelum ini, Terengganu merupakan antara negeri ‘panas’ dengan kempen-kempen agresif di beberapa kawasan Parlimen seperti Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Besut.
Malah sebelum ini, polis memaklumkan sebanyak tujuh lokasi panas dikenal pasti pada PRU15 melibatkan hampir semua Parlimen di negeri ini. Polis mengenal pasti lokasi tersebut berdasarkan beberapa insiden tidak diingini berlaku pada PRU14 lalu.
Lapan kerusi Parlimen di Terengganu adalah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Namun setakat ini, jentera pilihan raya daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) serta Bebas masih perlahan berkempen.
Petugas-petugas jentera pilihan raya pula didapati baru mula ‘memanaskan’ badan dan bergerak dalam gear satu, sebelum memecut laju menjalankan kempen setelah memasuki pusingan kedua, minggu depan.
Keadaan cuaca yang tidak menentu di Terengganu sejak awal bulan ini apabila sering hujan pada waktu petang dan malam juga menambahkan ‘kesejukan’ kempen PRU15. Calon-calon pula didapati selalu berkempen dalam hujan dan terpaksa menyingsing seluar serta sanggup basah kuyup untuk bertemu pengundi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memberitahu, Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh bermula pada 7 November lalu dan berterusan sehingga Mac 2023.
Keadaan tersebut menyebabkan bendera parti dan poster calon yang bertanding didapati masih kurang dipasang kecuali bendera Pas banyak menghiasi jambatan-jambatan di negeri ini.
Malah, poster kebanyakan calon parti-parti yang bertanding juga belum kelihatan kerana dikatakan masih dalam proses percetakan. Bagaimanapun, kemeriahan perang poster dijangka berlaku menjelang hari mengundi nanti.
Selain itu, seramai 33 calon yang mewakili PN, BN, PH dan GTA serta Bebas bertanding di lapan Parlimen juga belum banyak mengadakan ceramah, sebaliknya menumpukan kepada kempen dari rumah ke rumah, ziarah kasih dan sembang santai di kedai kopi untuk mendekati pengundi seramai mungkin.
Calon-calon tersebut percaya, sentuhan emosi lebih berkesan untuk menarik sokongan pengundi.
Di Terengganu, jumlah pengundi yang berdaftar pula seramai 922,856 orang termasuk pengundi muda berusia 18 tahun yang kali pertama mengundi. Sebelum ini, banyak pihak juga menjangkakan PRU15 paling sengit kerana dianggap sebagai ‘ibu’ segala pilihan raya.
TIDUR
Sementara itu, calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong ketika ditemui baru-baru ini berkata, beliau hanya berehat dan tidur kira-kira dua jam sahaja setiap hari sejak bermula kempen PRU15.
Beliau memulakan kempen seawal pagi dengan mengunjungi masjid dan surau untuk solat subuh dan kemudian berkempen dari rumah ke rumah serta pulang ke rumah, lewat malam.
Pada masa sama, saya yang meninjau beberapa ceramah politik mendapati golongan pengundi muda didapati kurang berminat hadir mengikutinya. Salah satu faktor pengundi muda tidak berminat mengikuti perkembangan PRU15 kerana kebanyakan calon yang bertanding di Parlimen Terengganu berumur 50 tahun ke atas.
Golongan tersebut kecewa apabila hasrat mereka melihat calon PRU15 di negeri ini dibarisi calon yang muda dan segar tidak kesampaian.
Disebabkan itu, calon dan jentera pilihan raya parti-parti yang bertanding menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram untuk berkempen. Calon-calon lebih gemar mengadakan ceramah dan dialog secara live di media sosial untuk menarik perhatian pengundi terutama golongan muda.
Malah diperhatikan terdapat dalam kalangan calon-calon berkenaan baru mula untuk aktif memuat naik bahan dan gambar kempen mereka di media sosial.
Dalam pada itu, saya yang mengikuti beberapa ceramah disampaikan oleh penceramah dan calon secara bersemuka atau live di media sosial mendapati mereka tidak menyerang peribadi calon-calon lain. Mereka juga tidak lagi bertindak memaki-hamun parti-parti politik yang bertanding secara keterlaluan.
Walaupun Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan BN tidak terjalin dalam PRU15, namun penceramah dan calon kedua-dua parti itu tidak melakukan serangan peribadi secara melampau. Mereka saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Kebanyakan penceramah PN didapati lebih banyak menyentuh isu-isu politik di peringkat Pusat seperti integriti, selain menyentuh kenaikan harga barangan keperluan yang membebankan pengguna.
Penceramah BN pula mengetengahkan isu kegagalan kerajaan Pas Terengganu dalam melunaskan sepenuhnya janji-janji manifesto PRU14 lalu seperti peluang pekerjaan, perumahan dan pembangunan infrastruktur serta kebajikan penduduk.
Diharapkan pihak terlibat termasuk calon-calon dapat mengekalkan keharmonian berkempen bagi memastikan proses pilihan raya berjalan secara aman tanpa berlaku kejadian-kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.











